Follow us

Pemimpin UMNO Berhasrat Jalin Kerjasama Lebih Erat dengan PAS untuk Kembali Berkuasa

Hadi Azmi
Terengganu, Malaysia
2018-09-15
E-mel
Komen
Share
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Abdul Hadi Awang (kiri), bersalaman dengan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Ahmad Zahid Hamidi di perhimpunan agung PAS di Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia, 15 Sept 2018.
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Abdul Hadi Awang (kiri), bersalaman dengan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Ahmad Zahid Hamidi di perhimpunan agung PAS di Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia, 15 Sept 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Parti politik tertua Malaysia kini berhasrat untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan bekas musuhnya, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk kembali berkuasa dalam tempoh lima tahun dengan memenangi Pilihan Raya Umum ke-15, kata presidennya pada Sabtu.

Bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan agung PAS di Kuala Terengganu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Zahid Hamidi berkata meskipun mempunyai hubungan yang baik, kedua-dua parti tidak memformalkan hubungan itu. UMNO menerajui gabungan Barisan Nasional (BN) manakala PAS adalah satu daripada empat parti dalam gabungan Gagasan Sejahtera.

“Pada masa ini, satu-satunya kerjasama rasmi antara PAS dan UMNO ialah di peringkat parlimen yang menyaksikan penggubal undang-undang dari kedua-dua pihak bekerjasama dalam isu-isu tertentu dan sebagai kluster yang berkaitan dengan portfolio kerajaan yang sedia ada,” kata Zahid. “Untuk melibatkan diri dalam hubungan jangka panjang bagi menghadapi PRU15, saya berpendapat perbincangan di peringkat kerja perlu diwujudkan terlebih dahulu.”

Beliau membuat kenyataan itu selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang membayangkan kemungkinan bahawa BN akan dibubarkan pada masa akan datang untuk memberi laluan kepada satu gabungan pembangkang yang baharu.

“Saya fikir akan ada perubahan politik yang disusuli dengan perubahan gabungan parti sama ada dalam pihak kerajaan atau pembangkang,” kata Abdul Hadi.

“Pakatan Harapan (PH) sendiri kini berpecah-belah dan jika perkara itu berterusan, mungkin tidak lama lagi mereka akan kembali menjadi pembangkang,” katanya yang mendakwa terdapat perselisihan dalam kalangan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ia melakukan persiapan untuk pemilihan parti pada Oktober.

PKR, yang dipimpin Anwar Ibrahim, telah menyertai parti lain untuk membentuk PH dan menewaskan gabungan parti pemerintah BN dalam PRU14 pada Mei, yang membawa Mahathir Mohamad kembali berkuasa sebagai perdana menteri. Anwar, yang mendapat pengampunan diraja bagi sabitan kes liwat terhadapnya selepas pilihan raya itu dan akan bertanding dalam satu pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen, dijangka menggantikan Mahathir dalam tempoh dua tahun akan datang.

Zahid, yang merupakan presiden UMNO pertama menghadiri perhimpunan agung PAS, melahirkan kekagumannya terhadap pendirian parti Islam itu yang tidak berhasrat untuk menentang kerajaan persekutuan.

“Ia adalah satu konsep baharu dan saya percaya ini adalah apa yang dikehendaki oleh orang ramai, satu barisan parti pembangkang yang bersatu bagi menangani isu-isu dan kebimbangan awam,” kata Zahid.

Awang Azman Awang Pawi, seorang ahli sosiologi Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya, memberitahu BeritaBenar bahawa Zahid kini mencari jalan untuk bekerjasama dengan PAS meskipun pada masa yang sama, beliau turut berhasrat menjalin kerjasama lebih erat dengan Anwar.

“Meskipun PAS dan UMNO berpelukan mesra, Zahid kini mengintai peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan PH, terutama PKR,” katanya.

Zahid pada Jumaat mengesahkan satu kenyataan rasmi UMNO bahawa pemimpin parti itu memberi mandat kepada beliau untuk mencari sekutu baharu di luar BN, termasuk gabungan parti pemerintah dan PAS.

Dalam ucapan pembukaan pada perhimpunan agung PAS ke-64, Abdul Hadi berkata beliau yakin parti itu mempunyai peluang yang baik untuk memenangi pilihan raya umum akan datang dan semua anggota perlu bekerja kuat untuk melakukan persiapan.

Menyalahkan pencapaian parti itu pada pilihan raya umum Mei, yang menyaksikan ia sekadar memenangi 18 kerusi parlimen, kerana terpaksa bertanding di pentas permainan yang tidak seimbang, Abdul Hadi berkata kejayaan PH adalah disebabkan oleh penguasaan gabungan itu ke atas media sosial yang dilakukan “tanpa mempedulikan sebarang batasan moral dan dosa pahala.”

Beliau juga berkata PH menang kerana sesetengah pengundi gagal melihat keindahan Islam.

“Disebabkan ketidakmatangan mereka, mereka sebaliknya mengundi parti-parti sekular dan pragmatik meskipun sedar akan agenda liberalnya, Islam yang tidak ortodoks dan toleransi terhadap komuniti LGBT, isu yang masih amat tabu di Malaysia,” katanya. “Dan kita hanya akan bekerjasama dengan mereka yang berusaha untuk menurut perintah Tuhan dan bukan dengan mereka yang melakukan dosa.”

Lihat Laman Penuh