Suami isteri dikaitkan dengan warga Israel didakwa miliki senjata

Ketua Polis Malaysia jangka rakyat Israel miliki pistol, peluru dituduh di mahkamah selepas Aidilfitri.
Noah Lee
2024.04.08
Kuala Lumpur
Suami isteri dikaitkan dengan warga Israel didakwa miliki senjata Ketua Polis Negara Razarudin Husain bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur, 10 Oktober 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sepasang suami isteri warga Malaysia yang ditahan kerana disyaki menjual senjata api kepada seorang lelaki Israel didakwa di mahkamah negara itu pada Isnin atas kesalahan berkaitan pemilikan pistol secara salah di sini undang-undang.

Kedua-dua mereka merupakan antara 15 individu yang telah ditahan oleh Polis Malaysia dalam beberapa siri operasi susulan penangkapan seorang rakyat Israel yang memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu.

Sharifah Faraha Syed Husin yang menyambut hari lahir ke-41 pada Isnin didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, negeri Selangor bersama-sama suaminya Abdul Azim Mohd Yasin, 43, di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat BenarNews, wanita tersebut didakwa memiliki sepucuk pistol 9mm jenama CZ 75 P-01 ketika berada di sebuah lokasi di Kuala Selangor pada kira-kira pukul 8 malam pada 29 Mac lepas.

"... dan oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang mana kamu boleh dihukum dengan pemenjaraan selama suatu tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan juga disebat tidak kurang daripada enam kali," kata kertas pertuduhan ke atas Sharifah Faraha.

Pertuduhan tersebut dibacakan terhadap wanita yang tidak bekerja itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sharifah Hascindie Syed Omar.

Abdul Azim pula didakwa di bawah Seksyen 9 atas kesalahan berada bersama Syarifah Faraha di lokasi dan masa sama semasa mengetahui isterinya memiliki senjata tersebut.

Lelaki itu turut menghadapi hukuman yang serupa jika sabit bersalah. 

BenarNews difahamkan kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dan meminta dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Fazeedah Faik manakala pasangan suami isteri berkenaan tidak diwakili peguam.

Menurut sumber yang hampir dengan kes, pasangan suami isteri yang telah ditahan reman sejak 30 Mac lepas akan terus berada dalam lokap sementara menanti perbicaraan kerana tidak ditawarkan sebarang ikat jamin.

"Kedua-dua tertuduh tidak ditawarkan jaminan memandangkan kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) tidak boleh dijamin," kata pegawai kerajaan tersebut.

Hakim Sharifah Hascindie menetapkan tarikh 11 Jun ini untuk sebutan kes berkenaan di Mahkamah Sesyen Klang.

Lelaki Israel didakwa lepas Aidilfitri

Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dalam satu sidang media pada hari yang sama berkata, lelaki warga Israel yang dikatakan membeli senjata daripada pasangan berkenaan dijangka didakwa di mahkamah dalam minggu ini.

"Warga Israel kita masih teruskan siasatan untuk mengumpul lagi maklumat bagi mendapatkan motif sebenar mengapa dia memiliki enam senjata api, yang dikatakan didapati dari sebuah negara jiran.

"Mungkin dalam minggu ini juga pertuduhan terhadap warga Israel itu akan dibuat, mungkin selepas hari raya," kata beliau kepada pemberita merujuk kepada Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan disambut umat Islam negara itu bermula Rabu.  

Pada 27 Mac lepas, polis menahan seorang lelaki warga Israel di sebuah hotel di Kuala Lumpur kerana memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru.

Razarudin ketika bercakap kepada BenarNews pada 30 Mac berkata, polis berjaya menangkap sepasang suami isteri kerana disyaki membekal pistol dan peluru kepada warga Israel itu selain menahan seorang lelaki yang menjadi pemandu arah sejak warga Israel itu tiba di negara itu pada 12 Mac lalu.

Katanya, polis turut merampas sepucuk pistol dari pasangan suami isteri itu.

Razarudin sebelum ini turut mengesahkan identiti warga Israel yang mempunyai dwikerakyatan kerana menggunakan pasport Perancis semasa memasuki Malaysia pada 12 Mac lalu.

Namun BenarNews tidak mendedahkan identiti suspek kerana dia belum didakwa lagi di mahkamah manakala tempoh remannya dilanjutkan lagi tujuh hari bermula Ahad.

Lelaki Israel itu disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Pasport 1966 serta Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Menurut polis, lelaki Israel berusia 37 tahun itu mendakwa datang ke Malaysia untuk membunuh seorang lagi rakyat Israel susulan masalah perseteruan keluarga.  

Razarudin bagaimanapun, memberitahu pemberita sebelum ini bahawa polis tidak mempercayai cerita berkenaan dan mengesyaki bahawa lelaki tersebut mempunyai agenda lain.

Katanya, siasatan terhadap warga Israel itu perlu dijalankan dari segenap aspek termasuk kebarangkalian beliau adalah pengintip atau ejen agensi perisikan Israel, Mossad.

Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan melarang kemasukan rakyat negara itu.

Penahanan warga Israel itu mendorong pihak keselamatan Malaysia meningkatkan kawalan keselamatan ke atas Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri ketika perang Israel-Hamas sejak 7 Oktober lalu menjadi isu besar dalam kalangan rakyat negara itu yang merupakan pendukung kuat Palestin.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin pada Mac lalu mengkritik negara Barat kerana kurang bertindak terhadap kekejaman Israel di Gaza tetapi mengecam Hamas selain menggesa mereka menghentikan sikap memilih-milih.

Anwar turut mempertahankan pendirian Malaysia mempunyai hubungan dengan sayap politik Hamas namun tidak terlibat dengan aktiviti ketenteraan pergerakan pejuang Palestin itu.

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.