Pelarian, Pencari Suaka Terima Vaksin COVID-19 Mulai Jun
2021.04.19
Kuala Lumpur
Ratusan ribu pelarian dan pencari suaka di Malaysia serta lebih empat juta pekerja asing termasuk mereka yang tiada dokumen sah akan diberikan vaksin COVID-19 dalam fasa ketiga program imunisasi kerajaan yang dijangka bermula Jun depan, demikian kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada Isnin.
Menteri itu bagaimanapun tidak memberikan jawapan sama ada pekerja asing tanpa dokumen dan pelarian yang tidak berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan ditahan sekiranya tampil untuk divaksinasi, sebaliknya memberitahu polisi mengenai kumpulan terbabit akan diputuskan oleh Kabinet.
Beliau yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) berkata satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri telah diadakan untuk membincangkan mengenai penyampaian vaksinasi terhadap pelarian dan pekerja asing yang berada di negara itu telah diadakan baru-baru ini.
“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi urusan vaksinasi pelarian yang berdaftar, manakala pelarian yang mempunyai kad UNHCR, kementerian akan bekerjasama dengan PBB bagi memvaksinasikan mereka, dan ini akan dibuat pada fasa ketiga, dan dijangka bermula Jun ini,” kata Khairy semasa sidang media di Putrajaya pada Isnin.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan adalah yang terbesar dilaksanakan oleh Putrajaya bagi negara itu yang dibuat melalui tiga fasa, di mana fasa pertama bermula pada 24 Feb lepas, diikuti fasa kedua pada April dan fasa ketiga, dijangka bermula pada Mei depan.
Pada sidang media itu juga Khairy telah disoal mengenai jaminan terhadap golong migran tanpa dokumen dan pelarian tidak berdaftar sama ada akan ditahan oleh pihak berkuasa apabila tampil untuk mendapatkan vaksin, serta langkah kerajaan bagi meyakinkan kumpulan tersebut untuk mendapatkan kerjasama mereka.
“Saya sudah mengadakan perbincangan secara mendalam dengan Kementerian Dalam Negeri dan KDN akan mengusulkan satu memo kepada kabinet bagi membuat keputusan mengenai polisi yang akan digunapakai dalam mengendalikan vaksinasi membabitkan pekerja asing dan pelarian.
"Kita akan menyediakan vaksin untuk mereka, tanpa mengira sama ada mereka mempunyai dokumen ataupun tidak, atau dokumen telah tamat tempoh," kata menteri tersebut.
Menurut Khairy, pendaftaran mendapatkan vaksin bagi pekerja migran berdokumen perlu dibuat oleh majikan dengan kerajaan turut meminta majikan mendaftar pekerja yang tidak mempunyai dokumen supaya mereka juga boleh menerima vaksin yang disediakan itu.
Kerjasama dengan badan bukan kerajaan
Beliau menambah bahawa Kementerian Sains dan Inovasi juga akan bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan untuk melahirkan keyakinan dan kepercayaan dari golongan tersebut untuk tampil selepas melihat sendiri bagaimana program imunisasi dilaksanakan.
"Saya rasa satu langkah ke arah meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelarian adalah demonstrasi sebenar. Sebaik sahaja kita bekerja dengan NGO dan UNHCR untuk memvaksinasi pelarian, dan mereka sendiri melihat bahawa mereka boleh tampil untuk divaksinasi tanpa menghadapi sebarang tindakan, maka cerita itu akan tersebar, dan mereka sendiri akan tampil," kata Khairy.
Menteri tersebut ditanya media atas konteks ketakutan yang hadir di kalangan warga asing dan pelarian bahawa diri mereka berisiko ditangkap pihak imigresen semasa menyertai program vaksinasi, setelah kerajaan mungkir janji dan menahan warga asing tanpa dokumen secara beramai-ramai selepas mereka tampil membuat pemeriksaan saringan COVID-19 tahun lepas.
