Tindakan Putrajaya kekang isu 3R beri impak kepada kebebasan bersuara, penganalisis

Kerajaan perlu mencari keseimbangan antara kritikan asli dengan fitnah dan ucapan berbaur kebencian, selain memerlukan mahkamah yang berfungsi untuk membuat keputusan tanpa rasa takut atau berat sebelah.
Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2023.07.18
Kuala Lumpur
Tindakan Putrajaya kekang isu 3R beri impak kepada kebebasan bersuara, penganalisis Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima Hormat Diraja pada majlis Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara, di Kuala Lumpur, 5 Jun 2023.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

Tindakan keras diambil kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim bagi membanteras peningkatan ucapan berbaur hasutan dan kebencian boleh memberikan impak kepada kebebasan bersuara di Malaysia, menurut penganalisis dan kumpulan hak asasi, walaupun terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

Golongan liberal dan konservatif tidak senang dengan cara digunakan kerajaan untuk mengekang perbuatan menghasut malah kedua pihak telah mengkritik tindakan pendakwa raya mengheret seorang pemimpin pembangkang menggunakan Akta Hasutan, undang-undang lapuk zaman penjajah, atas dakwaan mengkritik institusi diraja negara itu.

Di bawah akta tersebut, komen negatif terhadap keluarga diraja Malaysia boleh menyebabkan seseorang dituduh di mahkamah, mirip undang-undang 'Lese Majeste' di Thailand yang melarang sebarang penghinaan terhadap sistem beraja negara jiran itu.

Sekiranya seseorang yang dituduh di bawah Akta Hasutan didapati bersalah, individu berkenaan boleh dihukum dengan penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 (AS$1,102), atau kedua-duanya sekali.

Penganalisis Oh Ei Sun berkata langkah menggunakan undang-undang sedemikian bagi menangani ucapan yang menyentuh isu agama, bangsa dan institusi diraja, atau dikenali sebagai isu 3R, boleh mengundang masalah bagi Kerajaan Perpaduan Anwar.

Akan tetapi, kata beliau, tidak ada jalan mudah bagi perdana menteri itu dalam menangani masalah tersebut.

"Sekiranya kerajaan menekan terlalu kuat terutama sekali berkaitan dengan isu institusi diraja, agama dan bangsa dengan menggunakan undang-undang lapuk, ia akan dihentam golongan liberal sebagai tindakan yang tidak demokratik.

“Namun sekiranya kerajaan tidak berbuat demikian, ia akan dihentam pula oleh golongan konservatif kerana dikatakan tidak mempertahankan Melayu dan Islam," kata Oh kepada BenarNews.

Menurut data terkini oleh Putrajaya, dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia, etnik Melayu merupakan majoriti dengan hampir 70 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi negara, dengan kesemua mereka beragama Islam. Etnik Cina pula sebanyak 22.8 peratus manakala etnik India 6.6 peratus, dan lain-lain bangsa seramai 0.7 peratus.

SANUSI_MB_KEDAH_BENARNEWS_02.jpg

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor melambai kepada penyokongnya diperkarangan Mahkamah Sesyen Selayang di Selangor, 18 Julai 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]

Pendirian keras

Pada Selasa, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga merupakan pengarah pilihan raya parti pembangkang - Parti Islam Se-Malaysia (PAS), telah didakwa di bawah Akta Hasutan kerana dikatakan telah mengkritik insitusi diraja semasa satu program kempen di Selangor minggu lalu. Beliau juga didakwa menghasut berkaitan isu penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri pada hari yang sama memberitahu media bahawa beliau tidak masuk campur dalam urusan siasatan polis.

"Kita cuba elak dari penggunaan Akta Hasutan tapi apabila beliau (Sanusi) menyentuh kedudukan raja-raja dan martabat raja-raja..., Ini sudah menjadi soal wacana politik yang tidak sihat. Kes ini, saya tidak mahu campur, biarlah ia mengikut proses," kata Anwar sambil menambah bahawa ucapan Sanusi telah menarik perhatian Majlis Diraja Selangor yang kemudiannya membuat laporan polis terhadap Menteri Besar itu.

Perdana Menteri sebelum ini telah beberapa kali menegaskan bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap individu atau kumpulan yang membakar sentimen di kalangan masyarakat, bertujuan meredakan ketegangan antara kaum selepas keputusan pilihan raya umum tahun lepas menunjukkan jurang yang melebar antara etnik.

"Ini amaran terakhir daripada kerajaan. Saya selaku Perdana Menteri tidak ada pilihan lain kerana desakan daripada kalangan berfikir untuk pertahankan keselamatan negara.... Saya anggap keadaan ini sudah sampai agak serius kerana sudah puluhan tahun, kita belum nampak dan lihat kenyataan yang melampau dan dibiarkan," kata Anwar pada minggu lepas.

Sejak beberapa minggu lalu, polis telah membuka siasatan ke atas dua pemimpin politik yang menuduh satu sama lain bahawa parti lawan mereka cuba menggugat keharmonian agama dan kaum di Malaysia.

Menurut polis, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng kini disiasat atas beberapa jenis kesalahan, termasuk hasutan.

PAS merupakan parti komponen terbesar dalam gabungan pembangkang Perikatan Nasional, manakala DAP pula parti komponen di dalam gabungan Pakatan Harapan yang memimpin Kerajaan Perpaduan.

