Peguam, anak terima ugutan bunuh selepas cabar undang-undang Syariah Kelantan
2024.02.12
Kuala Lumpur
Peguam wanita dan anaknya yang berjaya mencabar 16 peruntukan peraturan Syariah Kelantan mendakwa menerima ugutan bunuh daripada penyokong sebuah parti politik yang tidak dinamakan, selepas kes itu tular dan mereka dilabelkan sebagai ancaman terhadap Islam.
Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mendedahkan di X (dahulunya Twitter) lewat Ahad bahawa dia dan ibunya Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid memfailkan tiga laporan polis berhubung ancaman itu yang diterima susulan cabaran berperlembagaan terhadap undang-undang Syariah Kelantan, yang mana pihak konservatif berkata ia mampu menjejaskan undang-undang Syariah dalam sistem dwi-perundangan negara itu.
"Enam bulan lalu (sekitar Ogos 2023), apabila kes tersebut pertama kali ditularkan oleh peguam-peguam yang dikaitkan dengan satu parti politik, saya dan ibu menerima ugutan bunuh dan takfir [tuduhan keluar daripada Islam] berkali-kali oleh penyokong kumpulan itu. Penulisan lamanya (Nik Elin) dimanipulasi, diambil diluar konteks dan menggambarkan ibu sebagai "liberal."
"Serangan peribadi yang disengajakan ini, dirancang untuk memenuhi kepentingan tertentu, adalah contoh betapa musuh kami sanggup melakukan apa sahaja untuk mengagalkan usaha kami," katanya dalam hantaran tersebut.
Pada Jumaat lepas, Mahkamah Persekutuan pada Jumaat membatalkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan. Kesalahan-kesalahan terlibat termasuk meliwat, gangguan seksual, mabuk, sumbang mahram, dan memusnahkan rumah ibadat, dalam penghakiman majoriti 8-1.
Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat menjelaskan keputusan berkenaan tidak menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, atau status Mahkamah Syariah di Malaysia. Ia sebaliknya berkaitan kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang berhubung perkara yang telah pun termaktub dalam bidang kuasa persekutuan.
Menurut Tengku Yasmin, dia tidak dapat tidur dan makan meskipun keputusan Mahkamah Persekutuan berpihak kepadanya, sambil menambah, "Walaupun kemenangan perundangan ini mengesahkan merit cabaran kami seperti yang diperakui oleh Mahkamah Persekutuan, adalah mendukacitakan apabila ada salah tafsir yang didalangi oleh pihak tertentu, memutarbelitkan tujuan sebenar kami."
Katanya lagi, kempen memburuk-burukkan mereka tidak mempunyai asas kukuh dan petisyen tersebut hanyalah satu semakan kehakiman oleh Mahkamah Persekutuan untuk menjelaskan sama ada DUN Kelantan telah melangkaui mandatnya yang termaktub dalam Perlembagaan.
Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas digelar oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai "Jumaat hitam", dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti tersebut mahu mendapatkan penghakiman bertulis dan meneliti keputusan tersebut, selain akan mengadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk mengadakan perbincangan berhubung perkara itu.
Pada Jumaat juga, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menempelak pemimpin pembangkang (Perikatan Nasional) yang didakwanya bermain sentimen dengan menuduh kerajaan pimpinannya menentang undang-undang Syariah semasa dalam satu ucapan di Melaka.
Ugutan
Polis Malaysia pada Isnin turut mengesahkan telah menerima tiga laporan daripada Nik Elin berhubung kes ugutan bunuh itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majeed berkata, ketiga-tiga laporan itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian yang tidak wajar).
"Pihak polis memohon bantuan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengenal pasti pemilik akaun sosial terbabit," tambah beliau.
Katanya, orang awam dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan di media sosial.
Seksyen 507 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun ke atas suspek yang didapati bersalah.
Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn berkata ugutan terhadap Nik Elin dan Tengku Yasmin tidak boleh diterima.
"Insiden-insiden seperti ini adalah contoh yang mana litigan disasarkan dalam usaha untuk menghalang mereka daripada meneruskan kes dengan taktik menakut-nakutkan oleh pelbagai pihak.
"Majlis Peguam gusar dengan kurangnya rasa hormat, adab dan pemahaman oleh pihak-pihak tertentu, rakyat Malaysia mempunyai hak untuk membawa isu berkenaan ke mahkamah apabila hak peribadi dan berperlembagaan mereka telah terkesan.
“Ligitan tidak sepatutnya dihalang atau merasa takut dengan akibat undang-undang semasa melaksanakan hak-hak berpelembagaan mereka. Cubaan untuk menganggu hak-hak ini mencabar integriti sistem keadilan,” sambail menambah Nik Elin dan Tengku Yasmin perlu dilindungi pihak berkuasa daripada sebarang ugutan.
Dalam pada itu, peguam Salim Bashir berkata tiada siapa sepatutnya dibenarkan mengugut atau mengeluarkan ancaman terhadap sesiapa yang telah mengikut undang-undang.
"Kita perlu menghormati proses dan rasional setiap keputusan mahkamah sebelum bertindak secara emosi.
"Sistem kehakiman hanya boleh melunaskan tanggungjawab berperlembagaannya apabila orang ramai bebas untuk membawa isu-isu berkepentingan awam ke mahkamah tanpa perlu takut akan tindak balas atau keganasan," tambahnya yang juga bekas Presiden Majlis Peguam.
Gagal selesai kemelut
Muhammad Fauzi Asmuni, bekas presiden kumpulan Islamis, Ikatan Muslimin Malaysia berkata isu tersebut merupakan isu perlembagaan yang perlu diselesaikan dengan cara dan kaedah yang betul, melibatkan pihak-pihak yang khusus.
"Tidak perlu meleret hingga menyebabkan ketegangan di kalangan rakyat. Masyarakat perlu faham batas peranan mereka sebaiknya," jelas Fauzi.
Ujarnya, kegagalan ahli politik menyelesaikan kemelut dilihat menjadi punca kepada suasana masa kini.
"Sejak sekian lama kerana tiada kesungguhan mereka sedangkan setiap parti telah berpeluang memerintah negara dan boleh mengubahnya ketika mereka nenjadi pemerintah.
"Sikap sesetengah pemimpin parti yang mengambil peluang dari kemelut ini untuk menjatuhkan lawan politik merekalah yang telah menyeret masyarakat awam kepada suasana tidak harmoni ini," tambahnya.
Fauzi menegaskan penggubal undang-undang di Parlimen berperanan untuk menyelesaikan kemelut perundangan itu.