Pada Februari lalu, kerajaan Malaysia telah mengumumkan bahawa program vaksinasi percuma itu akan turut melibatkan semua warga asing yang tinggal di negara itu, termasuk migran tanpa dokumen, dengan tujuan mewujudkan imuniti kelompok terhadap virus COVID-19.
Khairy ketika itu dilaporkan berkata bahawa satu pelan sedang dirangka kerajaan bagi mendekati kumpulan warga asing tanpa dokumen dapat menerima vaksin dengan jaminan mereka tidak akan ditahan pihak berkuasa.
Malaysia dianggarkan mempunyai populasi pekerja asing yang sah sekitar dua juta orang pada 2018, menurut Pertubuhan Antarabangsa Mengenai Migrasi PBB, manakala di antara dua juta hingga empat juta lagi adalah pekerja asing tanpa dokumen sah.
Badan itu menyatakan bahawa jumlah pelarian dan pencari suaka di Malaysia yang berdaftar dengan UNHCR adalah kira-kira 163,000 orang, termasuk 142,000 daripadanya adalah dari Myanmar.
Kerajaan Malaysia menetapkan sasaran untuk memvaksinasi sekurang-kurangnya 80 peratus populasi Malaysia membabitkan 26.5 juta orang bagi mewujudkan imuniti kumpulan bagi melawan penularan pandemik koronavirus itu.
Berdasarkan maklumat JKJAV, sehingga 18 April seramai 8,992,832 individu di seluruh negara, iaitu 37.1 peratus populasi, telah mendaftar untuk diinokulasi dengan dos pertama telah diberikan kepada seramai 1,144,841 orang.
Masih takut
Sementara itu, Setiausaha Agung Malaysian Relief Agency, sebuah badan bukan kerajaan Shahrizal Azwan Samsudin mencadangkan supaya kerajaan melibatkan badan bukan kerajaan untuk membantu usaha mendekati para pelarian untuk divaksinasi.
"Kita tahu ada keadaan di mana pelarian kadangkala takut ke hadapan kerana risau ditangkap, walaupun kerajaan telah cuba santuni mereka dengan memberi keyakinan bahawa mereka tidak akan ditangkap, mereka tetap risau.
“Oleh kerana NGO sudah lama berurusan dengan para pelarian ini dan rapat dengan komuniti mereka, maka paling baik untuk mendekati mereka adalah melalui pendekatan NGO itu sendiri.
"Jika dilihat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pun, golongan pelarian ini banyak dibantu oleh NGO. Justeru mereka lebih mudah didekati oleh NGO yang sudah biasa berurusan dengan mereka.
“NGO-NGO ini juga sedang giat mengadakan perbincangan dengan UNHCR untuk menyampaikan vaksin kepada golongan vulnerable (terdedah) ini supaya lebih ramai golongan ini menerima vaksin dan mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan mereka dan kepada penduduk Malaysia amnya," kata Shahrizal yang juga seorang doktor.
Seorang wakil pelarian dari kaum Chin yang berasal dari Myanmar turut menyuarakan kebimbangan yang sama.
"Terdapat kira-kira 30,000 pelarian dari Komuniti Chin di Malaysia, dan kebanyakan daripada mereka masih belum mendapat kad pelarian UNHCR, dan masih menanti untuk didaftarkan. Sebab itu saya selalu mendesak supaya UNHCR memproses pendaftaran dengan cepat.
"Ramai di antara mereka yang takut untuk tampil, terutama yang tiada kad pelarian. Kami menggalakkan mereka untuk mendapatkan vaksin kerana kerajaan telah mengumumkan bahawa tiada tangkapan akan dibuat, tetapi mereka masih ragu-ragu," kata James Bawi.
Menurut beliau, pelarian dari komuniti itu masih menunggu pengumuman dari UNHCR mengenai vaksinasi.
Pada Isnin, Malaysia merekodkan 2,078 kes positif COVID-19 baharu menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 377,132, manakala jumlah kematian meningkat lapan kes kepada 1,386.