Follow us

Pasir Gudang: Sekatan Jalan Raya Halang Seludup Keluar Sisa Toksik

Ali Nufael & Nat Shu
Kuala Lumpur & Johor Bahru
2019-06-25
E-mel
Komen
Share
Seorang pelajar perempuan Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort muntah setelah terhidu bahan kimia yang mencemari ruang udara Pasir Gudang, Johor, 24 Jun 2019.
Seorang pelajar perempuan Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort muntah setelah terhidu bahan kimia yang mencemari ruang udara Pasir Gudang, Johor, 24 Jun 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Polis berkuasa Malaysia mengambil langkah membuat sekatan jalan raya di sekitar Pasir Gudang sebagai tindakan menghalang sisa toksik dari diseludup keluar dalam usahanya mengawal krisis kesihatan yang berlaku di kawasan perindustrian utama di Johor itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Mohamad Khuzzan Abu Bakar berkata sekatan jalan raya dikuatkuasakan sejak Jumaat lepas melibatkan kawasan Pasir Gudang, apabila berlakunya pencemaran udara sehingga menyebabkan ramai, terutamanya pelajar sekolah sesak nafas dan muntah, beberapa hari sebelum itu.

“Jalan raya disekat bagi menghalang usaha sisa toksik diseludup keluar secara runcit oleh industri,” kata Mohamad Khuzzan.

Pasir Gudang adalah sebuah bandar utama perindustrian di Johor, dengan lebih 400 buah kilang daripada pelbagai industri berat dan ringan beroperasi di daerah itu. Bandar yang mempunyai kira-kira 500 ribu penduduk itu juga mempunyai sebuah pelabuhan yang bersempadanan dengan Singapura di Selat Johor, iaitu Pelabuhan Pasir Gudang.

Sementara itu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata insiden pencemaran udara di Pasir Gudang tidak sepatutnya berlaku, selepas terjadinya insiden serupa sebelum ini.

"Ini kurang cerdik... nampaknya ada industri-industri yang tidak begitu prihatin terhadap keselamatan menyebabkan insiden ini berlaku lagi,” kata Perdana Menteri seperti yang dilaporkan oleh agensi berita nasional Malaysia, Bernama.

Mahathir berkata demikian sebagai merujuk kepada insiden Sungai Kim Kim juga di Pasir Gudang yang disebabkan oleh pencemaran udara dan simptom yang sama dialami orang ramai di kawasan berkenaan pada Mac lepas.

Insiden tiga bulan lepas itu menyebabkan lebih 1,000 orang awam termasuk pelajar dan guru daripada kira-kira 30 buah sekolah di daerah Pasir Gudang telah dikejarkan ke hospital selepas terdedah kepada gas toksik akibat daripada pencemaran di Sungai Kim Kim itu.

"Sebab itu kita perlu kenal pasti siapa mencemarkan udara di situ dan ambil tindakan yang tegas terhadap mereka,” kata Mahathir.

Sekolah tutup


Pada Isnin, Jabatan Pendidikan Negeri mengarahkan sebanyak 111 buah sekolah terdiri daripada rendah dan menengah, tiga intitusi pengajian tinggi, 347 tadika serta 14 buah sekolah swasta dan antarabangsa di Pasir Gudang ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga, selepas ramai pelajar di kawasan berkenaan jatuh sakit.

Menurut Mohamad Khuzzan lagi, tiada lagi pesakit baru dimasukkan ke dalam wad ekoran kejadian sesak nafas sejak beberapa hari yang lalu.

Jumlah mangsa yang dirawat kekal sembilan orang daripada 75 mangsa yang dirawat sejak Khamis.

"Sehingga jam 12 tengah hari (Selasa) tiada lagi pesakit baru dimasukkan ke hospital. Perkembangan positif ini adalah hasil daripada penutupan sementara sekolah di daerah ini kerana majoriti mangsa atau pesakit adalah daripada kalangan pelajar sekolah," tambah  Khuzzan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa beberapa langkah seperti pemeriksaan keatas 30 premis berisiko tinggi telah diambil di mana sebuah premis pemprosesan toksik telah diarahkan membuat pelupusan sisa toksik serta merta.

Katanya, 250 premis yang mengendalikan bahan berbahaya turut diperiksa dan diberi peringatan untuk mematuhi prosedur standard yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Pihak berwajib seperti Jabatan Alam Sekitar [JAS] juga telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis berisiko tinggi serta mengendali bahan berbahaya, di mana notis peringatan juga dikeluarkan di atas permis mereka,” tambahnya.

Khuzzan juga memberitahu yang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui pasukan HAZMAT juga turun padang memantau tahap kualiti udara di sekitar kawasan Pasir Gudang

"Kerajaan negeri amat tegas dalam isu ini dan telah mengeluarkan arahan mandatori supaya mengambil tindakan tegas dan segera terhadap kilang yang disyaki terlibat dalam pencemaran.

“Semua aktiviti luar masih berjalan seperti biasa dan orang ramai dinasihatkan memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga," tambah Kuzzan.

Pada 25 Mac, seorang warga Singapura yang juga pengarah syarikat, bersama dua lagi rakyat tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bharu atas pertuduhan melupuskan buangan tercemar secara haram di Sungai Kim Kim.

Tertuduh Wang Jing Chao, 35, warga Singapura dan Yap Yoke Liang, 41 dituduh bersama bersubahat dengan pemandu lori syarikat N. Maridass, 34 melepaskan buangan terjadual iaitu enap cemar berminyak di Sungai Kim Kim menggunakan semi trailer tangki sawit tanpa mendapatkan sebarang kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar pada 7 Mac lepas.

Pembuangan tersebut tidak mendapat sebarang kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling dengan Wang dan Yap didakwa bersuhabat bersama Maridass untuk melupuskan barangan terjadual menggunakan kenderaan syarikat di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim pada hari tersebut.

Maridass didakwa mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 B(4) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda 500 ribu ringgit.

Wang dan Yap pula didakwa mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dibaca bersama dengan Seksyen 42 Akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 B(4) yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda 500 ribu ringgit.

Lihat Laman Penuh