Lelaki Tempatan Didakwa Berkaitan Kes Penculikan Paderi

Hadi Azmi
2018.01.16
Petaling Jaya, Selangor
180116-MY-Koh620.jpg Persuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai bersama ahli panel siasatan suruhanjaya itu, barisan peguam dan ahli keluarga sedang mendengar penerangan semasa melawat tempat kejadian Paderi Raymond Koh diculik di Petaling Jaya, Selangor, 11 Nov 2017.
[Ihsan Suhakam]

Pihak berkuasa Malaysia pada Selasa berkata, seorang lelaki tempatan telah didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas kesalahan menculik Paderi Raymond Koh Keng Joo, awal tahun lalu, yang sekaligus menamatkan prosiding siasatan awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai kes berkenaan.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat petang Selasa berkata, lelaki yang ditahan itu telah didakwa di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan di mahkamah tersebut pada Isnin, kerana mempunyai niat untuk menculik serta melarikan secara paksa paderi berkenaan.

“Seorang lelaki Cina warganegara Malaysia bernama Lam Chang Nam, telah didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada 15 Januari kerana disyaki terlibat dengan tujuh lagi individu lain yang masih bebas menculik Paderi Raymond awal tahun lalu,” katanya.

Lam, 31, pemandu sambilan Uber didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan di Petaling Jaya kira-kira jam 10.25 pagi pada 13 Februari tahun lalu dan beliau boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata yang suruhanjaya berkenaan ada menerima surat daripada Ketua Polis Negara pada Isnin, mengarahkan prosiding awam tersebut dihentikan selepas polis mendakwa seorang suspek atas tuduhan menculik Paderi tersebut.

"Seorang suspek telah dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada 15 Januari. Penahanannya dibuat pada 12 Januari lalu namun, kami tidak tahu sama ada dia direman atau sudah dibebaskan dengan jaminan.

“Kami terkejut dengan perkembangan ini. Kami tidak mendengar khabar mengenai hal ini sehingga semalam,” kata Mah pada hari ke-12 siasatan awam ke atas kehilangan Koh berlangsung di ibu pejabat Suhakam pada Selasa.

Seksyen 12(3) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia menggariskan kewajipan untuk suruhanjaya tersebut menghentikan serta-merta mana-mana aduan berkenaan pelanggaran hak asasi manusia yang melibatkan mahkamah.

“Kami memutuskan untuk memberhentikan siasatan sehingga notis terbaru dimaklumkan kelak, tambah Mah.

Siasatan diteruskan

Menurut Fuzi, “siasatan mengenai kehilangan Paderi berkenaan masih berterusan dan pihak polis telah menemukan petunjuk baharu untuk mengaitkan Lam Chang Nam dengan kes berkenaan,”

Sementara itu, Peguam Lam, Aaron Mark Pius mengesahkan anak guamnya telah didakwa di bawah seksyen tersebut dan mengaku tidak bersalah.

Pada Mac 2017, Lam telah dihadapkan ke Mahkamah Majisterit Petaling Jaya dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan memeras ugut anak kepada Paderi Koh, Jonathan Koh Szu Hao, 33, dengan meminta sebanyak RM30,000 bagi pembebasan ayahnya dan beliau telah dituduh dibawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dengan kesalahan yang mengakibatkan seseorang menjadi takut dengan tindakan pemerasan.

Dalam prosiding sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat dalam keterangannya berkata Lam didapati tiada kaitan dengan penculikan Koh kerana dia sekadar mengambil kesempatan atas kejadian itu dengan memeras ugut mereka.

Mah juga berkata, Suhakam bagaimanapun akan meneruskan siasatan awam tentang kehilangan beberapa aktivis sosial seperti Amri Che Mat, Paderi Joshua Hilmi dan isterinya Ruth Sitepu yang dilaporkan.

Peguam keluarga Paderi Koh, Gurdial Singh walau bagimanapun mempersoalkan keputusan Suhakam kerana skop prosiding siasatan awam tersebut adalah lebih luas.

“Jika benarpun ada suspek yang terlibat dalam kes ini, persoalan kita lebih luas merangkumi pengesahan dari pihak berkuasa dalam kehilangan Paderi Koh.”

Beliau juga berkata prosiding siasatan tersebut juga bertujuan untuk mengenalpasti sama ada terdapat penglibatan pihak kerajaan dalam kes kehilangan berkenaan.

Isteri Koh, Susanna Liew ternyata terkejut kerana tidak dimaklumkan polis mengenai perkembangan terbaru itu.

“Ini sangat mengejutkan bagi kami sekeluarga. Kami tidak sangka ia akan berlaku kerana harapan kami ialah untuk mendapat jawapan dari Suhakam,” katanya.

Peguam Andrew Koh dari Badan Peguam Malaysia walau bagaimanapun berkata semua pihak harus menerima keputusan tersebut.

"Kita mesti realistik terhadap kehendak undang-undang yang meletakkan bidang kuasa suruhanjaya lebih rendah daripada bidang kuasa mahkamah,” katanya.

Namun begitu, beliau menegaskan isu kehilangan individu-individu lain masih harus diteruskan.

Kehilangan Koh pada mulanya kelihatan seperti kes penculikan, namun apabila kes itu semakin mendapat publisiti, lebih banyak laporan mengenai kehilangan rakyat Malaysia timbul, termasuk Amri, Paderi Joshua dan isterinya Ruth.    

Amir, pengasas bersama sebuah NGO tempatan, didakwa diculik dari keretanya pada 24 Nov 2016 di Perlis, sebuah negeri di utara yang bersempadanan dengan Thailand. Isterinya telah menafikan bahawa beliau menyebarkan ajaran Syiah, yang dilarang di Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Islam dengan fahaman Sunnah.

Hilmi dan Ruth, kedua-duanya pengkhutbah Kristian, dilihat buat kali terakhir pada 30 Nov di rumah mereka di Selangor. Laporan orang hilang, bagaimanapun tidak dibuat sehingga 6 Mac lalu, kata para pegawai.

Panel itu telah mensapina sekurang-kurangnya 15 orang, termasuk bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, dan menyoal siasat 35 yang lain.

Penculikan Koh berlaku kurang daripada seminit dan disaksikan beberapa pemandu lain yang kemudiannya membuat laporan polis.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.