PENJELASAN: Al-Arqam, kumpulan diharamkan di Malaysia dikait skandal penderaan kanak-kanak

Apakah mazhab Islam kumpulan ini dan mengapa ia menjadi kontroversi di negara Asia Tenggara?
Iman Muttaqin Yusof dan Ili Shazwani Ihsan
2024.09.13
Kuala Lumpur
PENJELASAN: Al-Arqam, kumpulan diharamkan di Malaysia dikait skandal penderaan kanak-kanak Kawasan permainan di premis di mana kanak-kanak diselamatkan polis di Kajang, Malaysia, 12 Sept 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Isu pertubuhan al-Arqam kembali menjadi tumpuan selepas tersiar berita mengenai lebih 400 kanak-kanak berusia seawal setahun diselamatkan pasukan polis dari rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), syarikat dikaitkan dengan ajaran sesat yang telah diharamkan.

Namun apakah sebenarnya al-Arqam, dan mengapa bayang-bayangnya terus berlegar meskipun ia diharamkan sejak beberapa dekad lalu?

Apa sebenarnya al-Arqam?

Al-Arqam merupakan sebelum kumpulan Islam yang diasaskan pada 1968 oleh Ashaari Muhammad sebagai gerakan kerohanian yang memfokuskan kepada aktiviti sara diri, amalan dan idealisme sebuah masyarakat Islam.

Menjelang 1980-an, ia berjaya mengumpulkan ribuan pengikut bukan sahaja di Malaysia malah di negara jiran Indonesia, Thailand, dan Brunei. Namun ia telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada 1994.

Pada zaman kemuncaknya, al-Arqam mengendalikan pelbagai bentuk perniagaan, daripada pertanian hinggalah penerbitan dan juga restoran dengan mengumpul kekayaan yang dilaporkan bernilai berjuta-juta dolar AS.

“Kami pernah mempunyai produk makanan sendiri, memiliki sekolah dan menjalankan beberapa perniagaan," kata Shamsul Mohd Noor, bekas ahli Al-Arqam, kepada BenarNews.

“Ia bermula sebagai gerakan dakwah agama, yang pada mulanya tertumpu kepada menangani isu-isu akidah Islam.

“Ia kemudian tertumpu kepada pendidikan dan pembangunan peribadi. Kekuatannya terletak pada mempromosikan amalan fardhu kifayah iaitu tanggungjawab kolektif dalam masyarakat Islam,” kata Shamsul yang menyertai kumpulan itu sejak 1980-an.

240912-MY-GISBH2.jpg

Seorang gadis berumur 18 tahun yang ditahan dalam serbuan berkaitan ahli Global Ikhwan Services and Bussiness Holdings dibawa oleh anggota polis bagi menghadapi pertuduhan mendera empat kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Seremban, di Negeri Sembilan, 12 September 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Siapa pengasas al-Arqam?

Ashaari Muhammad merupakan pengasas kumpulan ini. Seorang pemimpin dilihat berkarisma yang membayangkan wujudnya sebuah masyarakat Islam yang berdikari, Ashaari menyeru agar kembali kepada Islam yang "lebih murni".

Ashaari yang digelar Abuya atau bapa, oleh pengikutnya mengamalkan poligami dengan mempunyai empat isteri dan dilaporkan mempunyai seramai 40 orang anak, sebelum meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru pada 2010.

Ashaari turut pernah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang melibatkan penahanan tanpa bicara.

MY-explainer-3.JPG

Poster pemimpin al-Arqam Ashaari Muhammad dipamerkan di luar pejabat Rufaqa Corporation di Rawang, Selangor, 6 Disember 2006. [BazukiMuhammad/Reuters]

Mengapakah al-Arqam diharamkan?

Kerajaan Malaysia secara rasmi mengharamkan al-Arqam pada 1994 setelah ia dianggap mengamalkan ajaran sesat dengan dakwaan Ashaari adalah pemimpin akhir zaman dan mengancam perpaduan negara.

“Ajaran Ashaari dianggap sesat kerana ia bercanggah dengan prinsip asas Islam,” kata Shukri Ahmad, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah Universiti Utara Malaysia kepada BenarNews.

“Sebagai contoh, dakwaan bahawa Ashaari dapat berhubung secara sedar (yaqazah) dengan Nabi Muhammad adalah sifat biasa dalam kalangan kumpulan ajaran sesat. Apabila seorang pemimpin dilihat sebagai maksum dan semua yang mereka lakukan dianggap betul, sesuatu yang jelas salah."

MY-explainer-4.JPG

Suasana di ibu pejabat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Rawang, Selangor, 11 September 2024. [Hasnoor Hussain/Reuters]

Apakah kaitan antara Global Ikhwan dan al-Arqam?

Di sebalik larangan itu, pengaruh al-Arqam dilanjutkan melalui organisasi baharu, yang paling menonjol ialah Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), syarikat yang memiliki rumah amal yang diserbu pasukan polis pada minggu ini. Ashari pernah menjadi pengerusi GISBH sebelum meninggal dunia.

Diasaskan oleh pengikut setia kepada ajaran Ashaari termasuk salah seorang isterinya, GISBH terus menjalankan aktiviti perniagaan secara berdikari sama seperti yang dilakukan oleh al-Arqam sebelum ini.

Syarikat itu kini mendakwa mengendalikan perniagaan di 20 negara dalam sektor seperti pertanian, peruncitan dan pendidikan.

Serbuan baru-baru ini ke atas rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH menimbulkan kebimbangan mengenai kaitannya dengan ideologi al-Arqam selepas pihak berkuasa menemui buku-buku karya Ashaari.

Dakwaan berlaku penderaan terhadap kanak-kanak dan keadaan daif di rumah amal tersebut mendorong polis melakukan siasatan setelah menerima sebanyak 49 laporan berkaitan GISBH antara 2011 dan 2024, dengan sebahagiannya daripada bekas ahli.

Bagaimanapun, GISBH telah menafikan sebarang kaitan dengan rumah amal dan tuduhan penderaan kanak-kanak dengan menyataakan bahawa dakwaan itu adalah percubaan untuk mencemarkan reputasinya.

MY-explainer-5.jpg

Antara buku karangan Ashaari Muhammad yang dirampas pasukan polis Malaysia semasa serbuan dilakukan di rumah amal dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business di Selangor dan Negeri Sembilan, 11 September 2024. [Ihsan Polis Diraja Malaysia]

Apa berlaku sekarang?

Polis telah menahan seramai 171 individu selama tujuh hari dan mengambil sampel DNA daripada 402 kanak-kanak yang diselamatkan, yang menurut polis bukan anak yatim seperti yang didakwa sebelum ini sebaliknya anak-anak ahli Global Ikhwan ditempatkan di rumah amal untuk indoktrinasi.

Pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan indoktrinasi dan seorang pekerja prasekolah berusia 19 tahun yang dikaitkan dengan GISBH telah didakwa atas empat pertuduhan penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Pihak berkuasa agama Malaysia termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terus memantau GISBH dengan teliti.

JAIS mengesahkan fatwa pada 1994 yang melabelkan al-Arqam dan kumpulan gabungannya sebagai menyeleweng daripada akidah Islam sebenar manakala Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengecam dakwaan penderaan itu dan menggesa tindakan diambil ke atas pelaku yang terlibat dalam keganasan terhadap kanak-kanak.

240912-MY-GISBH1.jpg

Salah sebuah rumah amal yang dikaitkan Global Ikhwan Service and Business Holdings disita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah ia diserbu dalam operasi polis di Kajang, Selangor, 12 September 2024.[S. Mahfuz/BenarNews]

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.