Perlis negeri pertama keluar fatwa Global Ikhwan kumpulan ajaran sesat

Tujuh lagi ditahan berhubung siasatan penderaan melibatkan lebih 400 kanak-kanak dari rumah amal yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan.
Ili Shazwani Ihsan dan Nisha David
2024.09.20
Kuala Lumpur
Perlis negeri pertama keluar fatwa Global Ikhwan kumpulan ajaran sesat Suasana di ibu pejabat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Rawang, Selangor, 11 September 2024.
[Hasnoor Hussain/Reuters]

Negeri di utara Malaysia, Perlis pada Jumaat mengeluarkan fatwa bahawa syarikat yang dikaitkan dengan penderaan terhadap ratusan kanak-kanak di rumah amal kendaliannya membawa fahaman berunsur ajaran sesat dan bercanggah dengan Islam sekali gus melarang aktiviti perniagaannya di negeri tersebut.

Sementara itu, polis mengumumkan ia telah menahan tujuh lagi ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) setelah pasukan keselamatan memperluaskan siasatannya membabitkan serbuan pada minggu lalu dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dari 20 rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat tersebut.

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata jawatankuasa fatwa negeri itu telah berbincang dan menerima bukti yang meyakinkan sebelum memutuskan kepercayaan dalam GISBH berunsur ajaran sesat serta merupakan kesinambungan daripada ajaran kumpulan al-Arqam yang diharamkan oleh kerajaan pada 1994.

“Setelah menerima bukti-bukti berkaitan GISBH yang meyakinkan, pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Keputusan itu menjadikan Perlis sebagai negeri pertama mengeluarkan fatwa berhubung ajaran yang dibawa GISBH, syarikat yang pernah diterajui oleh pengasas kumpulan al-Arqam Ashaari Muhammad sebagai pengerusi konglomerat itu sebelum beliau meninggal dunia pada 2010. 

Mohd Asri berkata pegangan organisasi tersebut mengkultuskan pemimpin mereka atau tokoh-tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan pemimpin atau tokoh agama setaraf Nabi Muhammad atau mempunyai keajaiban seperti mengetahui perkara ghaib seakan Tuhan adalah fahaman yang bersifat batiniah, menyeleweng dan sesat.

Menurut beliau pengkultusan tersebut boleh mandatangkan pelbagai impak seperti melahirkan ketaksuban melampau dalam kalangan pengikut sehingga mentaati arahan pemimpin atau golongan agama secara membuta-tuli sekalipun jelas bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.

Pengkultusan itu juga boleh mengakibatkan wujudnya hukum-hakam syarak yang baharu untuk menjustifikasikan aktiviti mereka yang bercanggah dengan syariat seperti hukum-hakam solat, pernikahan (munahakat) dan juga mualamat (urusan ekonomi), menurut Mohd Asri dalam kenyataan tersebut.

Tambah beliau, penelitian jawatankuasa fatwa juga mendapati aktiviti perniagaan yang diamalkan GISBH bukan model ekonomi Islam yang sebenar.

“Bahkan ia bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terlibat, eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.

“Dengan ini segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISBH adalah dilarang,” katanya lagi.

Tunggu keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan

Mufti Terengganu Mohamad Sabri Harun semasa dihubungi BenarNews berkata buat masa ini tiada fatwa yang dikeluarkan berkaitan GISBH memandangkan tidak ada aduan yang dibuat dan kes membabitkan syarikat itu tidak begitu ketara di negeri tersebut.

Bagaimanapun, kata Mohamad Sabri perkara tersebut akan dibawa ke Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan sebelum diputuskan di peringkat negeri.

“Saya yakin keputusan yang dibuat sama (dengan Perlis) kerana ini isu nasional dan ketua polis negara pun sudah keluarkan kenyataan beserta hasil siasatan, cuma ambil masa sedikit prosedur (sebelum keluarkan fatwa).

“Perkara ini serius, jadi perlu ada kajian dan melalui beberapa prosedur sebelum diputuskan. Bagaimanapun boleh buat secara terus di peringkat negeri sekiranya terdapat aduan dan siasatan yang dijalankan,” kata beliau.

Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang pula akan membuat keputusan berhubung ajaran yang dibawa GISBH dalam mesyuarat yang dijadualkan pada 15 Oktober, namun satu mesyuarat khas akan diadakan dalam tempoh terdekat sekiranya keadaan mendesak, demikian menurut Mufti Pulau Pinang Mohd Sukki Othman.

“Sebelum ini Pulau Pinang telah mengeluarkan fatwa terhadap Rufaqa Corporation iaitu kumpulan yang sama (berasal dari al-Arqam) yang hanya bertukar nama sahaja dan buat masa sekarang kita masih lagi mengikuti perkembangan kumpulan tersebut yang kini telah menjadi isu nasional.

