Gaji baharu penjawat awam Malaysia diumum semasa Belanjawan 2025

Pakar ekonomi anggap semakan gaji dengan hapus skim pencen bukan jalan penyelesaian kurangkan beban kerajaan.
Helmi Foad dan Ili Shazwani Ihsan
2024.02.14
Kuala Lumpur
Gaji baharu penjawat awam Malaysia diumum semasa Belanjawan 2025 Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada majlis perjumpaan bulan dengan penjawat awam Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, 5 Feb. 2024.
[Facebook Anwar Ibrahim]

Malaysia pada Rabu mengumumkan bahawa semakan pertama struktur gaji penjawat awam selepas 12 tahun akan dibentangkan semasa Belanjawan 2025 berikutan keputusan kerajaan untuk memansuhkan sistem pencen bagi pekerja baharu.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata mesyuarat bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Rabu membincang dan menimbang inisiatif-inisiatif penambahbaikan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) terutama aspek meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada bulan lepas telah mengumumkan sistem pencen bagi kakitangan awam lantikan baharu akan dihapuskan dengan digantikan faedah persaraan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerajaan menyediakan caruman tambahan.

“Cadangan penambahbaikan sistem struktur gaji penjawat awam dijangka akan dimuktamad dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaat Menteri selewat-lewatnya pada awal suku kedua tahun ini untuk kelulusan.

“Keputusan ini dijangka akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 pada tahun ini,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPA di Putrajaya pada Rabu.

Menurut JPA, Perdana Menteri juga memberi penekanan kepada elemen-elemen pembaharuan perkhidmatan awam seperti pendigitalan sistem perkhidmatan, kerjasama strategik yang holistik serta pendekatan ‘Whole-of-Nation’ bagi memacu peningkatan kecekapan, keberkesanan dan profesionalisme perkhidmatan awam dalam memberi yang terbaik kepada semua rakyat.

Sementara menunggu kajian semakan gaji dimuktamadkan, kerajaan baru-baru ini telah memutuskan kakitangan baharu dilantik secara kontrak dalam tempoh interim sebelum lantikan tetap tanpa pencen dilaksanakan.

Meskipun cadangan menaikkan gaji adalah suatu perkara yang ditunggu-tunggu kakitangan awam, keputusan menghapuskan pencen mendapat reaksi berbeza termasuk membangkitkan rasa tidak puas hati banyak pihak.

240214-MY-Anwar-inside.jpg

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan bersalaman dengan penjawat awam selepas majlis perhimpunan bulan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, 5 Feb. 2024. [Facebook Anwar Ibrahim]

Dilema pekerja kontrak

Dilema tersebut dapat dirasakan oleh pekerja kontrak yang bertahun-tahun menanti untuk diserapkan ke jawatan tetap dengan harapan bakal menikmati skim pencen apabila bersara kelak.

Seorang kakitangan awam yang hanya dikenali sebagai Sharizan, 39, berkata, kesanggupan beliau bertahan sebagai pekerja kontrak selama 12 tahun disebabkan harapan diserapkan dengan jawatan tetap sekali gus dapat menikmati kemudahan pencen.

“Bukan mudah hendak dapat masuk kerja kerajaan sebab banyak saingan, jawatan yang ditawarkan tidak banyak dan yang memohon ramai sangat.

"Antara faktor utama adalah pencen, sebab itu ramai antara kami sanggup kerja secara kontrak bertahun walaupun terlepas kenaikan gred sedangkan mereka yang berkhidmat dalam sektor swasta atau jawatan tetap kerajaan dapat gaji lebih tinggi dan banyak manfaat lain," katanya.

Katanya, skim pencen merupakan satu jaminan ketika hari tua berbanding simpanan persaraan melalui hasil caruman yang tidak tinggi menyukarkan mereka menampung keperluan keluarga termasuk pendidikan anak-anak dan kesihatan.

Sementara itu, seorang lagi kakitangan awam di Kuala Lumpur yang mahu dikenali sebagai Iwan, 38 yang juga kakitangan kontrak yang mengharapkan perjawatan tetap, berharap kerajaan mengkaji secara mendalam keputusan untuk memansuhkan pencen.

"Macam saya, kalau dapat jawatan tetap beberapa tahun lagi umur sudah masuk 40 tahun. Jadi untuk berada dalam perkhidmatan tidak sampai 20 tahun, berapalah sangat kalau dapat pencen.

"Tetapi sekurang-kurangnya dapat menampung kehidupan pada hari tua," ujarnya yang sudah 12 tahun menjadi pekerja kontrak.

Malah katanya, dia terpaksa bekerja selagi ada hayat kerana hanya akan mendapat kemudahan pinjaman perumahan kerajaan selepas diserapkan sebagai kakitangan tetap.

"Kalau umur 40 tahun baru dapat jawatan tetap, ketika umur bersara 60 tahun, saya akan mempunyai banyak lagi baki pinjaman rumah. Jadi saya perlu terus bekerja untuk meneruskan hidup," katanya.

"Kalau boleh sekurang-kurangnya kakitangan gred 41 ke bawah janganlah dihapuskan pencen kerana gaji mereka rendah. Kalau buat caruman KWSP berapalah sangat simpanan mereka nanti ketika bersara dengan tiada pencen."

Seorang kakitangan universiti awam dikenali sebagai Hairul, 30, berkata dia juga sanggup menanti sebagai pekerja kontrak selama lapan tahun kerana mahu diserapkan sebagai kakitangan tetap berpencen.

“Saya serta isteri berjawatan kontrak dan baru dapat anak ketiga beberapa bulan lepas. Kos sara hidup makin meningkat tetapi gaji tetap di takuk sama.

