Follow us

Hanya Ada Titah Diraja Semasa Sidang Pembukaan Parlimen, kata Speaker

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-05-13
E-mel
Komen
Share
Anggota Parlimen yang beragama Islam mengaminkan doa semasa istiadat perasmian Parlimen Ke-14, 17 Julai 2018.
Anggota Parlimen yang beragama Islam mengaminkan doa semasa istiadat perasmian Parlimen Ke-14, 17 Julai 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Sidang pertama parlimen sejak perubahan pemerintahan pada awal tahun, hanya akan dibatasi kepada titah ucapan Yang di-Pertuan Agong sahaja, demikian menurut Speaker Dewan Rakyat, sekaligus memberi indikasi bahawa undi tidak percaya keatas Perdana Menteri tidak akan dibentangkan.

Mohamad Ariff Md Yusof pada Rabu berkata notis perubahan semasa pembukaan sidang pertama yang akan berlangsung pada 18 Mei, telah dimaklumkan kepada beliau oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ketua majlis.

“Saya telah menerima surat pemakluman yang ditandatangani Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis yang memaklumkan disebabkan oleh penularan wabak COVID-19 dalam negara masih belum reda sepenuhnya, pihak Kerajaan memutuskan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang akan berlangsung selama satu hari iaitu pada Isnin, 18 Mei dipinda,

“Mesyuarat pertama Dewan Rakyat dengan urusan majlis…, Titah Diraja oleh Yang diPertuan Agong pada 10 pagi – Dewan Rakyat dan Negara bersidang serentak dan…. Tiada sidang selepas Titah Diraja,” kata Speaker dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.

Menurut beliau pindaan tidak mempunyai sidang dewan, selepas Titah Diraja oleh Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu dibuat selaras dengan Peraturan 11(2) dan 15(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Tambah Mohamad Ariff kesemua Ahli Parlimen akan diberitahu berkenaan pindaan tersebut dalam satu lagi notis baru yang akan dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat.

Muhyiddin yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional [PN] selepas berlakunya krisis politik pada hujung Februari lalu bakal berdepan dengan cabaran kepimpinan pada sidang pertama sesi Parlimen bagi tahun ini selepas speaker dewan itu menerima satu usul undi tidak percaya yang dikemukakan oleh bekas perdana menteri Mahathir Mohamad.

Penubuhan Perikatan Nasional adalah menerusi persefahaman antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Malaysia (UMNO) bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam Muafakat Nasional (MN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Persidangan tidak sah

Mahathir, pemimpin berusia 94, pada Isnin lepas telah mengemukakan usul tersebut bagi membuat ketetapan sama ada penggantinya itu mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen, dengan tindakan itu dibuat hampir tiga bulan selepas beliau kehilangan kuasa kepada Muhyiddin, yang juga bekas sekutu politiknya.

Dalam pada itu, Mahathir melalui satu rakaman video telah mempersoalkan kesahihan persidangan Parlimen satu hari selepas kerajaan membatalkan semua agenda lain melainkan Titah Diraja.

Mahathir dalam rakaman itu mendakwa yang persidangan Isnin depan, tidak sah kerana tidak ada perdebatan berkenaan Titah Diraja seperti yang termaktub dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Sekarang ini, saya diberitahu bahawa dalam satu hari itu, tidak boleh bahas usul saya bahkan usul kerajaan pun tidak akan dikemukakan. Jadi apa dianya mesyuarat ini? Untuk kita cuma dengar ucapan kerajaan melalui Yang di-Pertuan Agong. Ini bukan mesyuarat Parlimen,”

“Saya telah tunggu untuk diberi peluang bercakap untuk menyokong usul saya, undi tidak percaya kepada Muhyiddin kerana pada masa itu saya akan jelaskan sebab-sebab kenapa saya bawa usul ini. Tetapi nampak ada satu percubaan untuk menghalang saya daripada bercakap sebagai Ahli Dewan pun… Jangan kata sebagai orang awam, Ahli Dewan pun tidak dapat bercakap di dewan,” kata Mahathir.

