PAS Pilih Bersama BERSATU Pada Pilihan Raya Negeri Melaka

Keputusan kerjasama semasa Pilihan Raya Negeri Melaka itu dilihat akan menjadi penentu halatuju pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Muzliza Mustafa & Iskandar Zulkarnain
Kuala Lumpur
2021-11-02
Share
PAS Pilih Bersama BERSATU Pada Pilihan Raya Negeri Melaka Presiden Pas Abdul Hadi Awang membaca doa sebelum Muhyiddin Yassin bergerak ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 di Damansara, Kuala Lumpur, 1 Mac, 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada Selasa mengumumkan bahawa parti itu akan berganding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diketuai oleh mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di bawah payung Perikatan Nasional (PN) dan bukannya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dalam pilihan raya negeri Melaka, satu keputusan yang disifatkan penganalisis sebagai bakal mempengaruhi jajaran politik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pendirian menggunakan lambang PN semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat parti itu yang bersidang pada Isnin, selaras dengan pandangan Majlis Syura Ulama PAS – badan pembuat keputusan tertinggi parti itu.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung pada 1 November 2021 di Pejabat Agung PAS Pusat telah meluluskan penggunaan lambang Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Melaka.

“Ketetapan ini telah mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama' PAS yang bersidang pada 31 Oktober 2021, selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan.

Pengumuman berkenaan sekaligus menamatkan spekulasi mengenai masa depan kerjasama PAS dengan UMNO di bawah gabungan Muafakat Nasional.

Kerjasama dua parti Melayu terbesar negara itu pasca pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018, selepas UMNO yang mengetuai gabungan Barisan Nasional (BN), hilang kuasa buat pertama kali dalam sejarah setelah memegang kuasa sejak Malaysia memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957.

Spekulasi mengenai masa depan Muafakat Nasional tercetus apabila Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi pada 13 Oktober lalu memberi bayangan kerjasama dalam gabungan itu mungkin tidak akan dapat diteruskan pada PRN Melaka, atas alasan Muafakat Nasional tidak pernah didaftarkan secara rasmi.

Sebelum itu, UMNO pada perhimpunan agung tahunannya pada Mac lalu telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU dalam pilihan raya umum akan datang.
Pada 22 Oktober, Muhyiddin telah mengumumkan yang PN akan bertanding di semua 28 kerusi semasa PRN Melaka, sekaligus memberi petanda pertembungan tiga penjuru di antara PN-BN-Pakatan dalam PRN Melaka tidak dapat dielakkan.

Sambut baik keputusan

Mohd Rafiq Naizamohideen, Naib Presiden BERSATU menyambut baik pendirian PAS yang memilih untuk bertanding di atas lambang (PN) pada PRN Melaka.

“Keputusan PAS membuktikan keyakinan parti itu terhadap wadah perjuangan Perikatan Nasional yang merupakan satu tawaran baharu kepada rakyat pelbagai kaum dalam memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya kepada wartawan pada Selasa.

Mohd Rafiq yang juga pengerusi PN Melaka berkata BERSATU akan bekerjasama dengan PAS bagi memastikan prestasi PN pada PRN dapat mencapai tahap membanggakan.

Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lalu telah dibubarkan susulan tindakan empat Adun menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Idris Haron dari UMNO yang juga mantan Ketua Menteri Melaka, dan rakannya dari parti itu, Nor Azman Hassan, dari BERSATU ialah Noor Effandi Ahmad manakala Norhizam Hassan Baktee adalah calon Bebas.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dengan penamaan calon dan mengundi awal masing-masing pada 8 dan 16 November.

UMNO telah membuat keputusan drastik memecat Idris dan Nor Azman manakala BERSATU turut memecat Noor Effandi sebagai hukuman kerana menumbangkan kerajaan yang diketuai oleh UMNO.

PAS uji hala tuju

Azmi Hassan, penganalisis politik berpandangan keputusan PAS untuk bertanding di atas logo PN akan memberi kelebihan kepada parti itu untuk mendapat agihan kerusi yang lebih setara dengan BERSATU, berbanding jika kekal bersama UMNO.

“Di Melaka, UMNO lebih dominan berbanding BERSATU dari segi kekuatan politik, jadi PAS akan terpaksa akur dengan apa sahaja yang ditawarkan oleh UMNO.

“Jadi dengan memilih PN, PAS akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk berunding mengenai agihan kerusi dengan BERSATU,” katanya kepada BenarNews.

Azmi berkata apa juga keputusan PRN Melaka akan menentukan hala tuju kerjasama PAS dengan parti-parti politik pada pilihan raya umum akan datang.

“Sekiranya UMNO menang besar di Melaka, PAS tidak akan mempunyai pilihan selain memilih kembali bekerjasama dengan UMNO, jadi keputusan PAS untuk bertanding di atas tiket PN di Melaka tidak bermakna pengakhiran kepada Muafakat Nasional di peringkat nasional,” ujarnya lagi.

Tunku Mohar Mohkhtar, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut berkongsi pandangan yang sama, sambil berkata PAS tidak mempunyai pengaruh yang besar di Melaka.

“PN cuba menunjukkan mereka mampu bersama untuk bertanding dalam pilihan raya, namun BERSATU, PAS dan Gerakan (bekas ahli gabungan BN) tidak mempunyai pengaruh yang kuat di Melaka, jadi kita akan melihat jika mereka mampu memenangi sebarang kerusi di Melaka,” ujarnya.

Mengenai impak terhadap PAS di peringkat nasional susulan keputusan memilih PN, Tunku Mohar berkata ujian sebenar populariti PAS adalah pada pilihan raya umum akan datang.

“Para penyokong PAS di negeri-negeri majoriti Melayu di utara tidak biasa dengan logo PN, jadi PAS mungkin akan kembali menggunakan logo parti itu pada pilihan raya umum ke-15,” tambahnya lagi.

Mengenai peluang Pakatan dalam PRN Melaka, Tunku Mohar berpandangan gabungan pembangkang itu mempunyai kelebihan berbanding PN namun UMNO mungkin mempunyai peluang yang lebih besar untuk menang.

“Melaka hanya mempunyai empat kerusi majoriti pengundi Cina dan satu kerusi bercampur etnik namun PRN Melaka adalah pertandingan untuk menguasai kerusi-kerusi majoriti Melayu.

“Keadaan kali ini berbeza dengan pilihan raya umum ke-14 di mana Najib Razak (mantan perdana menteri) dan 1MDB adalah isu utama manakala Pakatan pula kelihatan tidak begitu kuat, jadi saya fikir UMNO mungkin akan menang, namun boleh jadi telahan saya salah,” ujarnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh