Junta Myanmar Dakwa Rusia Sertai Industri Minyak Dan Gas Negaranya

Staf Radio Free Asia & BenarNews
2022.05.06
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Junta Myanmar Dakwa Rusia Sertai Industri Minyak Dan Gas Negaranya Wat Arun (kiri) dan Istana Besar (kanan) boleh dilihat dari Hotel Baiyoke Sky, Bangkok, 29 April 2020. Seorang penganalisis berkata “gas Myanmar menerangi” ibu negara Thailand itu.
[AFP]

Rusia bakal menyertai industri minyak dan gas Myanmar bagi menggantikan beberapa syarikat antarabangsa yang telah meninggalkan industri itu, kata junta Myanmar dalam reaksinya terhadap tindakan tiga syarikat besar Asia menarik diri dari medan gas negara yang dilanda rampasan kuasa itu.

Sejak 29 April, syarikat minyak milik kerajaan Malaysia dan Thailand serta konglomerat tenaga Jepun telah menarik diri daripada projek di medan gas Yetagun di Myanmar, dengan ketiga-tiganya memberi alasan komersial bagi tindakan sedemikian.

ENEOS Jepun juga menyatakan bahawa "keadaan semasa Myanmar termasuk isu sosial" sebagai satu daripada sebab ia menarik diri, yang merujuk kepada tindakan melampau pihak tentera terhadap hak asasi manusia di mana hampir 1,800 orang awam terbunuh sejak rampasan kuasa berlaku pada 1 Februari 2020 di negara itu.

Syarikat-syarikat itu menarik diri bukan kerana ketidakstabilan politik sebaliknya kerana manfaat ekonomi yang semakin merosot daripada projek Yetagun, kata jurucakap tentera Myanmar kepada Radio Free Asia.

“Sekutu dan organisasi sahabat sedang bekerjasama dengan kami dalam sektor elektrik dan tenaga. Anda bakal melihat kerjasama Rusia dalam masa terdekat ini. Kami akan mengembangkan operasi minyak dan gas kami dengan secepat mungkin,” kata Mej Jen Zaw Min Tun pada Khamis.

Seorang penganalisis politik berkata ia tidak mengejutkan sekiranya Rusia menyertai industri minyak dan gas Myanmar.

“Apabila negara demokrasi memutuskan hubungan atau mengenakan sekatan terhadap junta tentera, negara yang tidak menghargai standard atau peraturan kemanusiaan akan melangkah masuk demi kepentingan mereka sendiri. Inilah yang berlaku di banyak negara,” kata penganalisis Sai Kyi Zin Soe kepada RFA, syarikat induk BenarNews.

"Insiden serupa pernah berlaku dalam sejarah Myanmar."

Seorang ahli ekonomi, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata Myanmar tidak mungkin dapat mencari pengganti bagi syarikat yang telah meninggalkan sektor tenaganya, dengan secepat mungkin.

"Rusia adalah negara yang amat berkuasa dalam dunia minyak," kata pakar ekonomi itu.

“Kerjasama boleh dilakukan dengan mereka [Rusia] tetapi untuk menjadi pengganti secara tiba-tiba bukanlah mudah. Ia tidak mungkin berlaku serta-merta."

220506-MY-Inside.jpg

Logo Petronas dipaparkan di Ibupejabat syarikat itu di Kuala Lumpur, 27 April 2022. [Reuters]

Keluaran menurun

Walaupun benar ENEOS, Petronas Malaysia dan PTTEP Thailand menarik diri dari projek medan gas di Myanmar baru-baru ini adalah berikutan pelaksanaan langkah komersial, dan bukannya bertujuan untuk menekan junta Myanmar yang melakukan penindasan, kata penganalisis.

Selain itu, kata seorang pemerhati Asia Tenggara, tindakan syarikat negara-negara ASEAN menarik diri, walaupun daripada projek yang tidak menguntungkan, masih memberi tamparan besar kepada pihak junta itu, yang telah membingungkan badan serantau itu apabila ia memungkiri janjinya untuk melaksanakan konsensus bagi membawa negara itu kembali ke landasan demokrasi.

Ketiga-tiga syarikat itu menarik diri daripada projek di Yetagun kerana pengeluaran gas di medan berkenaan telah merosot dengan ketara, kata Readul Islam, seorang penganalisis penyelidikan tenaga yang berpejabat di Singapura, kepada BenarNews.

“Projek Yetagun menghasilkan kira-kira 3 peratus daripada keluaran gas Myanmar pada 2020, yang menyaksikan penyusutan ketara berbanding pengeluaran sebanyak 6 peratus pada 2019,” kata Readul, yang merupakan penganalisis di Rystad Energy iaitu syarikat penyelidikan tenaga bebas, mengenai medan itu di mana pakar menyatakan bahawa pengeluaran telah merosot sejak 2013.

