Follow us

Malaysia Laksana Peraturan Baharu, Tegas Bendung Penularan COVID-19 Dalam Penjara

Ray Sherman & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-10-08
E-mel
Komen
Share
Pegawai dan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang menjalankan kerja-kerja sanitasi nyahkuman di Penjara Reman Pulau Pinang yang terletak di Jalan Penjara, Georgetown, 15 April 2020.
Pegawai dan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang menjalankan kerja-kerja sanitasi nyahkuman di Penjara Reman Pulau Pinang yang terletak di Jalan Penjara, Georgetown, 15 April 2020.
[A. Ammarudin/BeritaBenar]

Malaysia akan melaksanakan peraturan baharu yang lebih ketat bagi membendung penularan koronavirus dikalangan banduan dan petugas di kesemua 29 penjara di seluruh negara dengan memperkenalkan tiga prosedur operasi standard (SOP) terbaru termasuk mengadakan sidang video semasa proses mendapatkan reman, demikian kata Menteri Kanan Keselamatannya.

Ismail Sabri Yaakob pada Khamis semasa mengumumkan berkata, Ketua Pengarah Penjara Zulkifli Omar telah membentangan peraturan terbaru oleh jabatan itu dalam usaha membendung penularannya COVID-19 di dalam penjara sehingga jumlah terkini sebanyak 1,144 banduan dan anggota jabatan itu di seluruh negara disahkan positif.

"Ketua Pengarah (Penjara) telah membentangkan usaha menyekat penularan dalam penjara dan sekitar penjara bagi banduan, warden dan keluarga mereka. Ada tiga SOP utama iaitu pengurusan banduan baharu, pengurusan banduan dalam penjara dan luar penjara.

“Dalam situasi begini dan bagi mengelak daripada menjangkiti orang lain, kita sudah mendapat kebenaran daripada Peguam Negara yang perkara berkaitan dengan sambungan reman, permohonan dan perkara yang mempunyai hubungan dengan mahkamah boleh dibuat secara sidang video,” kata Ismail dalam sidang media yang diadakan melalui siaran langsung di laman media sosial Facebooknya dari kediaman beliau.

Menteri itu adalah antara 14 jemaah menteri Malaysia termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menjalani proses kuarantin kendiri di rumah selepas hadir dalam satu mesyuarat yang turut dihadiri seorang menteri yang disahkan positif COVID-19.

Ismail berkata satu dari tiga SOP utama melibatkan mereka yang baharu disabitkan kesalahan adalah setiap banduan perlu menjalani ujian saringan COVID-19 dan berada dalam kuarantin selama 14 hari sebelum dimasukkan ke dalam penjara, disamping perlu melakukan ujian saringan kedua pada hari ke-13 bagi memastikan mereka bebas dari koronavirus.

“Jika ujian pertama positif, mereka akan segera dimasukkan ke hospital, jika negatif, mereka akan dihantar ke satu kawasan untuk melalui proses kuarantin, dengan pada hari ke-13, ujian saringan akan dibuat keatas mereka sekali lagi. Hanya pada hari ke-15 mereka akan ditempatkan di dalam blok penjara, dan itupun akan diasingkan terlebih dahulu dari banduan-banduan lain selama lima hari sebelum dibenarkan bercampur,” kata Ismail Sabri.

Menurut beliau, Jawatankuasa Urusetia Krisis COVID-19 dan penjara sementara akan turut diwujudkan bagi mengelak kesesakan, dan prosedur tertentu juga perlu dipatuhi bagi setiap banduan yang ingin dibawa keluar dari kompleks penjara atau dipindahkan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

“Prosedur dalam pengendalian banduan yang sudah berada dalam penjara turut diperketatkan lagi,  di mana pergerakan mereka akan dihadkan dengan hanya membenarkan banduan yang bertugas di bahagian dapur dan kebersihan bebas bergerak dalam kawasan penjara. Sesi lawatan tidak dibenarkan buat masa ini tetapi banduan dibenarkan keluar untuk menerima rawatan atau pengurangan kesesakan,

"Kita akan praktiskan penjarakan sosial di dalam kenderaan, pemeriksaan kesihatan ke atas pengawal pengiring dan banduan dengan semua peralatan yang digunakan akan disanitasikan, selain menyediakan pelitup muka dan hand sanitizer. Dulu tiada SOP ketat disebabkan itulah berlakunya jangkitan di penjara yang lain,” tambah Ismail Sabri.

