Polis Peru selamatkan rakyat Malaysia diperdagangkan di Amerika Selatan

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata seramai 26 wanita dan 17 lelaki rakyat Malaysia akan dibawa pulang selepas proses siasatan pihak berkuasa Peru tamat.
Muzliza Mustafa & Noah Lee
2023.10.10
Kuala Lumpur
Polis Peru selamatkan rakyat Malaysia diperdagangkan di Amerika Selatan Ketua Polis Negara Razarudin Husain semasa bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, 10 Oktober 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 10 pagi waktu tempatan ETS - 2023-10-11

Pihak berkuasa Peru telah menyelamatkan seramai 43 rakyat Malaysia yang dipercayai telah diperdagangkan ke negara Amerika Selatan itu, untuk untuk diperhambakan dalam sindiket penipuan atas talian, kata Polis Malaysia pada Selasa.

Kementerian Luar Malaysia berkata 43 orang warganegara Malaysia yang ditemui itu adalah antara ratusan yang menjadi mangsa tawaran pekerjaan di Asia Tenggara.

Ketua Polis Malaysia Razarudin Husain berkata kes tersebut adalah yang pertama membabitkan penyeludupan rakyat Malaysia ke negara di Amerika Selatan bagi tujuan menjalankan operasi penipuan.

“Pihak polis dimaklumkan bahawa 43 rakyat Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Peru pada 7 Oktober lalu.

“Kesemua mangsa yang terdiri daripada 26 wanita dan 17 lelaki itu telah keluar dari Malaysia secara sah sebelum tiba di Lima, Peru pada 29 September lepas di mana mereka dijanjikan pekerjaan yang sah, namun ditipu sindiket.

“Ini adalah kejadian pertama membabitkan rakyat Malaysia ditipu untuk bekerja di Peru,” kata Razarudin dalam sidang media di Bukit Aman.

Menurutnya, kesemua mereka akan ditemubual oleh pihak polis apabila selamat kembali ke Malaysia.

“(Ini) supaya kita boleh mengenalpasti individu-individu yang bertanggungjawab merekrut mereka sehingga dibawa ke Peru," kata Razarudin.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Malaysia pada Isnin, 43 mangsa itu dipercayai telah ditipu sindiket 'Macau Scam' - gelaran yang diberikan kumpulan penjenayah yang bergiat aktif menjalankan aktiviti penipuan melalui telefon secara atas talian.

Mangsa-mangsa tersebut ditemui dan diselamatkan pihak berkuasa Peru di sebuah rumah di daerah La Molina di Lima, kata kenyataan Wisma Putra itu lagi.

"Pihak polis Republik Peru telah mengadakan satu serbuan di sebuah rumah di La Molina, Lima di mana kesemua mangsa warganegara Malaysia tersebut telah dikenalpasti dan diselamatkan.

“Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Lima telah melakukan lawatan konsular ke atas semua mangsa dan mendapati mereka berada dalam keadaan baik.

"Kesemua mangsa juga telah menjalani proses siasatan dan akan dihantar pulang ke Malaysia dalam masa terdekat," kata Kedutaan Besar Malaysia di Lima.

Berdasarkan laporan media antarabangsa, kejadian penahanan 43 warga Malaysia oleh sindiket penipuan tersebut terbongkar selepas dua mangsa wanita berjaya melepaskan diri dan menghubungi pihak berkuasa, yang kemudiannya melancarkan operasi untuk menyelamatkan.

Pihak berkuasa Peru turut berjaya menahan enam warga Taiwan dan dua rakyat tempatan negara itu dalam operasi tersebut, selain merampas wang tunai serta beberapa dozen telefon bimbit dan kad bank di rumah berkenaan.

Menurut laporan media La Republica, warga Taiwan ditahan itu merupakan ahli kumpulan kongsi gelap ‘The Red Dragon of Taiwan’ berdasarkan tatu di belakang badan.

Sementara itu, agensi berita AFP pula melaporkan yang sindiket berkenaan mengumpan mangsa melalui jaringan sosial dengan menjanjikan kerja bergaji lumayan di beberapa buah kasino di ibu negara Peru.

Mangsa memberitahu penyiasat bahawa yang mereka dibawa ke Amsterdam terlebih dahulu sebelum tiba di Peru, dengan kesemua dokumen pengenalan diri mangsa dirampas serta dihalang berhubung dengan ahli keluarga.

Rambang mata

Sementara itu, pakar kriminologi Akhbar Satar berkata ramai yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan dipercayai tidak membuat semakan rapi mengenai tawaran kerja diterima kerana dikaburi perasaan mahukan gaji lumayan dengan segera.

Menurut beliau, masyarakat perlu lebih berhati-hati dengan tawaran pekerjaan di luar negara terutama sekali jika ia kelihatan terlalu indah untuk menjadi kenyataan.

"Saya rasa sudah begitu banyak amaran dikeluarkan oleh pihak berkuasa mengenai penipuan tawaran kerja. Tetapi masih ramai yang tidak mengendahkannya.

"Mereka yang sedang mencari pekerjaan perlu lebih berhati-hati, terutama jika tawaran yang diberikan itu terlalu lumayan dan tidak munasabah.

“Cuba fikir, di luar negara pun ramai warga asing yang tidak ada pekerjaan, bagaimana pula mereka boleh menawarkan kerja dengan gaji mahal kepada kita secara mudah," kata beliau kepada BenarNews.

Tambah Akhbar, mereka yang menerima tawaran kerja luar negara harus membuat semakan dengan teliti, termasuk latar belakang syarikat yang menawarkan pekerjaan itu.

Katanya lagi, pencari kerja boleh membuat semakan di atas talian ke atas alamat emel atau nombor telefon serta laman web mereka yang menawarkan pekerjaan itu untuk melihat sama ada terdapat kes penipuan membabitkan mereka.

"Jangan tamak dan lakukan semakan latar belakang dengan teliti. Antara cara paling asas adalah dengan menyemak alamat emel atau nombor telefon mereka yang menawarkan pekerjaan kerana ada mangsa yang pernah ditipu sebelum ini akan memberikan amaran kepada yang lain," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.