“Gaji kami tidak setinggi swasta, setiap tahun berdebar bila tamat tempoh kontrak tetapi sebab fikir ada pencen ramai yang sanggup harung sebab mahu dapat jawatan tetap selain ada kemudahan lain seperti pinjaman rumah dengan kadar keuntungan lebih rendah," ujarnya.

Bukan penyelesaian

Pakar ekonomi Prof Emeritus Barjoyai Bardai berkata penghapusan pencen hanya dapat diterima kesannya dari segi pengurangan perbelanjaan kerajaan dalam tempoh 30 hingga 40 tahun akan datang.

Beliau berkata bagi tempoh jangka pendek, kerajaan tetap menanggung peningkatan kos iaitu membayar pencen kepada pesara sedia ada dan caruman KWSP untuk kakitangan lantikan baharu.

“Masalah kita adalah ramai orang sampai umur persaraaan tidak cukup persediaan untuk bersara. Kerana simpanan KWSP tidak cukup. Sebanyak 70 peratus daripada mereka kurang simpanan dari RM250,000 bagi perbelanjaan RM1,500 sebulan selama 15 tahun," katanya ketika dihubungi BenarNews.

“Kita perlu satu skim perlindungan sosial yang boleh melindungi semua rakyat khususnya warga tua sebab Malaysia akan jadi negara menua menjelang 2040, lebih 15 peratus warganegara berusia 60 tahun ke atas."

Profesor ekonomi Universiti Utara Malaysia, Mukaramah Harun pula berpendapat, skim pencen sepatutnya diteruskan memandangkan segelintir masyarakat di Malaysia masih belum bersedia lagi dari segi kebolehan menguruskan kewangan secara berjadual dan berdisiplin.

“Sekiranya kerajaan ingin menghapuskan skim pencen, harus ada perancangan lain sebagai pampasan dan menjamin kebajikan kakitangan awam yang menerima gaji jauh lebih rendah berbanding sektor swasta.

“Antaranya ialah kenaikan gaji. Namun sekiranya gaji dinaikkan, kos tetap meningkat dengan peruntukan tambahan perlu dikeluarkan untuk kenaikan gaji serta caruman majikan sebanyak 13 peratus kepada pekerja.

“Kerajaan tetap akan mengeluarkan sejumlah belanja yang besar, ini bukan penyelesaian terbaik. Beberapa pembaharuan perlu dilakukan dari segi keselamatan sosial pekerja termasuk kenaikan gaji yang setara dengan sektor swasta termasuk kemudahan kesihatan hospital kerajaan kepada pesara kerajaan," ujarnya.

240214-MY-Anwar-inside2.jpg

Penjawat awam semasa perhimpunan bulanan beramah mesra bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya, 10 Disember, 2023. [Facebook Anwar Ibrahim]

Ganti faedah komprehensif

Felow Penyelidik Kanan Insitut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Dr Shankaran Nambiar berkata sekiranya kerajaan mahu menghapuskan pencen, satu faedah persaraan komprehensif perlu disediakan kepada semua kakitangan awam dan swasta.

"Ia harus melibatkan pendapatan asas dan akses kemudahan kesihatan kepada pesara. Sudah tiba masanya untuk kerajaan menyediakan skim pembiayaan perubatan di mana semua golongan rakyat mendapat akses perubatan tanpa mengira status kewangan.

"Pada masa ini kemudahan hospital swasta jauh daripada jangkauan golongan kurang mampu manakala hospital kerajaan kurang berkesan. Faedah kepada ahli politik perlu dipotong," katanya.

Sebelum ini, sebanyak 32,000 pesara baharu direkodkan setiap tahun dengan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM31 bilion bagi membayar pencen lebih 900,000 pesara.

Daripada jumlah itu, seramai 768,947 pesara termasuk penerima pencen terbitan di bawah Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Pada ketika ini, penjawat awam di Malaysia berjumlah 1.6 juta orang yang sebahagian besarnya bakal menikmati skim pencen apabila bersara.

Kebimbangan kerajaan adalah tentang kemampuan menguruskan fiskal negara kerana jika tiada pindaan dilakukan terhadap sistem saraan, jumlah pencen yang akan ditanggung boleh mencecah RM120 bilion setahun menjelang 2040.

Jumlah itu adalah hampir separuh daripada belanjawan tahunan negara pada masa sekarang iaitu RM393.8 bilion.

Pada ketika ini setiap tahun sebanyak 31.5 peratus daripada perbelanjaan kerajaan Pusat diperuntukan untuk emolumen, dan berdasarkan Belanjawan 2024, dianggarkan kerajaan akan berbelanja RM95.64 bilion untuk emolumen saja.

Skim pencen di Malaysia dilindungi di bawah Perkara 147(1) Perlembagaan Persekutuan dengan sebelum ini pencen diselaras apabila semakan gaji dibuat.

Semakan terakhir adalah pada 2012, iaitu semasa kerajaan di bawah pentadbiran Najib Razak yang memberikan kenaikan 2 peratus setiap tahun sebelum dihentikan ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan, amaun pencen kembali kepada bayaran asal 2012 dan 2013.

Kenaikan gaji kakitangan awam dan penambaikan bagi pesara yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini dilakukan setelah melanjutkan umur persaraan dari 55 kepada 56 tahun pada 2001, 56 kepada 58 tahun (2008) dan 58 kepada 60 tahun (2012).

Perdana Menteri Anwar yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun telah mengumumkan mahu menggantikan pencen dengan Penghargaan Khas Pesara Kepada Pesara (PKKP).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.