Mahathir Perkenal Nama Parti Baharu, Mahu Pertahankan Hak Melayu, Benteras Rasuah
2020.08.12
Kuala Lumpur, Malaysia
Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad mengumumkan nama parti politik baharu yang bakal ditubuh olehnya semasa sesi memperkenalkan calon pertama parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Slim di Perak yang dijadualkan hujung bulan ini.
Sambil menamakan parti baharunya itu sebagai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mahathir berkata parti itu sepatutnya menjadi pilihan mereka yang mahukan aktiviti rasuah dan korupsi dalam negara dibanteras dan hak Melayu terus kekal milik orang Melayu.
“Kita tubuhkan parti ini bukan untuk pecahkan orang Melayu tetapi supaya mereka dapat memilih parti yang memperjuangkan hak untuk mereka dan bukannya yang gilakan kuasa dan pangkat.
“Parti ini juga bertujuan untuk membersihkan negara dari rasuah. Ramai yang tidak tahu, jadi saya nak umumkan nama parti baharu adalah Parti Pejuang Tanah Air. Parti ini mesti bersih dan bukannya parti apa aku dapat,” kata Mahathir semasa berucap pada majlis pengumuman calon yang akan bertanding pada lewat malam Rabu di Slim River, Perak.
Pejuang menamakan peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calonnya, walaupun semasa penamaan calon, Amir akan bertanding di bawah tiket calon bebas kerana parti itu masih belum didaftarkan secara rasmi.
BeritaBenar difahamkan oleh beberapa sumber yang rapat dengan Mahathir bahawa mereka sedang dalam proses mendaftarkan parti Pejuang dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, dan dalam fasa penelitian isi perlembagaan parti itu dan beberapa perkara lagi.
"Ini calon parti kami parti Pejuang. Kita akan berpegang teguh dengan menolak politik wang. Pada sesiapa yang hendak menjadi ahli, jadilah. Tiada yuran pendaftaran. Tetapi dalam parti ini tidak ada duit untuk dihamburkan kepada sesiapa,” kata Mahathir lagi.
Mahathir sebelum itu dalam satu hantaran di blog beliau, chedet.cc berkata parti itu ditubuhkan atas kesedaran dan keinginan untuk membenteras rasuah.
"Rasuah menghancur bangsa. Rasuah yang menghancur orang Melayu. Jika ingin dapat jawatan dan wang, pilih parti lain. Jika ingin tebus maruah, jika ingin kekal hak kita, pilih parti kami, pilih Pejuang," demikian catatan Mahathir.
Bekas Perdana Menteri itu telah membuat pengumuman penubuhkan satu parti baharu pada 7 Ogos lalu, dengan menamakan dirinya sebagai pengerusi manakala anaknya Mukhriz sebagai presiden parti.
Penubuhan parti baharu itu adalah antara usaha untuk mencabar pemecatan beliau dan lima lagi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang pernah diterajuinya, selepas menemui kegagalan apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Mahathir dan yang lain tidak mempunyai locus standi.
Sebelum ini, Mahathir bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menubuhkan BERSATU pada 2016 bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib Razak yang disifatkannya sebagai kerajaan kleptokrasi.
Mahathir merupakan pengerusi BERSATU manakala Muhyiddin pula adalah presiden, sehingga beliau dipecat Muhyiddin dengan alasan bertindak duduk bersama pembangkang ketika persidangan Parlimen pada Mei lepas, selepas Muhyiddin memimpin Perikatan Nasional.
PH sokong calon bebas
Parti Perjuang telah menamakan calon pilihan Amir Khusyairi yang merupakan seorang peguam lulusan Universiti Islam Antarabangsa, berusia 38 tahun dan merupakan anak jati Perak pada satu majlis yang turut dihadiri pemimpin parti gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) dari Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Turut hadir bersama Mahathir ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Anthony Loke DAP dan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang dari PKR.
Loke dalam ucapannya pada majlis itu berkata PH akan terus memberikan sokongan terhadap Amir Khusyairi bagi melawan calon dari Perikatan Nasional (PN).
Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Malaysia (UMNO) pula telah membuat pengumuman pada petang Rabu yang parti itu telah mencalonkan pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz sebagai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Slim.
Loke berkata bahawa strategik utama bagaimana PH berjaya menewaskan BN dalam Pilihanraya Umum Ke-14 pada 2018 adalah dengan bersatu-padu antara parti-parti pembangkang, dan memastikan bahawa perlawanan kerusi melawan BN adalah satu lawan satu dan tiada pertandingan sesama parti pembangkang.
"Dengan semangat yang sama, itu sebabnya Pakatan Harapan bersetuju untuk PRK Slim ini, kita menyokong calon bebas yang disokong Tun Dr Mahathir. Untuk memastikan pertembungan satu lawan satu dalam PRK Slim ini. Kita rasa calon saudara Amir Khusyairi yang dipilih oleh pimpinan Tun Mahathir adalah calon yang paling sesuai," kata beliau.
BERSATU semasa di bawah pimpinan Mahathir adalah salah satu parti gabungan PH tetapi parti itu telah dibawa keluar oleh Muhyiddin pada Februari lepas, menyebabkan kejatuhan kerajaan PH.
Matlamat sama kuatkan pembangkang
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berkata bahawa kerjasama antara parti baharu Mahathir dengan PH adalah sesuatu yang tidak mustahil kerana kesemua mereka mempunyai matlamat sama, iaitu menentang PN pimpinan Muhyiddin.
"Walaupun kita lihat sebelum ini Mahathir ada sedikit masalah dengan Anwar Ibrahim terutama dalam penentuan soal siapakah Perdana Menteri untuk mendapatkan kembali mandat rakyat, tetapi pada asasnya, parti-parti pembangkang seperti DAP dan juga AMANAH sebenarnya mereka masih bersama dengan Mahathir. Mereka masih memberi komitmen yang kuat terhadap usaha Mahathir mendapatkan semula mandat rakyat,” kata Mazlan.
Beliau berkata, tambah lagi fokus Mahathir pada masa ini adalah untuk menjatuhkan Muhyiddin atas apa yang berlaku sebelum ini.
“Walaupun beliau menubuhkan Parti Pejuang yang dikatakan tidak berada di dalam blok PN dan tidak juga dalam blok PH, tapi kita tahu tujuan penubuhan parti adalah untuk menentang Muhyiddin Yassin dan hendak menjatuhkan kerajaannya.
"Jadi matlamat Mahathir untuk menjatuhkan Muhyiddin dan ianya adalah selari dengan matlamat parti-parti dalam PH termasuk juga PKR.
“Walaupun ada sedikit masalah dengan Mahathir, Anwar sendiri pernah membuat kenyataan bahawa beliau boleh menerima kemasukan parti baharu ke dalam PH sekiranya ada permintaan.
Kempen yang akan dilaksanakan nanti sudah pasti parti AMANAH, DAP dan mungkin juga PKR akan turut membantu berkempen untuk menyokong calon tajaan Mahathir dari parti Pejuang ini," kata beliau kepada BeritaBenar.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.