Malaysia Bersetuju Buka Semula Pengambilan Pekerja Asing Untuk Semua Sektor

Putrajaya juga bersetuju membawa masuk pekerja Bangladesh menerusi satu perjanjian terbaharu dengan Dhaka.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-12-10
Share
Malaysia Bersetuju Buka Semula Pengambilan Pekerja Asing Untuk Semua Sektor Pekerja asing sedang menanam benih sayuran di sebuah kebun sayur di Kampung Raja, Cameron Highlands di Pahang, 29 September 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia pada Jumaat bersetuju untuk membuka semula pengambilan pekerja asing untuk semua sektor selepas Jemaah Menteri membenarkan kemasukan pekerja migran bagi semua sektor selain sektor perladangan, umum Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan.

Sektor perindustrian Malaysia sangat bergantung kepada buruh asing dan mereka menghadapi kekurangan tenaga kerja susulan pembekuan pengambilan pekerja migran akibat penularan pandemik COVID-19, walaupun pada Oktober, kerajaan memberikan kebenaran khas untuk membawa masuk lebih 30,000 pekerja asing bagi sektor perladangan.

Malaysia juga akan memeterai perjanjian dengan kerajaan Bangladesh untuk membawa masuk pekerja negara itu selepas membekukan pengambilan sejak 2018 susulan isu penipuan melibatkan orang tengah yang mengenakan bayaran yuran pengambilan yang tinggi.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember 2021 telah bersetuju untuk saya menandatangani Memorandum Persefahaman dengan rakan sejawat saya dari Ministry of Expatriates’ Welfare & Overseas Employment, Republik Bangladesh bagi pengambilan pekerja Bangladesh di Malaysia.

“Mesyuarat Jemaah Menteri juga telah bersetuju agar pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor, selain daripada sektor perladangan yang telah dipersetujui sebelum ini,” kata Saravanan dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut menteri itu lagi, pengambilan pekerja asing akan dibuka untuk sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing merangkumi perladangan, pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan pembantu rumah.

Bagi meringankan beban majikan yang terkesan akibat pandemik, Saravan berkata Jemaah Menteri juga bersetuju supaya pelaksanaan levi pelbagai peringkat ditangguhkan bermula 1 Jan 2022 sehingga 1 Julai 2022.

Dalam kenyataan berkenaan, Saravanan berkata kementerian itu akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bagi memperhalusi protokol kesihatan bagi mengelakkan penularan COVID-19 di kalangan pekerja asing yang akan dibawa masuk.

“Memandangkan kemasukan pekerja asing akan merangkumi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan dan bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19, Kementerian Sumber Manusia akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara untuk memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing, termasuk aspek kuarantin bagi memastikan tiada kompromi dari segi keselamatan dan kesihatan," ujarnya lagi.

Perjanjian dua-hala

Pada Januari tahun lepas, kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan Malaysia hampir memuktamadkan perjanjian dengan Bangladesh untuk membuka semula kemasukan pekerja dari negara itu.

Menteri Sumber Manusia pada masa itu, M. Kulasegaran telah dilaporkan berkata perjanjian tersebut melibatkan proses pengambilan pekerja tanpa kos bagi mengekang risiko isu buruh paksa di kalangan pekerja migran.

Menurutnya antara terma perjanjian berkenaan adalah para majikan bertanggungjawab untuk menanggung kos pengambilan pekerja, tiket penerbangan dua-hala, yuran visa, pemeriksaan kesihatan, tapisan keselamatan dan pembayaran levi.

Media sebelum ini melaporkan sistem pengambilan pekerja di Bangladesh yang tidak teratur melibatkan peranan orang tengah yang mengenakan bayaran yang keterlaluan ke atas pekerja dari negara itu yang seterusnya menyebabkan mereka terikat dengan hutang.

Amalan ini memberi kesan ke atas majikan Malaysia berikutan timbulnya dakwaan amalan buruh paksa di kalangan pekerja asing di sektor pembuatan dan perladangan negara itu.

BenarNews pada Julai lalu melaporkan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) telah menurunkan kedudukan Malaysia kepada tahap paling rendah - Tahap 3 - dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada keputusan itu adalah berikutan kegagalan Putrajaya mendakwa pegawai terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia.

Laporan tahunan itu juga menyebut Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum dan tindakan signifikan terhadap usaha mengekang pemerdagangan manusia.

Kegagalan Malaysia menangani isu buruh paksa turut mengakibatkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) sebelum ini menyekat beberapa syarikat pengeluar produk sarung tangan getah untuk perubatan dari mengekspot produk mereka ke negara itu.

Kerugian RM14 bilion

Isu kekurangan pekerja asing di Malaysia semakin meruncing sejak pandemik COVID-19 meletus awal tahun lalu dengan sektor perladangan khususnya kelapa sawit antara sektor yang paling terkesan.

Malaysia adalah antara pengeluar minyak sawit utama dunia dengan pasaran ekspot ke 160 negara termasuk China, India dan Kesatuan Eropah sebagai pasaran terbesarnya.

Berikutan itu, awal bulan lalu kerajaan telah memutuskan untuk membenarkan kemasukan 32,000 pekerja asing bagi sektor perladangan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin bulan lalu dilaporkan berkata Jemaah Menteri membuat keputusan tersebut memandangkan rakyat tempatan tidak mampu mengisi kekosongan dalam sektor perladangan.

Justeru, Zuraida berkata kemasukan pekerja asing perlu disegerakan bagi memastikan kelapa sawit dapat dituai segera susulan peningkatan harga komoditi sawit di pasaran dunia.

Agensi berita nasional Malaysia, Bernama melaporkan Zuraida berkata dengan hasil jualan minyak sawit dijangka meningkat 40 peratus, ia mampu memberi pulangan kira-kira 20 bilion ringgit kepada negara itu sebelum penghujung tahun ini.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi negara Wee Jeck Seng pada Selasa memaklumkan Dewan Rakyat yang sektor perladangan sawit telah mencatatkan kerugian sebanyak 9 bilion ringgit dan 6 bilion ringgit pada tahun 2019 dan 2020 akibat kekurangan pekerja dalam sektor perladangan sawit.

Wee dilaporkan sebagai berkata nilai kerugian dalam sektor sawit akibat kekurangan pekerja pada Ogos 2021 dianggarkan sebanyak 14 bilion ringgit.

“Mengambil kira bilangan hari bekerja iaitu selama 26 hari sebulan, jumlah anggaran buah tandan segar yang tidak dapat dituai adalah sebanyak 1.3 juta tan sebulan yang menyamai 15.9 juta tan setahun,” katanya ketika menjawab soalan seorang Anggota Parlimen berhubung isu kekurangan pekerja asing dalam sektor perladangan sawit pada Selasa.

Sebelum pandemik melanda, terdapat antara 1.7 dan 2 juta pekerja asing yang berdaftar di Malaysia.

Ketika ini, menurut data Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia, sektor perladangan memerlukan 70,000 pekerja asing dan sektor pembinaan memerlukan 200,000 orang manakala industri perabot kekurangan 30,000 pekerja dan industri pembuatan serta sarung tangan getah memerlukan 50,000 orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh