Lima Parti Pembangkang Desak Anwar Ibrahim Tolak Kerjasama Dengan ‘Kleptokrat’

Pembangkang perlu tunjuk tauladan kepemimpinan susun dasar dan inisiatif untuk membantu rakyat kebanyakan, kata lima parti pembangkang dalam satu kenyataan.
Noah Lee
2021.03.17
Kuala Lumpur
Lima Parti Pembangkang Desak Anwar Ibrahim Tolak Kerjasama Dengan ‘Kleptokrat’ Penyokong berarak dengan menaiki motosikal sambil membawa bendera Pakatan Harapan di Port Dickson, Malaysia, 13 Okt 2018.
[AP]

Lima parti pembangkang Malaysia pada Rabu mendesak parti utama pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR), untuk "menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat" dalam pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada tahun ini, sehari selepas pemimpin PKR, Anwar Ibrahim, mengesahkan bahawa beliau kini dalam perbincangan awal untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO, parti politik tertua di negara itu.

Parti-parti tersebut tidak menamakan dengan spesifik siapa yang dimaksudkan mereka sebagai kleptokrat, tetapi seorang wakil dari salah satu parti telah memberitahu media tempatan bahawa kenyataan mereka kepada Anwar itu merujuk kepada ahli-ahli UMNO – Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang sedang menghadapi kes korupsi.

Dalam satu kenyataan bersama, lima parti tersebut -- Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) -- menyeru Anwar supaya mengukuhkan blok pembangkang dan bersama-sama menunjukkan tauladan dalam kepimpinan.

"Sepanjang negara melalui krisis tiga serangkai – ekonomi, kesihatan dan politik - kepimpinan Perikatan Nasional tidak menonjolkan arah tuju dan rancangan yang jelas. Kelompongan ini perlu dimanfaatkan oleh blok pembangkang dengan mengetengahkan satu gagasan bersama berlandaskan agenda peduli rakyat.

“Tatkala, Perikatan gagal mezahirkan kemampuan dan iltizam, blok pembangkang perlu bersama-sama menunjukkan suri tauladan kepemimpinan dengan menyusun dasar dan inisiatif yang membantu rakyat kebanyakan.

"Mendepani cabaran berangkai ini, kami menyeru agar Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengukuhkan blok besar pembangkang dan menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat.

“Sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak perlu dibina berdasarkan asas ini. Kita perlu menggembleng usaha dan menumpukan kekuatan bersama sebagai satu suara untuk mengangkat agenda rakyat demi kelangsungan hidup semua," kata kenyataan yang ditandatangani oleh pemimpin kanan lima parti berkenaan.

Lima pemimpin kanan itu ialah Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Mohd Azis Jamman (Ketua Wira Warisan), Liew Chin Tong (Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Pengasas MUDA), dan Baru Bian (PSB).

Untuk rekod, Amanah dan DAP adalah parti komponen Pakatan Harapan yang diterajui Anwar manakala satu lagi parti pembangkang Parti Pejuang Tanah Air pimpinan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad tidak menyertai desakan tersebut.

Salahuddin dilaporkan telah memberitahu media tempatan bahawa apa yang dimaksudkan mereka dengan kleptokrat adalah pemimpin-pemimpin UMNO yang digelar sebagai 'kluster mahkamah', merujuk kepada ahli parti itu yang sedang menghadapi pertuduhan termasuk rasuah dan salahguna kuasa di mahkamah.

"Maksud tolak kerjasama dengan pihak 'kleptokrat' hanya merujuk kepada 'kluster mahkamah' sahaja. Kami masih mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin UMNO yang lain," kata Salahuddin kepada portal berita tempatan Malaysiakini.

Antara pemimpin UMNO yang sedang menghadapi kes di mahkamah adalah presidennya Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri Najib Razak yang juga bekas presiden dan setiausaha agung Ahmad Maslan.

Kenyataan bersama itu keluar sehari selepas Anwar memberitahu satu sidang media bahawa terdapat perbincangan sedang berjalan antara beliau dengan UMNO, dan tidak menafikan kemungkinan akan berlakunya kerjasama antara mereka di masa hadapan.

"Kami telah mengadakan perbincangan awal dengan UMNO. Itu masih belum diformalkan. Masih terlalu awal untuk membincangkan kerjasama," kata Anwar pada Selasa.

"Saya tidak menafikan kemungkinan adanya kerjasama pada masa depan dan saya telah memberitahu semua ini kepada pemimpin [PKR] dan Ahli Parlimen kita supaya mereka dapat menyampaikan maklumat ini ke akar umbi."

UMNO adalah parti politik terbesar di Malaysia dan mempunyai jumlah wakil yang signifikan di dalam parlimen, walaupun kalah kepada Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum Ke-14 pada 2018, ia kini adalah sebahagian daripada parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin, yang dibentuk pada 2020 melalui satu rampasan kuasa politik digelar Langkah Sheraton.

Namun, baru-baru ini, UMNO mengumumkan keputusannya bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin oleh Muhyiddin dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Kerjasama tidak berhasil

Dengan pengumuman itu, semua parti utama dilihat sedang berusaha mendapatkan kerjasama bagi membentuk jalinan yang boleh dilaksanakan, termasuk Anwar dan Pakatan Harapan yang turut berusaha memanfaatkan perpecahan yang berlaku dalam Perikatan Nasional.

Sementara itu, seorang penganalisis politik dan pakar strategi percaya bahawa kenyataan lima parti pembangkang tersebut bukanlah satu batu penghalang kepada usaha Anwar untuk menjalin kerjasama dengan UMNO.

Azmi Hassan memberitahu BeritaBenar bahawa perbincangan itu bagaimanapun mungkin tidak akan berhasil kerana UMNO tidak akan boleh menerima kerjasama dengan DAP, yang merupakan komponen Pakatan Harapan.

"Saya tidak rasa bahawa kenyataan itu merujuk kleptokrat kepada UMNO sebagai sebuah parti, tetapi hanya beberapa individu dalam UMNO sahaja yang boleh digelar kleptokrat. Jadi saya tidak melihat kenyataan itu sebagai batu penghalang atau sesuatu yang boleh diguna terhadap Anwar mengenai perbincangan beliau dengan UMNO," kata Azmi.

"Sekiranya benar seperti yang Anwar kata bahawa perbincangan masih di tahap awal, saya tidak merasakan bahawa ia akan pergi jauh sehingga boleh membentuk persefahaman di antara UMNO dan Pakatan Harapan.

“Ini kerana satu perkara yang cukup mudah - Pakatan Harapan mempunyai DAP yang merupakan satu kepantangan bagi ahli akar umbi UMNO,” tambah beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.