Malaysia perketatkan semula peraturan kemasukan pekerja asing ekoran lambakan
2023.10.19
Kuala Lumpur
Malaysia akan memperketatkan semula peraturan imigresen mengenai kemasukan buruh asing ke negara itu pada hujung tahun ini, kata Putrajaya, ekoran kebimbangan mengenai kebanjiran pekerja dan kemungkinan penyalahgunaan permit kerja mereka.
Kementerian Sumber Manusia berkata bilangan buruh asing di dalam negara itu telah melebihi kira-kira 300,000 orang berbanding unjuran awal sekitar 2.4 juta.
“Kini, kita sudah melangkaui jumlah pekerja asing di negara ini, telah berlaku lambakan…. Sepatutnya unjuran adalah seramai 2.4 juta pekerja, tetapi dengan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, sudah 2.7 juta pekerja asing berada di negara ini secara fizikal...,” kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud di Parlimen pada Khamis.
Sehari sebelum itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat 9 Oktober, sejumlah 667,418 pekerja asing telah memasuk negara itu, dan jumlah tersebut telah melebihi jangkaan awal program rekalibrasi dan pelonggaran syarat sebanyak 518,000 orang.
“Kerajaan memutuskan untuk menghentikan program rekalibrasi pada hujung tahun ini bagi menyelesaikan masalah kebanjiran pekerja asing,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-9 pada Rabu.
Menteri itu turut memberi amaran mengenai risiko kebanjiran pekerja asing dalam beberapa sektor di negara itu dengan tidak menolak kemungkinan akan berlakunya salah guna permit kerja.
"Ianya tidak munasabah untuk saya katakan bahawa tidak berlaku salah guna permit kerja, tetapi ia tidak sampai ke tahap di mana undang-undang langsung tidak dipatuhi secara keseluruhannya," kata Saifuddin lagi.
Malaysia sebelum ini melancarkan sebuah program untuk melonggarkan peraturan bagi kemasukan pekerja asing di antara Januari dan Mac tahun ini, dengan perlaksanaannya bagi memenuhi keperluan buruh yang kritikal dalam sektor seperti pembinaan, pembuatan, perladangan dan perkhidmatan.
Program tersebut turut disokong Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dibuat bagi meregularisasikan pekerja asing dalam lapan sektor pekerjaan, yang pada asalnya dijadualkan tamat pada 31 Disember tahun lepas namun dilanjutkan selama setahun sehingga hujung Disember depan.
"Sebab itu sekarang pelan kelonggaran telahpun kita tamatkan pada bulan Mac, manakala rekaliberasi telah juga kabinet persetujui ditamatkan bermula 31 Disember bermaksud tidak ada lagi permohonan kuota untuk tahun ini. Kita akan hanya menguruskan ataupun memantau kemasukan pekerja asing berdasarkan kuota yang telah diluluskan,” kata Menteri itu lagi.
Beliau berkata, Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja akan menjalankan siasatan berhubung salah lalu sehingga membawa kepada lambakan pekerja asing itu.
Audit program
Sementara itu, aktivis hak buruh dan migran Adrian Pereira menggesa supaya satu audit dijalankan terhadap program rekalibrasi dan pelonggaran syarat kemasukan pekerja asing yang diperkenalkan kerajaan itu.
"Ia harus disiasat kerana berdasarkan beberapa laporan, pekerja terpaksa membayar jumlah wang yang banyak untuk mendapatkan kerja di sini. Tanpa penglibatan mereka yang dipanggil sebagai ejen, siapakah yang menyesuaikan mereka dengan pekerjaan yang akan dibuat? Adakah majikan benar-benar boleh memilih atau pekerja asing itu yang bergantung kepada ejen?
"Sudah tiba masanya untuk sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah ini dan mengenalpasti siapa di sebalik penyalahgunaan inisiatif ini, serta siapa yang mengambil untung daripadanya? Siapakah yang menjadi 'runners' untuk menghantar wang kerana berbilion telah dikumpulkan, dan bagaimana boleh berlaku kebanjiran pekerja?," kata beliau kepada BenarNews.
Andy Hall, seorang lagi aktivis hak pekerja, memberitahu BenarNews bahawa masalah kepatuhan undang-undang di Malaysia merupakan isu utama yang membawa kepada masalah berkenaan.
"Ribuan majikan palsu di Malaysia merupakan penyebab di sebalik lebihan bekalan pekerja ini, termasuk syarikat-syarikat yang tidak mempunyai operasi atau lesen untuk mengambil pekerja asing, dan bekerjasama dengan pegawai kerajaan yang korup untuk memalsukan dokumen kuota supaya mereka dapat membawa masuk pekerja untuk membuat keuntungan.
"Pekerja asing atau mangsa yang terdesak dan terdedah serta terkesan akan terus menerus dibiarkan tanpa sokongan. Dalam banyak kes, walaupun mereka meminta bantuan sebagai mangsa perhambaan zaman moden, mereka akhirnya ditangkap, diugut, diseksa sebelum dilepaskan kerana terjebak dengan jaringan pegawai penguatkuasa Malaysia yang korup dan mengambil kesempatan daripada status mangsa yang bermasalah," kata Hall.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.