“Di peringkat negeri, pemantauan sentiasa dilakukan untuk memastikan bahawa mana-mana ajaran (sesat) tidak diamal dan disebarkan di Pulau Pinang,” kata beliau dalam kenyataan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar dalam kenyataan pada mingggu lalu berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membawa isu berkaitan GISBH kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memutuskan dalam perkara berkaitan akidah.

Katanya Jakim telah diarahkan untuk membantu pihak polis dalam proses siasatan setelah menahan reman hampir 200 individu yang dikaitkan dengan GISBH sejak minggu lalu.

Tidak mengejutkan

Profesor Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia Ahmad Fauzi Abdul Hamid yang banyak menjalankan kajian akademik mengenai al-Arqam berkata tindakan yang diambil Perlis itu merupakan suatu perkara yang tidak mengejutkan.

"Tiada apa yang mengejutkan, memang Perlis sudah lama menyasarkan GISBH kerana ketegaran kumpulan itu mempertahankan amalan-amalan seperti tawassul dan tabarruk (amalan yang ditentang kumpulan salafi).

"Sebagai langkah propaganda sebelum fatwa dikeluarkan, disiarkan rakaman video-video lama kebanyakannya ketika era Ummu Jah (Hatijah Aam, balu Ashaari Muhammad) sebelum 2013 melalui laman sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS).

"Malah terdapat video-video yang dimuat naik memaparkan individu yang telah lama tidak bersama GISBH atau meninggal dunia," ujarnya kepada BenarNews.

Seorang pengguna Facebook Syafiq at-Tauhidi menjelaskan tentang kewajaran dikeluarkan fatwa baharu meskipun kandungannya sama seperti pengharaman al-Arqam dari sudut undang-undang dan institusi fatwa.

“Hal ini bermasalah dari segi undang-undang dan institusi fatwa kerana secara teknikal al-Arqam sudah bubar, jadi apabila (kumpulan tersebut) diganti (dijenamakan) dengan GISBH, maka perlu ada fatwa baharu untuk GISBH," katanya.

Pengguna Facebook Amal Maarof berkata mufti setiap negeri wajar mengeluarkan fatwa dengan segera dalam kes yang mengelirukan umat Islam seperti isu GISBH sekarang.

"Ia bukan kes berkaitan hukum halal haram tetapi lebih besar iaitu berkaitan akidah umat Islam. Terdapat keperluan mendesak dan ia mesti diutamakan," katanya.

Tujuh lagi ditahan

Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain memaklumkan sebanyak tujuh lagi individu ditahan termasuk seorang lagi anak kepada Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan anak pemimpin al-Arqam, Ashaari Muhammad di empat lokasi berasingan di Temerloh, Pahang; Port Dickson, Negeri Sembilan dan Pengkalan Chepa, Kelantan pada awal pagi Jumaat.

Kesemua individu ditahan dalam operasi bermula pukul 11 malam Khamis sehingga 4.07 pagi Jumaat berusia antara 32 sehingga 35 tahun adalah Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH, menurut Razarudin.

Beliau berkata siasatan polis ke atas pemimpin kanan GISBH dan anak Ashaari yang ditahan dalam Op Global fasa kedua sejak Rabu tertumpu kepada mengesan sekiranya wujud unsur jenayah pemerdagangan manusia ke atas 402 kanak-kanak yang diselamatkan daripada 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan syarikat tersebut pada 11 September lalu.

"Mereka direman tujuh hari bermula hari ini (Jumaat) hingga Khamis depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Pada masa ini selain ATIPSOM, siasatan awal masih dijalankan terhadap kesemua individu yang ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam," katanya kepada BenarNews.

Tangkapan terbaru itu menjadi keseluruhan yang ditahan di bawah Op Global sejak 11 September lalu adalah sejumlah 195 orang termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan isterinya serta empat anak perempuan Ashaari yang ditahan reman pada Khamis.

Pada masa sama, pihak polis turut menyeru mana-mana bekas pengikut GISBH atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai rumah amal kendalian syarikat itu yang melakukan pengabaian, penganiayaan, penderaan dan salah laku seksual digesa tampil memberikan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Bekas pengikut GISBH yang pernah mempunyai pengalaman sama dan ada maklumat berkaitan pengabaian, penganiayaan, penderaan dan salah laku seksual di rumah amal itu diminta tampil membantu siasatan. Kita juga akan berbincang dengan Jakim berkaitan aktiviti GISBH, ” tambah Razarudin.

Sementara itu, GISBH dalam kenyataannya pada Khamis meminta semua pihak menunggu hasil siasatan polis berhubung kes melibatkan syarikat terbabit.

“Sebagai menghormati tugas yang dijalankan oleh pihak berkuasa dan demi keadilan undang-undang, diminta semua pihak menunggu hasil siasat,” jelas kenyataan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.