Oleh itu, walaupun politik sudah pasti tidak membantu, tindakan menarik diri daripada Yetagun nampaknya adalah keputusan ekonomi sebenarnya,” kata Readul.

BenarNews tidak dapat menghubungi ketua eksekutif PTTEP untuk mendapatkan komen manakala pegawai di Petronas tidak membalas panggilan telefon atau e-mel.

Aktivis hak asasi manusia dan sivil telah mendesak syarikat, terutamanya syarikat minyak dan gas, untuk henti operasi selepas berlakunya rampasan kuasa di Myanmar.

Sejak pihak tentera mengambil alih kerajaan, sebilangan besar syarikat termasuk syarikat minyak telah meninggalkan Myanmar, dengan menyatakan bahawa rampasan kuasa atau penindasan yang berterusan serta sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas rejim berkenaan telah menyukarkan pelaksanaan perniagaan di negara itu.

Antara firma antarabangsa yang telah meninggalkan Myanmar ialah British American Tobacco, Chevron, Coca-Cola, Posco, Telenor, TotalEnergy dan Woodside Petroleum.

Faktor ASEAN

Langkah Petronas dan PTTEP menarik diri daripada projek Yetagun haruslah dilihat dalam konteks tersebut, kata penganalisis Asia Tenggara Zach Abuza.

Beliau bersetuju bahawa Petronas dan PTTEP mungkin terpaksa meninggalkan medan yang tidak lagi menguntungkan, dan beliau juga percaya bahawa bagi pihak Petronas Malaysia, terdapat lebih banyak alasan selain daripada ekonomi di sebalik keputusan itu.

“Pendapat saya berhubung perkara ini ialah rakyat Malaysia kecewa dan mahu memberi tekanan kepada SAC,” kata Abuza, yang merupakan profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan adjung di Universiti Georgetown, semasa merujuk kepada Majlis Pentadbiran Negara, nama yang digunakan pihak junta Myanmar.

Ia berbeza pula untuk PTTEP Thailand, yang pada hakikatnya, telah mengumumkan bahawa mereka mengambil alih pegangan yang dilepaskan oleh Chevron dan TotalEnergy di satu lagi medan gas Myanmar iaitu Yadana, menurut Abuza.

Namun, “ia ternyata merugikan SAC. Ia tidak kelihatan bagus apabila punca kewangan utama, MOGE (Kementerian Perusahaan Minyak dan Gas) kehilangan pelabur utama walaupun medan [minyak] tidak menguntungkan. Dari sudut pandang, ia kelihatan teruk.”

Apa yang memburukkan lagi keadaan Myanmar, yang merupakan anggota badan serantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, ialah firma-firma milik kerajaan dari negara-negara anggota lain yang menarik diri daripada projek di negaranya, kata Abuza.

”[Syarikat Malaysia dan Thailand] ini adalah rakan kongsi ASEAN. Bagi junta, ia mungkin bukan kejutan besar apabila syarikat minyak negara barat menarik diri tetapi apabila rakan kongsi ASEAN berbuat demikian, ia sememangnya menyakitkan,” tambahnya lagi.

"Simbolisme penting bagi rejim yang mahukan pengiktirafan antarabangsa."

Sementara itu, kumpulan aktivis Justice for Myanmar memberitahu BenarNews bahawa tindakan menarik diri daripada projek gas Yetagun adalah hasil daripada "tekanan berterusan daripada rakyat Myanmar dan aktivis di seluruh dunia."

Menurut kumpulan itu berkata, lebih banyak tekanan diperlukan untuk menghentikan semua pembayaran minyak kepada pihak junta supaya ia tidak boleh menggunakan dana tersebut untuk membeli senjata dan peluru yang digunakannya untuk menembak mati orang awam dalam tindakan kerasnya di seluruh negara terhadap sesiapa yang menentang pemerintahan mereka yang tidak demokratik dan kejam.

“PTTEP mestilah bertindak lebih jauh dan menggantung pembayaran kepada junta tentera Myanmar bagi projek Yadana dan Zawtika, atau menarik diri,” kata Yadanar Maung, jurucakap Justice For Myanmar, kepada BenarNews melalui e-mel.

“Projek-projek ini membiayai junta tentera Myanmar, sebuah organisasi pengganas, dan penglibatan berterusan PTTEP akan membantu dan bersubahat dengan… jenayah junta. …Kami menyeru kerajaan Thailand supaya mengubah haluan dan menghentikan perniagaan dengan pihak junta.”

Perkhidmatan berita Myanmar Radio Free Asia, Sailaja Neelakantan di Washington, Subel Rai Bhandari dan Nontarat Phaicharoen di Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh