Follow us

Kepelbagaian Komuniti Malaysia Mudahkan Militan Asing Bersembunyi, Kata Pakar

Alfian Z.M. Tahir
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-06-26
E-mel
Komen
Share
Seorang anggota tentera Malaysia melakukan rondaan di stesen keretapi Kuala Lumpur Sentral, 7 Julai 2016.
Seorang anggota tentera Malaysia melakukan rondaan di stesen keretapi Kuala Lumpur Sentral, 7 Julai 2016.
(AP)

Masyarakat Islam dari pelbagai kaum di Malaysia menjadikan negara itu destinasi popular bagi pejuang militan asing yang cuba melepaskan diri daripada peperangan di Syria dan Iraq, kata penasihat Polis Diraja Malaysia kepada BeritaBenar.

Ahmad El-Muhammady, yang menasihati polis mengenai program pemulihan bagi tahanan pengganas, berkata, para pejuang asing telah mengakui tentang perkara ini semasa sesi soal bagi mendapatkan maklum balas.

"Tidak ragu lagi bahawa imej Malaysia sebagai negara Islam sederhana adalah satu daripada tarikan utama bagi pejuang asing. Mereka mudah mencampuri masyarakat tempatan kerana kita adalah negara Islam, makanan kita halal, kita mempunyai kemudahan yang baik," katanya kepada BeritaBenar. "Ia juga kerana kita mempunyai komuniti Timur Tengah yang besar bersama-sama dengan kumpulan dari Asia Tengah."

"Malah, apabila mereka berjaya mendapatkan dokumentasi palsu dan nama mereka tidak berada dalam notis amaran merah, ia menyukarkan pihak berkuasa tempatan untuk melihat ancaman bahaya itu."

Bagi mereka yang datang dari  Timur Tengah, peraturan-peraturan Imigresen yang ada adalah lebih ringan selain visa tidak diperlukan untuk melawat Malaysia.

"Atas sebab itulah, Malaysia menjadi rumah kedua mereka. Ia agak mudah bagi mereka, "kata Ahmad.

Sambil menyatakan bahawa beliau sudah tidak terkira bilangan anggota militan tempatan dan asing yang ditahan, Ahmad menjelaskan bahawa walaupun sesetengahnya ditahan di lapangan terbang Malaysia ketika cuba terbang ke Syria, ada juga yang dihantar pulang ke Malaysia dari Turki.

"Saya mengendalikan perkara ini sejak 2013 dan sudah tidak terkira bilangan mereka. Tetapi, saya tahu lebih 300 orang daripada mereka berada dalam penjara kita, "katanya.

"Pejuang tempatan dan asing. Pejuang asing yang kita tangkap dan tidak melakukan apa-apa jenayah di sini, kita hantar mereka pulang. Tetapi, mereka yang melakukan jenayah di sini, kita dakwa dan menahan mereka di penjara," katanya.

"Begitu juga dengan penduduk tempatan. Mereka dipenjarakan dan menjalani program pemulihan, "kata Ahmad.

Laman web Jabatan Imigresen Malaysia menunjukkan bahawa rakyat dari negara-negara Timur Tengah tidak memerlukan visa untuk memasuki negara ini  manakala hanya enam dari 53 negara Komanwel - Bangladesh, Cameroon, Ghana, Pakistan, Nigeria dan Mozambique - yang diperlukan memohon visa. Selain daripada itu, pelancong dari Uzbekistan, Turkmenistan, Tajikistan, Kazakhstan dan Kyrgyzstan tidak memerlukan visa.

Ahmad berkata trend pejuang militan asing mengunjungi Malaysia mula berakar umbi ketika peperangan meletus di Bosnia dan Afghanistan pada 1990-an hinggalah awal tahun 2000-an.

'Mudah dikunjungi orang'


Penganalisis keselamatan lain, Badrul Hisham Ismail dari IMAN Research, mempersoalkan komen Ahmad mengenai peranan Malaysia sebagai negara Islam berhubung dengan kebanjiran penjuang asing itu. Kumpulan penyelidikan Kuala Lumpur itu memperkenalkan dirinya sebagai perusahaan sosial yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan penglibatan komuniti.

"Saya bersetuju bahawa Malaysia adalah negara yang selamat dan pelbagai, oleh itu pejuang asing mudah bercampur dengan komuniti meluas yang ada dari seluruh dunia," kata Badrul kepada BeritaBenar. "Bagaimanapun, ia bukanlah kerana Malaysia sebuah negara Islam, ia kerana Malaysia adalah selamat dan dasar pintu terbuka kita memudahkan orang untuk mengunjunginya."

Beliau turut meragui sama ada pejuang asing menganggap Malaysia sebagai rumah kedua mereka.

"Saya tidak fikir mereka menganggap Malaysia sebagai tempat kediaman. Mereka melarikan diri daripada perang dan melarikan diri daripada pendakwaan, "katanya. "Mereka merebut apa sahaja peluang untuk mengelak diri daripada ditahan."

Ahmad, yang sudah bertemu dengan ramai pejuang tempatan dan asing, berkata, polis sukar mengesan pengganas yang memasuki Malaysia melalui cara yang mengikut undang-undang.

"Adalah sukar untuk mengesan jika mereka masuk menerusi lapangan terbang kecuali adanya isyarat daripada Interpol dan perkongsian risikan," katanya. "Oleh itu, perkongsian maklumat adalah penting untuk mengelak sebarang insiden yang tidak diingini."

Tangkapan

Pada  Oktober, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, seramai 45 pejuang asing telah ditangkap dalam sembilan bulan pertama tahun 2017. Fuzi berkata, sesetengah pengganas itu dikaitkan dengan Negara Islam (IS), termasuk tiga orang Iraq yang berpangkalan di Iraq atau Syria.

Pasukan skuad anti keganasan juga menahan sembilan suspek yang dipercayai anggota kumpulan Abu Sayyaf, tiga anggota kumpulan militan Turki, Fetullah, dan seorang daripada sel pengganas Albania yang mempunyai kaitan dengan IS, kata Fuzi.

Sumber itu, yang enggan dikenali, berkata, polis Malaysia bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan di peringkat antarabangsa bagi mengesan suspek militan dan untuk memerangi keganasan.

"Walaupun ia sukar, ia bukanlah tugas yang mustahil bagi kami. Kami berjaya, misalnya, untuk menangkap 45 pengganas asing pada tahun lepas dan ini menunjukkan kami serius tentangnya. "

"Perkongsian maklumat dan perkongsian risikan adalah penting. Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan negara-negara lain dan kami berkongsi banyak maklumat mengenai siapa dan siapa. Akan ada lagi tangkapan pada masa depan, "kata sumber itu kepada BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh