Follow us

Isteri Paderi Koh Tuntut Kerajaan PH Tubuh Pasukan Khas Jalani Siasatan Baharu

Ray Sherman
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-06
E-mel
Komen
Share
Isteri Koh, Susanna Liew [baju merah jambu] bercakap kepada media diluar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Malaysia, 12 Feb, 2019,
Isteri Koh, Susanna Liew [baju merah jambu] bercakap kepada media diluar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Malaysia, 12 Feb, 2019,
[Ihsan Caged]

Isteri paderi Raymond Koh Keng Joo yang dilaporkan hilang dalam kes penculikan berprofil tinggi dua tahun lepas, pada Rabu mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan satu pasukan petugas khas yang tidak memihak untuk menjalankan siasatan baharu.

Susanna Liew, 62, berkata pasukan itu hendaklah dianggotai pelbagai agensi yang tidak memihak, boleh dipercayai serta mempunyai kuasa untuk menangkap, mendakwa dan merampas dokumen yang sebelum ini diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

"Pasukan petugas khas itu tidak boleh dianggotai pasukan polis Cawangan Khas atau JAIS [Jabatan Agama Islam Selangor] atau sesiapa sahaja yang mempunyai kepentingan dalam siasatan berkenaan," kata Liew pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi hujahan lisan peguamnya kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia [SUHAKAM] di Kuala Lumpur.

Terdahulu, semasa bercakap kepada BeritaBenar, Liew berkata keluarganya masih menanti walaupun sudah dua tahun kes kehilangan suaminya itu berlaku.

"Sudah terlalu lama, adalah sesuatu yang kejam bagi keluarga untuk menunggu tanpa sebarang maklumat di mana suami saya berada. Walaupun kami telah menulis kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, apa yang kami dapat sehingga kini hanyalah semua pihak mendiamkan diri.

"Kami juga tidak pernah mendapat sebarang maklumat daripada polis walaupun selepas Peguam Negara menulis kepada mereka dan meminta kami memberikan maklumat terkini tentang kes itu.

"Kami masih berharap bahawa di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan, keadilan dapat ditegakkan," kata Liew sambil memaklumkan bahawa keluarganya tidak pernah putus harapan untuk mendapatkan jawapan mengenai misteri kehilangan suaminya itu.

Koh, seorang paderi minoriti Kristian Malaysia, dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng hitam yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan [SUV] bersama sebuah motosikal pada siang hari 13 Februari dua tahun lepas.

Kumpulan lelaki berkenaan telah memaksa kereta dipandu Koh, yang dalam perjalanan ke rumah rakannya, berhenti di simpang keluar sebuah lebuh raya di Petaling Jaya berdekatan Kuala Lumpur sebelum melarikan paderi berkenaan dan kejadian itu telah disaksikan beberapa pemandu lain serta turut dirakam oleh kamera pengawasan lalu lintas di kawasan tersebut.

Keretanya yang berwarna perak masih hilang manakala keluarga paderi itu dan masyarakat awam mendakwa polis terlibat dalam penculikan Koh kerana kejadian tersebut dikatakan berlaku seperti operasi polis.

Tiada berita

Liew pada Rabu juga menggesa agar diadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat, yang mengetuai pasukan petugas mengenai kehilangan itu.

Selain itu, wanita berkenaan mahu Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED), sebuah instrumen hak asasi antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB] bagi menghalang kehilangan secara paksa seperti yang ditakrifkan dalam undang-undang antarabangsa dan jenayah kemanusiaan.

Kehilangan secara paksa ditakrifkan sebagai penangkapan, penahanan, penculikan atau bentuk-bentuk lain perampasan kebebasan oleh ejen-ejen kerajaan atau oleh orang perseorangan, atau kumpulan-kumpulan orang perseorangan, yang bertindak dengan kelulusan, sokongan atau persetujuan kerajaan.

Pada 13 Feb lepas, sempena ulang tahun kedua kehilangan Koh, Liew bersama-sama isteri aktivis sosial Amri Che Mat, pengasas sebuah badan bukan kerajaan tempatan di Perlis, yang hilang pada 24 Nov 2016, telah menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri meminta siasatan baharu dilakukan berhubung kehilangan ahli keluarga mereka serta beberapa individu lain yang mempunyai profil sosio-agama serupa.

Selain Koh dan Amri, Joshua Hilmi serta isterinya, Ruth Sitepu, turut dilaporkan hilang sejak 2016.

Norhayati Mohd Ariffin, isteri Amri pada sidang media sama juga mahu siasatan baharu dijalankan dalam kes yang melibatkan suaminya.

Norhayati juga berharap agar polis dapat bertemu dengan beliau dan menjelaskan mengenai kes kehilangan suaminya kerana tiada sebarang maklumat terkini diperoleh sejak Amri hilang.

SUHAKAM sebelum ini telah melakukan inkuiri awam berhubung kehilangan beberapa individu sejak November 2017 dengan memanggil lebih 30 orang untuk memberi keterangan,termasuk pegawai kanan polis, dan menamatkan inkuiri awam itu pada Disember lepas.

Pada Rabu, peguam keluarga Koh dan Amri, iaitu Jerald Gomez dan David Morais, telah mengemukakan hujahan lisan mereka kepada SUHAKAM.

Panel inkuiri SUHAKAM yang dianggotai Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Nik Salida Suhaila Nik Saleh dijangka membentangkan penemuan serta cadangan badan hak asasi itu kepada Parlimen dalam tempoh terdekat.

Tiada beza

Sementara itu, jurucakap Kumpulan Tindakan Rakyat terhadap Penculikan [Caged] Sevan Doraisamy berkata kerajaan PH tidak berbeza dengan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini dalam menangani kes-kes kehilangan secara paksa.

“Kementerian Dalam Negeri dilihat tidak cekap dalam mengendalikan kes ini, walaupun berlaku perubahan dalam kerajaan… Kami berharap Menteri Dalam Negeri dapat mencari masa untuk bertemu dengan keluarga yang terjejas dengan memberi maklumat terkini, sebaliknya tiada apa yang berlaku,” kata Sevan.

Sambil melepaskan keluhan, Sevan yang juga Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia [Suaram] berkata keluarga dan masyarakat awam serta badan bukan kerajaan terpaksa bergantung hanya kepada SUHAKAM untuk maklumat terkini mengenai kes kehilangan itu kerana tidak boleh mendapatkannya daripada pihak berkuasa.

"Secara umumnya, dilihat bahawa pihak polis terlibat dalam kehilangan ini dan jika Menteri Dalam Negeri gagal bertindak, ia boleh dianggap sebagai ketidakcekapan polis,” tambah beliau.

BeritaBenar cuba menghubungi Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan komen namun gagal.

Lihat Laman Penuh