Sanusi juga berkemungkinan akan menghadapi satu lagi pertuduhan jenayah, di mana polis telah membuka satu lagi siasatan terhadap pemimpin PAS itu berkaitan isu 3R.

Menurut James Chin, profesor Kajian Asia di Universiti Tasmania, parti-parti politik suka mengeksploitasi isu agama dan bangsa kerana ia satu cara paling pantas dan efektif untuk mendapatkan sokongan pengundi di Malaysia.

"Tidak kira sama ada mereka Melayu Islam atau orang bukan Melayu dan bukan Islam, semua parti menggunakan strategi yang serupa. Ia satu teknik yang diakui ramai sebagai cara terpantas untuk mendapatkan undi di negara ini," kata Chin kepada BenarNews.

Tambah beliau, penggunaan isu agama dan bangsa semakin bertambah teruk di media sosial, terutama sekali apabila komen yang berbaur provokasi disiarkan kepada umum dan dapat dilihat oleh orang ramai.

"Ia dipacu oleh media sosial. Banyak video yang memprovokasi isu 3R di TikTok yang mula muncul di suapan media sosial orang awam biasa. Ia sudah memasuki media arus perdana," kata Chin, dan menambah bahawa Kerajaan perlu bekerjasama dengan platform-platform media sosial bagi menangani isu itu.

Tapisan

Aktivis hak asasi manusia berkata reaksi Kerajaan Anwar menggunakan undang-undang yang menindas bagi menangani isu 3R menunjukkan bahawa ia gagal mengotakan janji mereka sebelum ini untuk menghapuskan akta sedemikian.

Mengambil contoh kes terhadap Sanusi, Phil Robertson dari Human Rights Watch semasa dihubungi BenarNews berkata, "Agak jelas bahawa kebanyakan dakwaan jenayah ini tidak selari dengan standard hak asasi antarabangsa, ucapan yang menjadi isu itu adalah mengenai pandangan beliau, dan bukan merupakan ucapan yang bertujuan mengapi-apikan orang bagi melakukan keganasan terhadap mana-mana individu atau komuniti.”

"Pihak berkuasa Malaysia telah mengenepikan keseimbangan, dengan memilih menggunakan dakwaan jenayah bagi menghalang ucapan yang tidak disukai mereka dan bukannya mengiktiraf kebebasan untuk bersuara walaupun perkara itu kadang-kala membuatkan orang berasa tidak selesa," tambah beliau lagi.

Katanya, rekod Malaysia merupakan antara yang terburuk di rantau ini dari segi meratifikasi instrumen hak asasi manusia antarabangsa.

"Ia gagal meratifikasikan Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik yang menetapkan peruntukan asas mengenai perlindungan kebebasan untuk bersuara.

"Akta Hasutan dengan jelasnya tidak mematuhi standard hak asasi antarabangsa dan patut dihapuskan dengan segera," kata Robertson lagi.

Seorang penganalisis politik yang berkongsi pandangan serupa dengan Robertson percaya bahawa institusi diraja sepatutnya tidak terkecuali daripada kritikan yang membina, seperti mana yang dihadapi figura awam lain, tetapi ia perlu dilakukan secara halus.

"Ia merupakan intipati sebuah kerajaan demokratik," kata Azmil Mohd Tayeb dari Universiti Sains Malaysia kepada BenarNews.

"Kuncinya ialah untuk mencari keseimbangan antara kritikan yang asli dengan fitnah atau ucapan berbaur kebencian. Dan itu sebabnya kita memerlukan mahkamah yang berfungsi bagi membuat keputusan tanpa rasa takut atau berat sebelah," tambahnya lagi.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty turut menghentam kerajaan kerana menggunakan Akta Hasutan terhadap Sanusi, terutama sekali oleh Pakatan Harapan yang selama ini mengkritik undang-undang berkenaan.

"Ia amat mengecewakan sekali apabila perkara seperti ini berlaku ketika kerajaan dipimpin oleh Pakatan Harapan, yang pada ketika berada di pihak pembangkang telah mengkritik kewujudan dan penggunaan Akta Hasutan sebagai menindas," kata LFL, seperti dilaporkan media tempatan.

Kerajaan pimpinan Anwar dilihat memberikan komitmen tinggi dalam menangani isu 3R, dengan Menteri Undang-Undang Azalina Othman Said baru-baru ini menyatakan bahawa mereka sedang mengkaji undang-undang sedia ada untuk melihat sekiranya peruntukan yang wujud hari ini adalah mencukupi untuk menghadapi masalah 3R.

"... kita akan berbincang, kaji atau buat penilaian undang-undang sedia ada, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Akta Hasutan 1948. Kita akan bincang sama ada ia sudah mencukupi untuk isu 3R ini atau sebaliknya kerana ketika ini, kesalahan melibatkan isu 3R disiasat mengikut akta yang lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah," kata beliau ketika berucap dalam satu majlis pada Isnin.

Kata beliau, tujuannya bukanlah untuk membuatkan orang ramai takut untuk bercakap mengenai topik yang berkaitan dengan 3R, tetapi supaya mereka berhati-hati dengan isu yang sensitif itu.

"Tidak ada masalah untuk bercakap tentang raja, bangsa, agama, boleh. Tetapi jangan bercakap dalam niat provokasi, dengan niat untuk timbulkan kebencian, fitnah sebab dalam negara yang pelbagai bangsa dan agama ada beberapa perkara yang sensitif," katanya lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.