Follow us

Malaysia Kesan Tiga Gas Merbahaya di Ruang Udara Pasir Gudang

Nat Shu & Noah Lee
Johor Bahru & Putrajaya
2019-06-28
E-mel
Komen
Share
Kakitangan Unit Kecemasan membawa pelajar dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan selepas insiden tumpahan kimia toksik di Pasir Gudang, Johor, 13 Mac, 2019.
Kakitangan Unit Kecemasan membawa pelajar dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan selepas insiden tumpahan kimia toksik di Pasir Gudang, Johor, 13 Mac, 2019.
[AP]

Pihak berkuasa Malaysia mengesan tiga gas merbahaya di ruang udara Pasir Gudang, Johor sehingga berlakunya insiden kesukaran bernafas yang dialami penduduk, selain Menteri menyalahkan pembangunan tidak lestari di kawasan berkenaan antara punca yang memberi kesan kepada alam sekitar.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin berkata kementerian mengesan kehadiran tiga gas iaitu methyl mercaptan, acrylonitrile, dan acrolein, di ruang udara kawasan berkenaan.

“Ruang udara yang tepu di Pasir Gudang dan kehadiran gas-gas ini merupakan satu anomali atau di luar kelaziman telah membawa kesan dan risiko tinggi terutamanya kepada kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan seperti pengidap penyakit lelah. Kerajaan masih belum dapat mengesahkan 100 peratus punca kes yang menyebabkan berpuluh pelajar dan orang awam mengalami mual, pening dan sesak nafas sejak Khamis minggu lepas.

“Bagaimanapun ketiga-tiga jenis gas ini tidak dikesan di dalam sampel darah dan urin dari pesakit yang dirawat di hospital, tetapi apa yang diketahui kualiti udara Pasir Gudang lebih tercemar dari bahagian lain di Malaysia,” kata Yeo pada satu sidang media yang diadakan bersama Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad di Putrajaya pada Jumaat.

Pasir Gudang adalah sebuah bandar utama perindustrian di Johor, yang mempunyai kira-kira 2,005 buah kilang berlesen dengan 250 daripadanya berasaskan bahan kimia. Bandar itu turut mempunyai 500 ribu penduduk itu dengan terdapatnya Pelabuhan Pasir Gudang, yang bersempadanan dengan Singapura di Selat Johor di daerah itu.

Yeo juga berkata pembangunan tidak lestari di Pasir Gudang juga adalah penyumbang kepada kesan jangka panjang terhadap alam sekitar di kawasan itu.

"Pembangunan tidak lestari ini menyebabkan alam sekitar menjadi tepu dengan pelbagai gas atau wap yang terampai di udara, pelepasan efluen yang tidak dikawal rapi ke perparitan dan saliran sekaligus juga menyebabkan persekitaran menjadi tidak stabil dan amat sensitif. Kepesatan pembangunan dan kepadatan industri kimia yang tinggi di Pasir Gudang menjadi penyumbang utama kepada impak kapasiti muatan terhadap persekitaran di ruang udara, darat dan sungai di kawasan berkenaan," tambah Yeo.

Beliau berkata ketiadaan zon penampan antara industri berasaskan bahan kimia dengan kawasan sekolah, perumahan dan pusat aktiviti masyarakat, sekali gus mendedahkan penduduk Pasir Gudang kepada risiko bencana kimia.

“Ketiadaan zon penampan ini menyebabkan terdapatnya sekolah yang kedudukannya amat dekat dengan kilang-kilang,” kata beliau sambil menambah yang pihak berkuasa juga sedang berkerja keras untuk mencari punca kepada kes terbaru pencemaran itu dengan terus memantau kualiti udara dan gas yang dikeluarkan di kawasan berkenaan.

Antara langkah segera yang diambil kerajaan kata Menteri itu ialah mengadakan analisis impak kapasiti muataan dan zon penampan bagi mengurangkan risiko bencana bahan kimia, selain mewujudkan sistem menentukan 'carrying capacity' udara di Pasir Gudang menggunakan kaedah pemodelan penyebaran udara ['air dispersion modeling] seperti mana yang diamalkan oleh negara-negara maju.

Selain itu, katanya, langkah lain ialah membina stesen pencerapan gas automatik yang dapat memberi amaran awal bencana kimia dengan lebih cekap dan pantas.

“Dengan tidakan proaktif ini, Pasir Gudang akan menjadi kawasan industri berat yang pertama di negara yang akan mempunyai sistem pemantauan kualiti persekitaran automatik. Rekabentuk struktur dan sistem stesen pemantauan itu akan ditentukan berdasarkan kajian yang akan dijalankan.

Beliau berkata satu pertemuan akan turut diadakan dengan pengusaha kilang di kawasan itu minggu hadapan.

Sultan Johor murka


Dalam pada itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar murka dengan kejadian terbaru di Pasir Gudang itu, di mana baginda dalam satu temu bual bersama akhbar tempatan The Star menggambarkan kes kedua pencemaran kimia di Pasir Gudang sebagai "hina dan memalukan", dan mahu kerajaan negeri dan persekutuan mengawasi perkara tersebut.

"Ini adalah penghinaan dan memalukan," titah baginda dengan menambah insiden terbaru itu jelas menunjukkan "kelemahan ketara, tidak kompeten" dalam sistem pengurusan bencana negeri dan persekutuan.

Sultan Ibrahim menitah yang baginda akan memanggil pemimpin-pemimpin negeri dan persekutuan untuk menerangkan mengenai kejadian terbaru yang berlaku di kawasan yang sama dalam tempoh beberapa bulan.

"Beta telah diyakinkan bahawa semuanya berada dalam keadaan baik dan telah diberi jaminan oleh ahli politik dan pegawai mengenainya dan hampir tiga bulan kemudian, rakyat Johor menghadapi masalah ini sekali lagi,” titah baginda.

"Beta tidak mahu diberi jaminan kosong," titah baginda murka.

Sementara itu, Menteri Kesihatan pada Jumaat juga berkata sejumlah 748 orang telah  menerima rawatan dengan 709 daripadanya dirawat sebagai pesakit luar manakala 39 lagi dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Empat pesakit masih dirawat iaitu tiga orang di Hospital Sultan Ismail dan seorang di Hospital Regency.  Setakat ini tiada kes terbaru yang dirujuk kepada Unit Rawatan Rapi dan tiada kematian dilaporkan,” tambah Dzulkefly.

Lihat Laman Penuh