Sokongan PAS terhadap Najib untuk lemahkan kerajaan Anwar - Penganalisis

Pembangkang mengeksploitasi isu titah adendum tahanan rumah Najib dan perpecahan dalaman UMNO untuk gugat kestabilan kerajaan.
Iman Muttaqin Yusof dan Ili Shazwani Ihsan
2025.01.17
Kuala Lumpur
Sokongan PAS terhadap Najib untuk lemahkan kerajaan Anwar - Penganalisis Penyokong bekas Perdana Menteri Najib Razak memakai baju Melayu gabungan warna biru, merah dan hijau melambangkan UMNO dan PAS dengan dikelilingi oleh ahli PAS di luar Istana Kehakiman, Putrajaya, 6 Januari 2025.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sokongan parti pembangkang utama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) terhadap usaha bekas Perdana Menteri Najib Razak mendapatkan perintah tahanan rumah mencerminkan tindakan terancang untuk menggugat kestabilan kerajaan gabungan di negara ini, kata penganalisis.

Ketika isu titah adendum membenarkan Najib menjalani tahanan rumah telah mewujudkan dua blok dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang menjadi sebahagian daripada kerajaan, ia masih belum berjaya memecahkan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim. 

“Tujuan PAS menyokong Najib adalah untuk memecahbelahkan UMNO dan melemahkan kerajaan,” kata Mohd Azizuddin Mohd Sani, profesor sains politik di Universiti Utara Malaysia kepada BenarNews.

“Tindakan mereka untuk menjatuhkan kerajaan akan menyebabkan ketidakstabilan negara.”

Namun Azizuddin berkata tindakan itu “tidak akan membuahkan hasil dan tidak akan mengubah dinamik politik di bawah kepimpinan Anwar".

Ketika ini kerajaan Anwar berjaya mencipta kestabilan sepanjang tiga tahun sejak 2022 setelah Pakatan Harapan (PH) pimpinannya menguasai 81 kerusi menerusi sokongan 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dengan majoritinya diwakili UMNO selain parti-parti dari Sabah dan Sarawak serta wakil rakyat Bebas.

Dukungan UMNO diterajui Presidennya Ahmad Zahid Hamidi kepada kerajaan Anwar menamatkan perseteruan lama parti itu dengan PH sekali gus menyebabkan PAS dan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) tersingkir dalam persaingan kuasa pasca Pilihan Raya Umum ke-15.

PAS menyapu bersih sebahagian besar kerusi Parlimen majoriti Melayu hingga membuat kejutan menguasai empat negeri namun gagal kembali menduduki kerajaan Persekutuan setelah mereka enggan membentuk 'kerajaan perpaduan’ bersama UMNO dan PH.

Pada 6 Januari lalu, PAS melakukan 'langkah politik' terbarunya apabila mengerahkan ahli-ahli parlimen dan penyokongnya berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya sebagai tanda sokongan solidariti terhadap Najib.

Bekas perdana menteri yang dipenjarakan itu membawa permohonan semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan titah adendum berkaitan tahanan rumah ke Mahkamah Rayuan telah ia ditolak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi sebelum itu.

muafakat-nasional.jpg
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang (dua dari kanan) bersama timbalan presiden parti masing-masing selepas pelancaran Muafakat Nasional di Kuala Lumpur, 14 September, 2019. [AP]

UMNO tarik diri

UMNO yang pernah ‘bertaut’ dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini, menarik diri daripada menghadiri perhimpunan itu susulan kenyataan Istana Negara yang menegaskan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif memberikan pengurangan hukuman terhadap mana-mana banduan melalui Lembaga Pengampunan.

PAS berjaya memanfaatkan kekosongan yang ditinggalkan UMNO apabila turun bersama-sama penyokong Najib dan segelintir pemimpin dan ahli parti itu bagi menunjukkan sokongan kepada bekas perdana Menteri yang kini menjalani hukuman penjara atas sabitan salah guna kuasa, kata penganalisis.

Dalam prosiding itu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi setelah membenarkan pasukan peguambela Najib mengemukakan bukti baharu iaitu surat daripada Istana Pahang yang mengesahkan kewujudan titah tambahan tersebut.

Langkah oportunis PAS

Sokongan lantang PAS terhadap Najib menandakan peralihan ketara daripada kecaman mereka sebelum ini terhadap skandal rasuah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika Najib menerajui kerajaan dan UMNO.

Penganalisis mengamati peralihan itu sebagai sebahagian daripada taktik politik PAS yang lebih luas, bukan kesetiaan tulen kepada Najib.

“Ia bukan sokongan kepada Najib semata-mata, sebaliknya mahu mencipta ketidakstabilan dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” kata Awang Azman Awang Pawi, penganalisis politik dari Universiti Malaya kepada BenarNews.

Beliau memberi amaran bahawa strategi PAS boleh mengelirukan segmen tertentu dalam masyarakat terutamanya golongan bawahan yang mungkin tidak mempunyai sumber untuk meneliti fakta naratif tersebut.

Dengan menyokong Najib, PAS membingkai isu tersebut sebagai perjuangan untuk hak Melayu dan Islam, satu pandangan yang disetujui oleh ramai penganalisis.

Ia selaras dengan usaha berterusan parti itu untuk mengukuhkan kuasa politik Melayu-Islam.

Bagi PAS, menyokong Najib membolehkan mereka meletakkan diri sebagai “pembela kepimpinan Melayu” dalam menentang apa yang mereka gambarkan sebagai kerajaan autoritarian, kata penganalisis politik Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kepada BenarNews.

IMG_1288.jpeg

Seorang wanita membawa kipas tangan dengan imej Najib Razak ketika hadir memberikan sokongan kepada bekas perdana menteri itu di luar Istana Kehakiman, Putrajaya, 6 Januari 2025. [S. Mahfuz/BenarNews]

Kerajaan tetap stabil

Walaupun PAS menunjukkan pendirian sedemikian, penganalisis berpendapat pentadbiran Anwar tetap stabil.

Awang Azman berkata usaha PAS untuk mengeksploitasi perpecahan dalaman UMNO dan meraih sokongan daripada penyokong-penyokong Najib tidak mungkin menyebabkan gangguan besar.

“Aura Najib menyerlahkan konflik dalaman UMNO, yang cuba dieksploitasi oleh PAS. Namun setakat ini, kepimpinan Anwar kekal tidak terjejas,” kata Awang Azman.

Sementara itu, Anwar menegaskan komitmen kerajaan terhadap kedaulatan undang-undang dan campur tangan terhadap proses perjalanan mahkamah membabitkan isu titah adendum itu.

“Kami tidak campur tangan dalam perkara ini dan menyeru semua pihak menghormati kebebasan kehakiman,” kata beliau dalam satu sidang media baru-baru ini.

Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.