Peguam Singapura bela hak banduan hukuman mati digantung lesen

Mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman tersebut setelah mendapati M. Ravi telah membuat tuduhan tidak berasas terhadap institut kehakiman negara itu.
Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2023.03.22
Kuala Lumpur
Peguam Singapura bela hak banduan hukuman mati digantung lesen Pertubuhan Sivil dan masyarakat awam mengambil bahagian dalam 'candlelight vigil' di hadapan Kedutaan Singapura bagi membantah hukuman mati yang akan dikenakan ke atas Nagaenthran Dharmalingam di Kuala Lumpur, 26 April, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Seorang peguam Singapura yang aktif membela hak banduan-banduan hukuman mati telah digantung lesennya selama lima tahun oleh mahkamah negara itu atas kesalahan membuat tuduhan "tidak berasas" terhadap sistem kehakiman Singapura, satu keputusan yang menerima kecaman aktivis hak asasi dari serata dunia.

Peguam M. Ravi, yang terkenal kerana memperjuangkan kes seorang rakyat Malaysia kurang upaya mental yang dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan dadah namun tidak berjaya menyelamatkan lelaki itu pada tahun lepas, dikenakan penggantungan tersebut atas tindakannya menuduh Jabatan Peguam Negara Singapura bertindak "melampau" ketika melakukan pendakwaan dalam satu kes dadah yang lain, menurut dokumen mahkamah.

Panel tiga hakim yang mendengar permohonan Persatuan Undang-Undang Singapura untuk mengambil tindakan terhadap Ravi, memutuskan bahawa peguam itu telah membuat tuduhan terhadap tonggak penting sistem perundangan negara di mana perbuatan itu mengancam keyakinan orang ramai kepada institusi-institusi terlibat.

"Tuduhan-tuduhan yang dibuat beliau melampaui serangan ke atas integriti institusi-institusi tersebut, dan secara asasnya telah menimbulkan keraguan ke atas keadilan dan integriti sistem keadilan secara keseluruhannya.

"... pada pandangan kami, terdapat asas untuk mendapati bahawa Encik Ravi telah menonjolkan dirinya sebagai seorang yang tidak layak untuk mendapat keyakinan daripada peguam-peguam lain, mahkamah, dan orang ramai sebagai wakil profesion undang-undang yang diamanahkan untuk menegakkan maruah dan kehormatan," kata petikan salah satu alasan penghakiman dalam kes tersebut.

"Kami mendapati bahawa terdapat sebab yang wajar untuk tindakan disiplin diambil dan dengan ini mengenakan hukuman penggantungan selama lima tahun bermula dari tarikh keputusan ini," kata mahkamah panel tiga hakim yang terdiri daripada Ketua Hakim Singapura, Sundaresh Menon; dan dua hakim Mahkamah Rayuan iaitu Belinda Ang Saw Ean dan Tay Yong Kwang.

Kes tersebut berkaitan dengan beberapa kenyataan dibuat oleh Ravi kepada media dan di laman media sosial pada tahun 2020 selepas Mahkamah Rayuan Singapura menukar keputusan bersalah terhadap seorang suspek kes penyeludupan dadah, Gobi Avedian, yang merupakan anak guam Ravi. Keputusan berkenaan sekaligus menyelamatkan lelaki itu daripada tali gantung. Mahkamah yang sama kemudiannya mendapati Gobi bersalah atas kesalahan yang kurang serius dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta 10 sebatan.

Keterlaluan

Keputusan mahkamah Singapura terhadap Ravi itu disifatkan oleh timbalan pengarah Human Rights Watch bagi benua Asia, Phil Robertson sebagai "sesuatu yang keterlaluan dan tidak boleh diterima".

"Tindakan Singapura menggantung lesen peguam hak asasi manusia M Ravi selama lima tahun adalah melampau dan tidak boleh diterima.

"Beliau dikenakan tindakan hanya kerana beliau berani menyuarakan pandangannya mengenai seorang banduan bilik akhir, pendakwaraya dan kehakiman. Di tempat-tempat yang normal, perbuatan itu dipanggil kebebasan bersuara," kata Robertson dalam respon beliau terhadap kes itu di Twitter.

Kumpulan peguam Malaysia, Lawyers For Liberty turut mengecam keputusan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang akan menguburkan amalan keadilan di Singapura.

Pengarahnya Zaid Malek dalam satu kenyataan berkata ia juga akan memberikan kesan kepada hak ramai rakyat Malaysia yang kini berdepan hukuman mati di Singapura daripada mendapatkan perbicaraan adil.

"Seorang peguam bertanggungjawab untuk menegakkan undang-undang dan bercakap tanpa rasa takut atau pilih kasih dalam mewakili anak guam, namun M Ravi kini dihukum kerana menjalankan tugasnya," kata Zaid.

"Penggantungan ini akan menjadi paku terakhir yang menutup keranda keadilan di Singapura, kerana ia menjadi satu amaran jelas kepada semua peguam Singapura. Ia akan mempunyai kesan terus kepada hak ramai rakyat Malaysia yang kini berdepan hukuman mati daripada mendapatkan perbicaraan adil," tambah peguam itu.

Sementara itu, Ravi memberitahu BenarNews bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kekesalan kerana memperjuangkan hak anak guamnya, yang berakhir dengan lelaki itu berjaya diselamatkan daripada tali gantung.

"Saya mempunyai pilihan dan saya memilih untuk mendedikasikan 20 tahun hidup saya untuk hak asasi manusia serta akses kepada keadilan di Singapura. Saya tidak kesal," kata Ravi, yang menyatakan bahawa beliau akan terus berkhidmat sebagai peguam di beberapa negara lain dan meneruskan perjuangannya.

Menurut Ravi, beliau percaya kritikan dilemparkannya adalah adil memandangkan terdapat salah laku keadilan, di mana Peguam Negara dan mahkamah telah membuat kesilapan. Peguam itu menyifatkan keputusan penggantungan selama lima tahun adalah sesuatu yang "amat keras".

"Ini adalah masa untuk kritikan diambil bagi membuat penambahbaikan dan bukannya menghukum. Gobi hampir dihukum mati," kata beliau.

Ravi berkata seramai 12 orang rakyat Malaysia yang telah dihukum gantung telah diwakili beliau dalam tempoh kerjaya lebih dari dua dekad.

"Tapi yang berjaya di mana hukuman mereka dikurangkan kepada hukuman penjara cuma tiga orang termasuk Gobi," katanya.

Ravi turut memuji tindakan kerajaan Malaysia yang mengenakan moratorium terhadap pelaksanaan hukuman mati di negara itu sementara ia menyelesaikan beberapa isu, termasuk penghapusan undang-undang hukuman mati mandatori dan pindaan kepada hukuman penjara sepanjang hayat.

"Malaysia telah menyuluh jalan untuk Singapura bagi mengubah obsesi terhadap hukuman mati kepada keadilan berbentuk pemulihan."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.