Sehingga kini penularan jangkitan COVID-19 telah berlaku di dua buah penjara di Kedah, dan masing-masing sebuah di Sabah, Pulau Pinang dan Selangor manakala sebuah pusat pemulihan di Perak turut dilaporkan dijangkiti.

Kementerian Kesihatan Malaysia pada Khamis berkata jangkitan harian baharu COVID-19 adalah sebanyak 375 kes dengan jumlah keseluruhan yang dicatatkan ialah 14,368 kes sejak pandemik itu mula dikesan.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata lima kematian baharu dilaporkan, yang kesemuanya di Sabah dan sekaligus jumlah kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia adalah seramai 146 orang.

Pusat Maklumat Koronavirus Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat pula mengeluarkan statistik yang menunjukkan sejumlah 36.3 juta kes jangkitan dengan lebih 1 juta kematian akibat COVID-19 direkodkan di seluruh dunia.

Langkah drastik penjara

Ketua Pengarah Jabatan Penjara dalam satu kenyataan pada Selasa berkata antara langkah drastik yang diambil oleh pengurusan penjara adalah memindahkan pesalah dadah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya ke beberapa kem Pusat Latihan Khidmat Negara [PLKN] yang diwartakan sebagai penjara sementara.

Selain itu Jabatan Penjara juga melaksanakan program Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) keatas sabitan hukuman bawah setahun yang baki hukumannya kurang dari 3 bulan.

Mengikut statistik Jabatan Penjara sehingga 5 Oktober lalu, terdapat 11,018 banduan yang sedang menjalani hukuman kurang dari 1 tahun dan baki hukuman kurang dari 3 bulan yang layak untuk dipertimbangkan bagi PBSL.

Semua banduan yang dibebaskan melalui PBSL wajib melepasi kriteria pemilihan ketat yang ditetapkan dan disahkan lulus saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia terlebih dahulu.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Salim Bashir ketika dihubungi BeritaBenar berkata bahawa SOP baru Jabatan Penjara diharapkan mampu mengelak berlakunya kesesakan di dalam penjara dan seterusnya mengekang penularan virus di kalangan banduan.

"SOP baharu ini dapat memastikan adanya langkah keselamatan kesihatan bagi mengawal penularan virus, dan mengelakkan jangkitan antara banduan, selain menunjukkan ada usaha untuk pematuhan yang ketat mengenai penjarakan fizikal.

"Kita berharap masalah kesesakan boleh diselesaikan melalui semua langkah yang diperkenalkan ini, dan seterusnya mengelak fasiliti penjara daripada menjadi sumber jangkitan," kata Salim.

Pada Isnin lepas, Salim dalam satu kenyataan telah meminta kerajaan supaya mempertimbangkan beberapa langkah susulan peningkatan jumlah kes positif COVID-19 di kalangan banduan di beberapa penjara.

Antara cadangan Majlis Peguam adalah supaya pihak berkuasa mempertimbangkan untuk  membebaskan tahanan yang dipenjara atas kesalahan yang kurang serius dengan jaminan, terutama dikalangan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19.

"Kami juga menggesa pihak mahkamah supaya menggunakan kuasa budibicara untuk mempertimbangkan situasi sukar disebabkan pandemik dalam menetapkan jumlah jaminan ke atas mereka yang dituduh.

“Ini adalah relevan terutama kepada mereka yang tidak mempunyai kemampuan untuk membayar jumlah yang diperlukan untuk jaminan dan akhirnya akan direman dan berada dalam penjara," kata kenyataan Majlis Peguam itu.

Lihat Laman Penuh