Kemiskinan: Pelapor PBB Kritik Tindakan Berbeza Kerajaan Baru Malaysia

John Bechtel
2020.07.06
Washington
190823-UN-620-INSIDE.jpg Pelapor Khas PBB Philip Alston (kanan) berbual dengan keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur semasa mengadakan lawatan 11 hari ke Malaysia, 23 Ogos 2019.
[Bassam Khawaja/PBB]

Langkah kerajaan baru Malaysia untuk mengetepikan janji pentadbiran sebelum ini bagi membetulkan penilaian kemiskinan yang "amat rendah" adalah membimbangkan kerana ia akan menyukarkan lagi usaha pembasmian kemiskinan di negara Asia Tenggara itu, kata seorang pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.

Philip Alston, pelapor khas PBB mengenai kemiskinan teruk dan hak asasi manusia, menyuarakan kebimbangannya itu ketika mengeluarkan laporan muktamadnya mengenai kemiskinan di Malaysia hasil daripada lawatannya ke negara itu pada tahun lalu.

"Kerajaan baru Malaysia telah mengambil tindakan yang bertentangan dengan komitmen kerajaan sebelum ini yang mengambil serius soal kemiskinan," kata Alston dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di New York pada Isnin. "Tindakan kerajaan untuk menterbalikkan langkah itu adalah amat membimbangkan kerana garis [kemiskinan] semasa adalah tidak selari dan dari segi universal, ia dianggap amat rendah.”

Pengganti beliau sebagai pelapor PBB, Olivier De Schutter, dijangka membentangkan laporan Alston mengenai Malaysia kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Selasa.

"Data penting berkaitan kemiskinan selalunya tidak dapat diakses atau tiada, yang menjadikannya tidak produktif dan menyukarkan para pembuat dasar serta penyelidik melakukan tugas mereka. Berbanding dengan banyak negara lain, Malaysia tidak menyediakan akses penuh kepada data mikro banci isi rumah, dan tidak mengumpulkan maklumat mengenai ukuran populasi rentan yang tertentu,” kata Alston.

Pejabat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan pejabat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali tidak membalas permintaan BeritaBenar bagi mendapatkan reaksi pada Isnin. Sebelum ini, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang pernah diterajui Azmin, bertanggungjawab dalam menangani isu kemiskinan di Malaysia.

‘Kabur’

Selepas lawatannya selama 11 hari ke Malaysia pada Ogos 2019, Alston mencabar dakwaan kerajaan ketika itu bahawa kadar kemiskinan negara adalah 0.4 peratus, dengan menyatakan angka itu boleh mencecah sehingga 20 peratus berdasarkan analisis bebas.

Dengan populasi seramai 31.5 juta orang, kadar kemiskinan 0.4 peratus adalah mewakili 126.000 orang manakala kadar 20 peratus mewakili 6.3 juta.

Pada Isnin, Alston berkata garis kemiskinan nasional sebanyak RM980 (AS$230) setiap isi rumah sebulan akan menyaksikan keluarga empat anggota menjalani kehidupan dengan hanya RM8 (kurang daripada $2) seorang sehari.

"Dengan berkeras bahawa garis itu ‘diterima daripada standard antarabangsa’ adalah pernyataan yang kabur dan mengetepikan perbezaan ketara antara kenyataan dan statistik. Dengan menganggap bahawa hampir tiada seorang pun di seluruh negara itu yang hidup dalam kemiskinan, ia tidak merubah kenyataan bahawa terdapat berjuta-juta orang lagi yang miskin,"kata Alston. "Menjaga air muka adalah satu perkara, tetapi memutarbelitkan fakta adalah satu perkara yang lain."

Laporan akhir Alston, yang bertarikh 6 April, menyatakan bahawa Perdana Menteri ketika itu Mahathir Mohamad telah berjanji pada Ogos lalu untuk mengkaji dakwaan berhubung kadar kemiskinan, sambil menambah kata bahawa pentadbirannya telah menepati janji itu.

"Walaupun Menteri Hal Ehwal Ekonomi [Mohamed Azmin Ali] pada awalnya mempertahankan kadar kemiskinan yang ada, Perdana Menteri ketika itu Mahathir Mohamad dan penasihat ekonominya mengakui bahawa langkah-langkah mengatasi kemiskinan perlu diubah, manakala presiden Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim, menganggap kadar kemiskinan sekarang 'tidak tepat' dan menyatakan bahawa penemuan oleh pelapor khas itu 'hanya mengejutkan bagi mereka yang jelas tidak mempunyai kaitan dengannya.”

"Pada Oktober, perdana menteri menyatakan bahawa kerajaan bersedia untuk mengkaji semula kadar kemiskinan 'bagi memberikan gambaran sebenar mengenai kemiskinan di Malaysia' dan pada Disember, Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan bahawa ia akan merangka pelan induk pembasmian kemiskinan bandar bagi Kuala Lumpur, termasuk mendefinisi semula kemiskinan bandar," kata laporan itu dan menambah "persetujuan itu menjadikan maklum balas daripada kerajaan baru sebagai lebih mengejutkan. "

Muhyiddin mengambil alih kuasa

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri pada Mac setelah Mahathir meletakkan jawatan kerana kerajaan gabungan Pakatan Harapan yang diterajuinya mula goyah. Perdana menteri baru itu menjadi Presiden dalam parti Bersatu pimpinan Mahathir sebagai Pengerusi, tetapi beliau membentuk gabungan baru untuk mengambil alih kerajaan.

Dalam kenyataannya, Alston turut memuji Malaysia dalam usaha berterusannya  mengatasi kemiskinan sejak empat dekad lalu.

"Tetapi, langkahnya menggunakan kadar kemiskinan yang sudah lapuk dan tidak realistik mengaburkan kenyataan yang membimbangkan bahawa berjuta-juta orang memperoleh pendapatan yang amat rendah, dengan keadaan itu diburukkan lagi oleh COVID-19," katanya.

"COVID-19 menunjukkan bahawa sesiapa sahaja boleh kehilangan pekerjaan walaupun tanpa kesalahan mereka sendiri, dan memperkukuhkan lagi keperluan untuk mengadakan program sokongan yang jitu."

Bekas pelapor khas itu juga menyatakan bahawa kerajaan Muhyiddin harus berubah sebelum ia boleh memberi bantuan kepada rakyat miskin negara itu.

"Secara keseluruhannya, walapun Malaysia telah mencapai kemajuan dalam mengatasi kemiskinan, kecuali kerajaan baru mengambil pendekatan yang berbeza, malangnya tugas itu tidak akan dapat dilaksanakan," kata Alston.

"Kerajaan berpeluang menjadi juara sebenar dalam mengurangkan kemiskinan dengan memperbaiki kehidupan ramai orang yang menghadapi kesukaran, memberikan sokongan yang diperlukan kepada mereka yang miskin dan memastikan pertumbuhan ekonomi negara adalah benar-benar inklusif dan memberi manfaat kepada keseluruhan populasi."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.