Kerajaan Malaysia Perlu Lebih Konsisten Buat Keputusan

Ahmad Najmi Nasruddin
2016.05.13
Kuala Lumpur
160513-my-migrantworkers-620 Buruh asing yang sedang bertugas di tapak pembinaan Legoland Malaysia di Johor Bahru, Johor, 25 April 2012.
AFP

Aktivis buruh Malaysia memberi reaksi berbeza berhubung keputusan kerajaan menarik balik pembekuan pengambilan pekerja asing dalam empat sektor ekonomi dengan meminta pembuat dasar lebih konsisten bagi mengelak berlakunya kerugian besar di pihak industri.

Pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak pada Khamis telah mengumumkan penarikan balik arahan pembekuan pengambilan pekerja asing terhadap empat sektor, iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan dan pembuatan perabot yang kini menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja.

Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Kabinetnya, selepas menerima banyak rayuan daripada pemain dalam industri bagi kesemua sektor terlibat.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (Malaysian Employers Federation) Shamsuddin Bardan berkata kepada BeritaBenar, pihaknya mahu kerajaan membuat keputusan lebih cekap dan telus serta mempunyai pelan jangka panjang dalam isu pengurusan pekerja asing agar kredibiliti dan daya saing syarikat Malaysia tidak terjejas.

Shamsuddin turut mencadangkan kepada kerajaan supaya pembekuan yang masih dikenakan terhadap sektor lain perlu dikaji semula dengan segera kerana ia boleh mengakibatkan pelbagai kekangan operasi akibat kekurangan pekerja.

“Kalau keadaan berterusan [pembekuan] kredibiliti syarikat Malaysia boleh terjejas di pasaran antarabangsa kerana tidak boleh memenuhi permintaan pada waktu yang telah ditetapkan,” tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan hendaklah berbincang serta mendapat maklum balas daripada semua pihak dalam sektor dan industri terlibat sebelum membuat sebarang polisi yang hendak dilaksanakan.

Shamsuddin yang menyambut baik pemansuhan pembekuan empat sektor terlibat berkata, sekurang-kurangnya langkah tersebut membolehkan kesemua industri terlibat beroperasi secara optimal sekaligus mengurangkan risiko kerugian akibat kekurangan pekerja.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah mahu kajian semula terhadap pengambilan pekerja asing dibuat di setiap sektor dengan pihak yang bertanggung jawab  tidak membuat keputusan hanya berdasarkan kepada kuasa politik mereka.

"Pekerja asing di Malaysia sudah banyak. Ada yang lari dari majikan disebabkan tidak  dibayar gaji dan ini adalah antara punca wujudnya pekerja asing tanpa izin,” kata Mohd Ridzuan kepada BeritaBenar.

"Mintalah banyak manapun pekerja asing ke negara ini, jika penyumbang kepada pelbagai faktor tidak diambil perhatian, maka masalah tidak akan selesai. Kerajaan perlu membuktikan ketegasan dalam mengkaji dengan lebih dalam supaya jalan penyelesaian dapat diperolehi,” tambahnya.

Pada bulan Februari lepas, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi membuat pengumuman mengenai penangguhan pengambilan semua pekerja asing dari negara luar termasuk 1.5 juta orang dari Bangladesh yang mahu di bawa masuk dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, penangguhan itu, berkuatkuasa serta merta dibuat sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja asing sebagaimana yang diperlukan industri bagi membolehkan kerajaan mengkaji pelbagai perkara yang melibatkan pembayaran levi dua tahap.

Selain itu, ia juga bagi membolehkan tumpuan kepada program pengajian semula serta melakukan penguatkuasaan untuk menentukan tidak ada pekerja asing baru dibawa ke Malaysia.

Risiko penyakit berjangkit

Sementara itu, Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pada mesyuarat peringkat Kabinetnya telah bersetuju bahawa semua pekerja asing dimestikan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala sepanjang tempoh penggajian.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri telah mempengerusikan mesyuarat itu berkata, tujuan program itu diadakan adalah untuk mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit di Malaysia.

“Program ini untuk memastikan pekerja asing bebas daripada penyakit berjangkit, serta penyalahangunaan dadah untuk menjamin keselamatan negara dari sudut kesihatan,” kata dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pelaksanaan pemeriksaan kesihatan itu akan ditetapkan selepas perbincangan dan konsultasi dengan pihak majikan.

Katanya mesyuarat itu juga bersetuju supaya majikan diwajibkan menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja asing.

Ahmad Zahid menegaskan, kegagalan majikan menyediakan kemudahan penginapan mengikut piawaian minima boleh mengakibatkan permohonan pembaharuan pas lawatan kerja sementara (PLKS) pekerja asing tidak dipertimbangkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Katanya, “Jawatankuasa pada hari ini telah bersetuju dengan cadangan agar pihak swasta yang berminat diberi peluang untuk menyediakan perkhidmatan penginapan kepada pekerja asing “ bagi kemudahan majikan untuk menempatkan pekerja mereka.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.