Follow us

Malaysia Mula Hantar Pulang Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Terkandas

Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-04-27
E-mel
Komen
Share
Pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta menaiki bas untuk bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing bagi sektor utara selepas Kerajaan memberi kelonggaran pulang selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, di Universiti Teknologi Mara(UiTM) Shah Alam, Selangor, 27 April, 2020.
Pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta menaiki bas untuk bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing bagi sektor utara selepas Kerajaan memberi kelonggaran pulang selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, di Universiti Teknologi Mara(UiTM) Shah Alam, Selangor, 27 April, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia mula menghantar pulang lebih 800 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta untuk tempoh 24 jam mulai malam Isnin ke kampung masing-masing secara berperingkat selepas terkandas di kampus, dengan perlu memenuhi garis panduan kesihatan yang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata penghantaran kumpulan pertama melibatkan jumlah tersebut adalah dari sembilan pusat pelepasan yang terdiri daripada IPT di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya bermula pada kira-kira pukul 9 malam.

“Sembilan pusat pelepasan itu akan mengendalikan pergerakan pelajar ke 17 destinasi di tiga buah negeri di utara Tanahair… menggunakan perkhidmatan 50 buah bas yang telah disanitasi, dengan 32 buah bas menuju ke Kedah, 13 ke Pulau Pinang dan lima ke Perlis,” kata beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya.

Noraini sebelum itu berkata, pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja dibenarkan pulang ke kampung mereka dengan syarat berada juga dalam zon hijau.

Dalam pada itu, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media hariannya berkata, penghantaran pulang semua pelajar yang terkandas dijangka membabitkan kira-kira 53,000 pelajar, dengan 15 peratus daripadanya memilih untuk tidak pulang manakala bagi pelajar Sabah dan Sarawak akan bermula 1 Mei ini.

Pentadbiran Putrajaya baru-baru ini telah memberikan kelonggaran kepada pelajar IPTA awan dan swasta untuk bergerak pulang ke kampung mulai Isnin, setelah lebih sebulan terpaksa tinggal di kampus atau rumah sewa apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi seluruh Malaysia dalam usaha membendung penularan jangkitan pandemik COVID-19.

Garis panduan

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata sebelum pelajar dibenarkan meneruskan perjalanan mereka perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan dengan perlu membuat saringan yang merangkumi pemeriksaan suhu badan, saringan gejala batuk, selesema, sakit tekak atau sukar bernafas di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) di IPT masing-masing.

“Pelajar dinasihat supaya sentiasa mengikut langkah-langkah pencegahan seperti mengamalkan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain dan menjaga kebersihan diri, dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun.

“Pelajar juga digalakkan memakai penutup mulut dan hidung di sepanjang perjalanan,” kata Noor Hisham pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya.

Dalam pada itu, pelajar yang pulang ke Sabah ketika tempoh PKP perlu melengkapkan Borang Pengisytiharan Kesihatan Kemasukan Ke Sabah, kata Pengarah Kesihatan Negeri Christina Rundi seperti dilaporkan agensi berita nasional Bernama pada Isnin.

“Arahan ini juga terpakai untuk semua penumpang yang masuk ke Sabah dari luar negeri atau negara yang akan dibuat di semua pintu masuk ke negeri itu,” katanya.

Malaysia kata Noor Hisham terus merekodkan jumlah kes baru di seluruh negara dalam angka dua digit bagi 11 hari berturut-turut sejak 17 April, dengan 40 kes positif direkodkan pada Isnin dan jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya terus meningkat kepada 67.9 peratus daripada keseluruhan 5,820 kes, dengan satu kematian menjadikannya 99 setakat ini.

Perlis sifar COVID


Selain itu, statistik KKM juga menunjukan Perlis, negeri di utara Semenanjung yang bersempadan dengan Thailand menjadi negeri pertama mencatatkan sifar kes aktif COVID-19 selama enam hari berturut-turut dengan kali terakhir kes aktif direkodkan adalah seminggu lalu.

Kali terakhir kes aktif direkodkan di negeri itu  adalah pada Isnin 20 April lalu, sebanyak empat kes dan sejak tarikh itu, Perlis kekal tanpa kes aktif, demikian menurut statistik tersebut.
"Sesebuah Zon hijau perlu mengekalkan tempoh dua minggu tanpa sebarang kes baharu sebelum boleh diisytiharkan zon bebas #COVID19. Sejumlah 68 daerah di seluruh negara disenaraikan sebagai Zon Hijau.

“Zon Kuning iaitu kawasan yang merekodkan kes antara 1 hingga 40 pula adalah sebanyak 67 dan kawasan yang mempunyai 41 kes keatas adalah Zon Merah yang kini kekal bagi 13 daerah di seluruh negara, " menurut kenyataan KKM itu.

Noor Hisham juga memberitahu yang KKM juga sedang berusaha meningkatkan lagi kapasiti ujian makmal untuk menguji sampel COVID-19 melalui proses RT-PCR (reverse transcription polymerase chain reaction), dengan menjangkakan boleh mencapai sebanyak 22,000 ujian sehari dalam masa terdekat.

Katanya, setakat ini, kapasiti bagi 43 makmal yang terlibat dalam menguji sampel virus itu di seluruh negara adalah sebanyak 16,635 ujian sehari.

Ketua Pengarah itu berkata peningkatan kapasiti itu dijangka dapat dilakukan mulai minggu hadapan dengan penggunaan sistem pemprosesan automatik BGI di makmal Institut Kajian Perubatan Kuala Lumpur (IKPKL) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Kota Kinabalu, Sabah.

"IMR telah memasang BGI, iaitu satu sistem pemprosesan automatik, dan kita berharap dapat meningkatkan lagi kapasiti ujian di IKPKL sebanyak 5,000 ujian lagi sehari, manakala satu lagi adalah di MKAK di Kota Kinabalu, dengan jangkaan peningkatan lebih 1,000 ujian sehari,” tambah beliau.

Lihat Laman Penuh