Malaysia Tahan Sembilan Lelaki Bantu Siasatan Pencemaran Toksik di Johor

Radzi Razak
2019.03.18
Kuala Lumpur, Malaysia
190318-MY-TongBiru620.jpg Anggota Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor memeriksa dan mengukur kualiti udara di sekitar kawasan penemuan tong biru yang baru ditemui di cabang Sungai Kim Kim di Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, Johor, Malaysia, 18 Mac, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia mengesahkan penangkapan sembilan lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang, dengan Ketua Polis Negara enggan mengulas lanjut mengenai penangkapan tiga individu minggu lalu.

Mohamad Fuzi Harun berkata dua daripada sembilan mereka ditahan di Johor manakala selebihnya di negeri lain dalam satu operasi khas pada Ahad.

“Polis menahan sembilan lelaki dan mereka direman selama enam hari bermula Isnin sehingga 23 Mac bagi membantu siasatan,” kata Fuzi di Ibu pejabat Polis Kontijen Johor, di Johor Bahru.

Beliau bagaimanapun enggan memberi butiran lanjut mengenai penangkapan sembilan lelaki itu sambil berkata yang siasatan mengenai sedang berjalan.

Fuzi yang mengadakan lawatan ke Pusat Rawatan Awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang selepas itu turut ditanya mengenai penahanan tiga individu yang dipercayai terlibat dalam pembuangan sisa kimia seperti yang dimaklumkan oleh Jabatan Alam Sekitar [JAS] minggu lalu, tetapi enggan memberi komen lanjut mengenainya.

“Operasi dikendalikan berhubung isu ini dibuat berasingan kecuali apabila diberi maklumat. PDRM memang belum membuat tangkapan, itu fakta yang kami laporkan kepada media. Apa yang dikeluarkan oleh jabatan lain, kami tidak dapat komen,” tambah Ketua Polis itu.

Pada minggu lepas, Menteri Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin pula berkata, Jabatan Alam Sekitar Negeri telah menahan tiga suspek termasuk seorang pemilik kilang kitar semula tayar di Kulai berhubung kes pencemaran tersebut.

Menteri itu berkata kertas siasatan telahpun siap dan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan penilaian dan pertimbangan untuk didakwa pada Khamis.

Bagaimanapun pada Khamis, Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Sahruddin Jamal berkata, pendakwaan terhadap mereka yang dipercayai membuang sisa kimia di sungai tersebut belum dapat dilakukan berikutan pihak JAS perlu melengkapkan kertas siasatan.

"Kertas siasatan mahkamah telah dihantar kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan pihak JAS diminta untuk menambah beberapa lagi maklumat untuk melengkapkan kertas siasatan tersebut. Pendakwaan masih belum lagi dapat dilakukan sehingga mendapatkan arahan lanjut daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya," tambah Sharuddin.

Sultan Johor murka

Pada Ahad, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar murka terhadap pihak tertentu yang menyebarkan fitnah kononnya baginda terlibat dalam perniagaan kilang yang menyebabkan berlakunya pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang itu.

Baginda menerusi catatan di laman rasmi Facebook baginda mengingatkan pihak tertentu supaya jangan cuba mengalih perhatian rakyat atas kelemahan pihak yang sepatutnya menjalankan tugas mereka dan meminta menumpukan kepada usaha menyelesaikan isu berkenaan.

"Sudah sampai kepada pengetahuan saya bahawa ada pihak tertentu yang cuba menyebarkan fitnah bahawa saya terlibat dalam perniagaan kilang yang menyebabkan pencemaran di Pasir Gudang. Saya ingin mengingatkan semua pihak supaya berhenti mempolitikkan isu ini. Sila bawa bukti yang sahih jika benar saya terlibat dalam perniagaan kilang itu kerana saya tidak pernah gentar dan tunduk pada fitnah yang memburukkan Institusi Diraja Johor," titahnya.

Sementara itu, penduduk Taman Tanjung Puteri Resort di sini gempar dengan penemuan beberapa tong biru dipercayai berisi sisa bahan kimia, di Sungai Sembilang, kira-kira dua kilometer dari Sungai Kim Kim.

Tong terbabit ditemui kira-kira 500 meter dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, salah satu daripada 111 sekolah di daerah itu yang diarah ditutup sementara sejak Rabu lalu.

Wakil penduduk, Ahmad Roh Ariffin yang ditemui media pada Isnin mendakwa tong terbabit ditemui kira-kira 500 meter dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, salah satu daripada 111 sekolah di sini yang diarah ditutup itu.

“Semasa ditemui, tong itu berbau seperti cuka tapi ia tidak dibuka kerana tidak tahu apa isi kandungannya. Hari ini saya laporkan terus perkara ini kepada pejabat Menteri Besar dan wakilnya telah datang untuk meninjau kawasan dengan bantuan polis,” katanya kepada media di kawasan berkenaan.

Tiga daripada tong berkenaan ditemui dibuang dalam parit manakala empat lagi dijumpai di bawah jambatan anak sungai yang dipercayai bersambung dengan Sungai Kim Kim.

Anggota polis telah pun dilihat menutup kawasan terbabit dan anggota bomba turut kelihatan sedang mengambil sampel daripada tong berkenaan.

Kerajaan Johor dalam kenyataan pada Isnin berkata pesakit yang menerima rawatan di hospital berkaitan masalah kesihatan berpunca dari pencemaran toksik sudah makin berkurang.

“Sehingga jam 12 tengah malam jumlah yang telah dibenarkan pulang dari Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail adalah seramai 119 orang manakala yang masih dirawat kini berjumlah 29 berbanding 120 pesakit semalam (Ahad). Manakala empat orang pesakit masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi berbanding tujuh sebelum ini,” kata Sahruddin.

Beliau juga berkata, kerja-kerja pembersihan di sungai berkenaan berjalan lancar dan pembersihan sepanjang 1.5 kilometer [1 batu] sungai yang tercemar berjaya dijalankan.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim(MESTECC) pula berkata, hasil pemantauan terhadap 42 sekolah pada Ahad menunjukkan hampir kesemuanya menunjukkan bacaan sifar.

“Secara keseluruhannya hampir kesemua sekolah menunjukkan nilai Volatile Organic Compound VOC sifar kecuali Sekolah Taman Rinting 3 yang menunjukkan sekali sahaja bacaan VOC pada kadar lima dan tiga pada jam 3 petang di aras bawah dan aras satu sekolah itu,” kata MESTECC dalam kenyataan media pada Isnin.

‘Cuti’ Sampai Cuti Sekolah


Menteri Pendidikan Maszlee Malik pada Isnin berkata sekolah di Pasir Gudang akan terus ditutup sehingga cuti sekolah yang akan bermula minggu hadapan.

“Selepas diberikan taklimat, diputuskan bahawa sekolah akan terus ditutup sehingga cuti sekolah yang akan bermula pada 22 Mac sehingga 30. Kita akan lihat jika perlu terus ditutup atau semua akan kembali bersekolah selepas itu,” kata Maszlee.

Sebanyak 111 sekolah ditutup ekoran kejadian pencemaran toksik di Pasir Gudang.

Insiden pencemaran toksik berlaku sejak minggu lalu dengan kerajaan negeri dan pusat memberi fokus kepada pembersihan kawasan berkenaan.

Walaupun berdepan dengan kritikan, tiada pengisytiharan darurat dilakukan oleh kerajaan pusat.

Menurut Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang melawat kawasan terlibat minggu lalu, kesemua pihak sedang melakukan yang terbaik untuk memberi rawatan kesihatan kepada mangsa yang terkesan dengan kes tersebut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.