Mahathir turut mendakwa yang penggantinya itu tidak mempunyai undi majoriti ketika beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kerana 114 Ahli Parlimen menyatakan sokongan mereka terhadap Mahathir lebih 2 kerusi daripada 112 kerusi yang diperlukan untuk mendapatkan majoriti.

“Perlantikan Muhyiddin saya fikir tidak sah,” kata bekas perdana menteri itu yang mendakwa  dapat sokongan seramai 114 Ahli Parlimen pada masa itu.

Akauntabiliti dan risiko


Pakar politik dan undang-undang melihat tindakan terkini Muhyiddin dengan keputusan tidak membenarkan persidangan berlangsung seperti biasa dan alasan penularan wabak COVID-19 adalah kerana beliau tidak mahu mengambil risiko membiarkan undi tidak percaya terhadapnya diperbahaskan di Parlimen selain mengelak daripada akauntabibiliti.

Sementara itu, Lim Wei Jiet, seorang peguam dan juga pakar undang-undang perlembagaan turut bersetuju dengan pandangan Mahathir berkenaan kesahihan sesi Parlimen pada Isnin nanti dan jika kerajaan mempunyai niat untuk mengelak dari akauntabibiliti.

“Ia tidak memenuhi peruntukan persidangan parlimen jika niat itu adalah untuk mengelakkan akauntabiliti pada Parliamen,” kata Lim kepada BeritaBenar.

Beliau turut menolak alasan yang sering dipakai oleh kerajaan iaitu disebabkan wabak COVID-19 kerana Parlimen hanya perlu mematuhi Operasi Pematuhan Standard seperti penjarakan sosial melibatkan kerusi dalam dewan, pemakaian topeng muka, malah boleh melakukan persidangan secara telekonferensi.

“Pemimpin seluruh dunia telah berjaya melakukannya dengan mengambil langkah-langkah tertentu seperti di persidangan Dewan Negeri,” kata beliau.

Penganalisis politik Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata, pemendekkan masa parlimen tidak lebih kepada ketakutan kepada bayangan politik mereka sendiri daripada berlakunya usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri.

"Dalam hal ini juga mereka tahu Mahathir mempunyai pengaruh yang tidak terjangka dan langkah kerajaan pintu belakang yang dibuat terdahulu menggalakkan perebutan dan persaingan kuasa yang lebih agresif dan ini ditakuti oleh kerajaan yang sedia ada," katanya sambil menambah usul undi tak percaya boleh diteruskan pada sidang akan datang, dan semenangnya tidak dapat dielakkan untuk diadakan pada sesi sidang lebih panjang.

Sementara itu, Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura pula berkata Muhyiddin tidak ingin mengambil risiko dengan membiarkan undi tidak percaya di Parlimen.

“Majoriti yang beliau ada, jika ada.. mungkin tipis. Jadi dalam masa sekarang tidak perlu menguji nasib dengan mendedahkan diri kepada usul tidak percaya. Tetapi apa yang Muhyiddin paling takut ialah potensi bahawa UMNO boleh mengambil langkah lain seperti contoh memalukannya dengan tidak menyokong usul beliau,” kata Oh.

Menurut Oh lagi, kedudukan Muhyidin yang goyah sekarang diibaratkan seperti Mahathir dengan Anwar yang menunggu untuk dilepaskan jawatan.

“Beliau seperti Mahathir ketika kerajaan Pakatan Harapan, di mana Parti Keadilan Rakyat memberikan tekanan. Saya fikir UMNO tidak akan berhenti memberikan tekanan kepada Muhyiddin sehingga mereka dapat menggantikan beliau,” tambah Oh lagi.

Parlimen dijadualkan bersidang semula pada 13 Julai selama 25 hari menurut takwim yang dikeluarkan dewan itu.


Lihat Laman Penuh