Malaysia selamatkan 73 mangsa pemerdagangan manusia, buruh paksa

Operasi bersepadu dilaksana dua minggu sebelum Jabatan Negara Amerika Syarikat mengeluarkan Laporan Pemerdagangan Manusia 2024.
Noah Lee dan Nisha David
2024.06.20
Kuala Lumpur
Malaysia selamatkan 73 mangsa pemerdagangan manusia, buruh paksa Beberapa orang anggota polis dari Bukit Aman bertanya sesuatu kepada lima remaja Myanmar, mangsa buruh paksa yang diselamatkan dalam operasi anti-pemerdagangan manusia di sebuah bengkel kenderaan di Subang Jaya, Selangor, 12 Jun 2024.
[Ihsan Polis Diraja Malaysia]

Pihak berkuasa Malaysia menyelamatkan sejumlah 73 mangsa pemerdagangan manusia termasuk 22 kanak-kanak minggu lalu, kira-kira dua minggu sebelum Jabatan Negara Amerika Syarikat dijangka mengeluarkan laporan mengenai usaha anti-pemerdagangan manusia bagi tahun 2024.

Negara Asia Tenggara itu diletakkan pada Tahap 2 senarai pemerhatian dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2023 iaitu sedikit peningkatan berbanding tahun sebelumnya dengan Jabatan Negara AS menyatakan Malaysia tidak memenuhi piawaian minimum dalam menghapuskan aktiviti pemerdagangan manusia tetapi mempunyai usaha ke arah itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Fadil Marsus pada Khamis berkata operasi bersepadu pada 12 Jun yang dilaksanakan khusus bagi menangani isu buruh paksa di seluruh negara menyaksikan 26 wanita antara mangsa diselamatkan.

Kata beliau, polis turut berjaya menahan 113 individu yang dipercayai ahli sindiket pemerdagangan manusia.

"Sepanjang operasi itu, sebanyak 33 serbuan dilakukan di seluruh negara dengan seramai 113 individu terdiri daripada warganegara tempatan dan warga asing dari Thailand, India, Bangladesh, Indonesia dan China telah ditahan.

"Dalam operasi yang sama, polis turut menyelamatkan seramai 73 orang mangsa di bawah Seksyen 44 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran," kata beliau dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Menurut Fadil, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 25 lelaki, 26 wanita dan 22 kanak-kanak daripada pelbagai negara termasuk Filipina, Indonesia, dan Bangladesh selain warga tempatan termasuk tiga orang kurang upaya (OKU).

Antara mangsa yang diselamatkan adalah pengemis, pembantu rumah warga asing dan wanita dari sindiket pelacuran serta pekerja asing di ladang kelapa sawit dengan kebanyakan mereka terlibat dalam sektor perkhidmatan, tambah beliau.

Op Pintas Mega itu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan polis bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain termasuk Majlis Anti-Pemerdagangan Orang Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja serta pihak berkuasa tempatan.

Kata Fadil, fokus utama operasi berkenaan adalah untuk mengenal pasti mangsa yang dieksploitasi sebagai buruh paksa dalam kalangan golongan rentan berpandukan Garis Panduan Nasional mengenai Indikator Pemerdagangan Orang.

"...aktiviti jenayah pemerdagangan orang melibatkan jenayah rentas sempadan dan ia merupakan kesalahan serius yang perlu diambil tindakan.

“Kami berkongsi perkara ini dengan orang awam supaya masyarakat sedar betapa pentingnya untuk kita berkongsi maklumat mengenai aktiviti pemerdagangan manusia.

"Ini kerana masih terdapat peniaga dan masyarakat kurang mempunyai kesedaran tentang eksploitasi pekerja OKU bawah umur dan tidak didedahkan mengenai pascatahap indikator buruh paksa," kata beliau.

Perbaiki penarafan

Malaysia sedang giat berusaha memperbaiki penarafannya dalam Laporan Pemerdagangan Manusia yang dikeluarkan secara tahunan oleh Jabatan Negara AS mengenai keseriusan masalah itu, serta usaha yang dilaksanakan oleh setiap negara bagi menangani jenayah tersebut.

Pada awal tahun ini, pihak berkuasa Malaysia telah menjalankan operasi serupa yang menyaksikan 42 serbuan dibuat di seluruh negara antara hujung Januari.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Mohd Zain, pasukan serbuan telah berjaya menangkap seramai 285 suspek yang disyaki terbabit dalam aktiviti eksploitasi buruh paksa serta menyelamatkan 64 orang mangsa termasuk 22 wanita dan 30 kanak-kanak pelbagai warganegara.

"Polis Malaysia memandang serius ke atas aktiviti jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu dan kumpulan yang melakukan jenayah ini," kata beliau dalam kenyataan pada 29 Januari.

Pengarah Eksekutif North South Initiative, Adrian Pereira yang menumpukan isu buruh paksa mengalu-alukan tindakan pasukan polis dan agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras aktiviti pemerdagangan manusia di Malaysia.

Bagaimanapun kata beliau, negara itu juga perlu memperbaiki sistem perundangannya bagi memastikan nasib mangsa pemerdagangan manusia terbela dan mereka mendapat keadilan yang sewajarnya.

"Tindakan serbuan di seluruh negara oleh anggota polis adalah sesuatu yang layak dipuji, ia membuktikan bahawa terdapat usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia.

"Namun sistem perundangan negara masih gagal memberikan keadilan secara holistik kepada mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia. Ini merupakan aspek yang lebih penting bagi memperbaiki penarafan negara itu," kata beliau kepada BenarNews.

Tambah Pereira, kehendak politik diperlukan dalam usaha mereformasikan kebajikan pekerja di Malaysia bagi menangani isu penyeludupan manusia.

Aktivis hak asasi pekerja Andy Hall pula menyuarakan rasa kecewa terhadap tahap usaha kerajaan Malaysia dalam menangani masalah pemerdagangan orang dan buruh paksa.

"Malaysia patut diturunkan ke Tahap 3 dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2024 oleh Jabatan Negara AS atas ketidakupayaannya dalam membanteras pemerdagangan buruh secara sistemik, memastikan pemulihan mangsa dan mempertanggungjawabkan mereka yang terlibat," kata beliau kepada BenarNews.

Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.