Polis Malaysia Tahan 12 Rakyat Myanmar
2015.07.22
Polis Malaysia menahan 12 pendatang asing tanpa izin dipercayai warga Myanmar di Pulau Segantang, Langkawi, Kedah semasa cuba memasuki negara itu dengan sebuah bot, awal pagi Rabu.
Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebagai berkata, mereka yang ditahan berusia di antara 16 dan 40 tahun.
"Baru pagi tadi mereka ditahan. Kami sedang menyiasat bagaimana mereka masuk dan siapa tekong bot yang membawa mereka.
Kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan pihak polis sedang mengenal pasti identiti tekong bot," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Pada 11 Mei lepas, pihak berkuasa Malaysia menahan seramai 1,018 orang pendatang Rohingya dan Bangladesh di pulau Langkawi, sehari selepas nelayan-nelayan di wilayah Aceh, Indonesia menyelamatkan 573 orang yang lain.
Peningkatan perjalanan haram melalui laut berlaku 11 hari selepas penemuan mengerikan puluhan kubur di selatan Thailand, disusuli tindakan tegas terhadap pemerdagangan manusia beberapa hari kemudian.
Negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia mempertahankan keputusan mereka untuk menolak pendatang-pendatang Rohingya dan Bangladesh daripada mendarat di pantai-pantai mereka, walaupun menerima kritikan terhadap dasar itu.
Malaysia dan Indonesia kemudiannya mengumumkan bahawa kedua-dua negara itu akan berhenti menyekat pendaratan bot-bot asing serta menerima sehingga 7,000 migran dengan syarat masyarakat antarabangsa membantu menghantar mereka pulang atau ditempatkan semula di negara-negara ketiga dalam tempoh setahun.
Oleh staf BeritaBenar dengan maklumat dari laporan berita.