Pertemuan Bali: Tiga Negara Muktamadkan Konsep Kawalan Bersama

Tia Asmara & Gunawa
2016.08.01
Jakarta & Balikpapan
160801-my-id-najib-jokowi-620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (kiri) berjabat tangan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo semasa pertemuan di Istana Negara, Jakarta, 1 Ogos, 2016.
AFP

Pertemuan trilateral Menteri Pertahanan antara Malaysia, Filipina dan Indonesia yang akan berlangsung pada Selasa ini, yang akan memuktamadkan konsep kawalan bersama demi keamanan di Laut Sulu, selepas berlakunya beberapa kes penculikan sejak beberapa bulan lepas.

Pengarah Asia Timur dan Pasifik Kementerian Luar Indonesia, Edi Yusup berkata, ketiga-tiga negara telah menandatangani Framework of Arrangement (FOA) di Jakarta pada 14 Julai lepas dan kini dalam proses menyelesaikan prosedur standard operasi (SOP) untuk kawalan bersama di perairan laut sempadan ketiga-tiga negara.

FOA itu membolehkan ketiga-tiga negara mengadakan rondaan maritim bersama, tindak balas kecemasan terutamanya semasa berlakunya kes lanun dan penculikan, perkongsian maklumat risikan dan pelan komunikasi yang boleh segera dilaksanakan.

“Buat masa ini, panduan bagi keempat-empat kerjasama itu belum lagi dibincangkan dengan lebih lanjut dalam bentuk SOP,” kata Edi kepada BeritaBenar di Jakarta pada Isnin.

Beliau menjelaskan walaupun secara bertulis, kawalan bersama itu sudah boleh dijalankan tetapi ia memerlukan perbincangan teknikal seperti tarikh ianya akan bermula, lokasi kawasan dan jumlah kawalan yang akan dibuat.

“Walapun ia akan dilakukan oleh negara masing-masing tetapi hanya menteri pertahanan mempunyai pengetahuan mengenai aspek teknikal, lokasi dan titik kordinatnya. Pertemuan esok akan menentukan semuanya,” jelas beliau.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Bersenjata ketiga-tiga negara telah mengadakan pertemuan trilateral di Jogjakarta, pada 5 Mei lepas, dengan antara lain membincangkan melaksanakan rondaan keselamatan maritim bersama di perairan antara Sulu dan Sulawesi melibatkan kesemua negara terlibat.

Sejak Mac lalu, sekurang-kurangnya lima kes penculikan anak kapal melibatkan rakyat Indonesia dan Malaysia berlaku di sekitar perairan itu yang dilakukan oleh militan Abu Sayyaf.

Puluhan anak kapal telah dijadikan tebusan oleh militan berkenaan walaupun telah dibebaskan selepas dipercayai pembayaran wang tebusan dibuat. Pada masa ini, seramai 10 anak kapal warga Indonesia dengan lima lagi rakyat Malaysia menjadi tebusan Abu Sayyaf.

Kenyataan Jokowi dan Najib

Pentingnya keselamatan perairan Sulu juga menjadi salah satu agenda mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan Presiden Joko "Jokowi" Widodo. Mereka bersetuju untuk mewujudkan kerjasama keselamatan di perairan Sulu dan sekitarnya dalam mengelakkan kes penculikan daripada terus berlaku.

"Indonesia menyampaikan kebimbangannya terhadap kes penculikan dan tebusan di wilayah tersebut sehingga mendorong kerjasama trilateral antara ketiga-tiga negara untuk segera diambil demi keselamatan perairan Sulu dan sekitarnya," kata  Jokowi ketika bertemu dengan Najib di Istana Negara, di Jakarta pada Isnin.

Kenyataan tersebut dipersetujui oleh Najib yang turut mahukan rondaan bersama dilaksanakan segera supaya masalah penculikan di perairan Sulu dapat ditangani.

"Kita sudahpun mempunyai panduan pemerhatian di Selat Melaka bersama Indonesia di mana rondaan koordinasi, kawalan maritim di sekitar perairan itu telah dapat mengurangkan kes pencerobohan di kawasan tersebut. Saya yakin Indonesia, Malaysia Filipina boleh bekerjasama dalam hal ini, " kata Najib yang merujuk kepada Perjanjian Malindo antara Indonesia dan Malaysia mengenai soal keselamatan di Selat Melaka yang telah terjalin sejak kesian lamanya.

Dalam pada itu, Pengarah Perlindungan Bagi Negara Indonesia dan Badan Kehakiman Kementerian Luar Indonesia, Muhammad Iqbal berkata maklumat yang diperolehi menyatakan bahawa keadaan kesemua mangsa cuklik berada dalam keadaan yang baik.

Walaupun ada yang sakit namun secara umum kesemua mereka berada dalam keadaan sihat. Kami mendapat maklumat langsung  mengenai keadaan mereka itu melalui pelbagai pihak di Indonesia dan Filipina, "ujarnya.

Beliau berjanji yang kementerian itu akan memperkukuhkan cara penyampaian maklumat dan komunikasi yang melibatkan pihak kerajaan serta syarikat perkapalan dan keluarga mangsa supaya dapat menyegerakan proses pembebasan tebusan.

"Keselamatan tebusan menjadi keutamaan dengan setiap langkah yang diambil mengambil kira keselamatan (orang) tebusan," katanya.

Tugboat Charles 001 semasa berlabuh di Pelabuhan Semayang Balikpapan, Kalimantan Timur, 25 Jun, 2016. (Gunawan/BeritaBenar)

Jaminan Keselamatan

Sementara itu di Balikpapan, wakil syarikat arang batu di Kalimantan Timur, dimana anak kapal syarikat berkenaan diculik militan Abu Sayyaf,  memberitahu yang mereka masih menunggu mendapatkan jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa Filipina untuk berulang-alik menghantar bekalan ke negara itu kerana tidak mahu kes penculikan berulang lagi.

“Kami masih menunggu mendapatkan maklumat terkini dari pihak berkuasa Filipina, ” kata Humas PT Rusianto Bersaudara, Taufikrahman kepada BeritaBenar.

Tujuh anak kapal dari tugboat Charles 001 milik PT Rusianto Bersaudara masih ditawan kumpulan Abu Sayyaf selepas diculik di perairan Jolo dan Tawi Tawi pada 20 Jun lalu.

Sejak berlakunya kejadian penculikan melibatkan anak kapal syarikat berkenaan, PT Rusianto Bersaudara tidak lagi membuat sebarang penghantaran arang batu ke Filipina.

Bagaimanapun, syarikat PT Kideco Jaya Agung berkata pihaknya terpaksa membuat penghantaran arang batu kira-kira 200 ribu metrik ton setahun melalui jalan air ke Filipina kerana masih terikat dengan perjanjian perniagaan bersama lima syarikat di negara berkenaan.

“Setiap bulan, kami membuat tiga penghantaran arang batu ke Filipina,” kata Siswoko, Pengurus Umum External dan Internal Kideco.

Sara Lubis dari Humas PT Patria Maritim Lines, syarikat yang 10 anak kapalnya pernah diculik oleh militan Abu Sayyaf selama sebulan sebelum di bebaskan pada Mac lepas, berkata mereka bersedia mematuhi segala arahan kerajaan melibatkan penghantaran arang batu ke Filipina.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.