Peta Pilihan Raya Baru Malaysia Diwartakan

Hata Wahari
2018.03.29
Kuala Lumpur
180329-MY-SPRgazzete1000.jpg Lebih kurang 1,000 orang keluar menunjuk perasaan di hadapan Parlimen Malaysia sebelum usul persempadanan semula diluluskan semalam, 28 Mac, 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Peta pilihan raya yang baru telah diwartakan atas perintah Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa pada Khamis sehari selepas ia diluluskan oleh Dewan Rakyat, demikian menurut  Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa.

Ali, dalam warta kerajaan yang dikeluarkan pada Khamis oleh Jabatan Peguam Negara berkata, Yang di-Pertuan Agong memerintahkan pemetaan semula itu dikenali sebagai Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri-Negeri Tanah Melayu) 2018.

“Perintah ini mula berkuatkuasa pada 29 Mac 2018,” demikian menurut warta kerajaan itu.

Warta itu juga menyebut bahawa syor-syor yang terkandung di dalam laporan Suruhanjaya Pilihan Raya [SPR] bertarikh 6 Mac hendaklah berkuatkuasa dari tarikh perintah tersebut iaitu pada Khamis.

Parlimen Malaysia pada Rabu dengan mudah meluluskan peta pilihan raya yang baru walaupun berdepan dengan bantahan daripada pihak pembangkang dan aktivis yang mendakwa bahawa langkah itu memihak kepada gabungan parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak dalam pilihan raya umum akan datang.

Secara keseluruhannya, seramai 129 Ahli Parlimen mengundi bersetuju dan 80 lagi menolak usul mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan berkuatkuasa sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 yang mesti diadakan pada bulan Ogos.

Pada Isnin depan, ahli parlimen dijangka mengundi Rang Undang-Undang untuk melawan berita palsu sebelum Najib pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat pekenan diRaja untuk membubar parlimen.

Parlimen Malaysia dijangka dibubarkan sebelum hari terakhir penggalnya yang jatuh pada 5 April.

Perintah mahkamah

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis juga telah menetapkan 11 April untuk membuat keputusan berhubung permohonan lebih 10,000 pengundi dari Selangor yang mahu mendapatkan perintah tetap bagi menghalang pembentangan laporan persempadanan semula pilihan raya oleh SPR.

Permohonan semakan kehakiman untuk mencabar laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya SPR itu difailkan minggu lalu oleh penduduk Selangor, termasuk bekas Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah; Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan beberapa ADUN Selangor yang lain.

Manakala rayuan kerajaan Selangor terhadap SPR berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan juga pada Khamis.

Ketiga-tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Ahmadi Asnawi memutuskan kerajaan Selangor mempunyai kedudukan undang-undang untuk memulakan semakan kehakiman.

Bagaimanapun, dalam keputusan sebulat suara yang dibacakan oleh hakim kedua, Vernon Ong berkata isu persempadanan semula, termasuk 'gerrymandering and malapportionment', tidak ada kebolehadilan (not justifiable) kerana kerajaan Selangor boleh membangkitkan persoalan itu semasa siasatan tempatan.

Pada lewat Rabu, para penggubal undang-undang kecoh semasa membahaskan usul itu di Parlimen di hadapan Speaker Pandikar Amin Mulia, yang kemudian bertindak tegas dengan menggantung pemimpin kanan pembangkang, Lim Kit Siang, selama enam bulan kerana berbahas tanpa mengikut giliran.

Semasa membentangkan usul itu, Perdana Menteri Najib Razak memberitahu Dewan Rakyat bahawa persempadanan semula tidak membabitkan sebarang pertambahan bilangan bahagian pilihan raya, sebaliknya, ia hanya membabitkan pindaan nama dan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya.

Beliau berkata, persempadanan semula itu diperlukan kerana peta pilihan raya telah dihasilkan pada 2003, dan berikutan terdapatnya "topografi dan demografi kawasan luar bandar yang berbeza antara satu sama lain."

Najib memberitahu, peta pilihan raya baru itu secara tidak langsung, mewujudkan kekangan-kekangan dari segi jalan perhubungan dan pengangkutan.

Kebanyakan penyokong Barisan Nasional (BN) berada di kawasan luar bandar, terutama kampung-kampung yang diwujudkan bagi mereka yang berpendapatan rendah sebagai sebahagian daripada skim pembangunan berusia berdekad-dekad lamanya yang menyasarkan etnik majoriti Malaysia.

Peta kawasan pilihan raya baru itu nampaknya menarik lebih ramai pengundi ke daerah yang kini dipegang oleh pembangkang.

Sebagai contoh, ia menamakan semula kerusi Petaling Jaya Utara yang disandang pembangkang di negeri Selangor dan memperluaskannya daripada 84,456 pengundi kepada 150,439 pengundi, menjadikannya kawasan pilihan raya terbesar di Semenanjung Malaysia.

Perubahan lain termasuklah penamaan semula 12 kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan  Negeri.

Kaum Melayu dan kaum bumiputera lain merupakan hampir 70 peratus daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 31 juta orang manakala etnik Cina membentuk 23 peratus dan selebihnya adalah etnik India.

Sebahagian besar parti-parti politik di Malaysia adalah berasaskan kaum, termasuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diterajui Najib yang juga pemimpin gabungan parti pemerintah BN.

Najib mungkin menghadapi pertempuran pilihan raya yang paling sukar pada pilihan raya umum ini berikutan skandal rasuah besar-besaran yang melibatkan dana pelaburan milik kerajaan, 1MDB. Barisan pemerintahan BN kehilangan majoriti besar pada 2008 dan menyaksikan undi majoriti mereka semakin mengecil pada 2013.


Fadzil Aziz turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.