PENJELASAN: Apa yang dipertaruh ketika Sarawak ambil alih kawalan sumber minyak, gas

Walaupun Petros akan mempunyai kuasa di Sarawak, syarikat minyak negara Petronas akan mengekalkan "kuasa nasional."
Iman Muttaqin Yusof
2025.01.16
Kuala Lumpur
PENJELASAN: Apa yang dipertaruh ketika Sarawak ambil alih kawalan sumber minyak, gas Jerebu menyelubungi bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching, ibu kota Sarawak, Malaysia, 9 Sept. 2019.
[Abdul Hakim/AFP]

Sarawak yang kaya dengan hasil minyak akan muncul sebagai negeri pertama memperoleh kawalan penuh terhadap sumber minyak dan gasnya melibatkan perjanjian berusia enam dekad ketika ia bersetuju menyertai pembentukan Malaysia.

Tahun lepas, negeri di Pulau Borneo itu melantik Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai pengumpul gas tunggal untuk mengawasi perolehan, pembekalan, pengedaran, dan penjualan gas asli dalam sempadannya.

Pada awal September, Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, usaha itu bukan sekadar soal ekonomi tetapi juga tentang kedaulatan dan identiti.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berusaha memenuhi janji pilihan rayanya pada 2022 untuk menangani isu-isu tertangguh dengan negeri-negeri Borneo.

Ini memandangkan kejayaannya membentuk kerajaan pada tahun itu banyak bergantung pada sokongan ahli parlimen di Sabah dan Sarawak.

Anwar mendapat sokongan daripada 148 ahli parlimen termasuk 57 dari negeri-negeri di Borneo dengan majoriti dua pertiga daripada 222 kerusi parlimen sekali gus membolehkan beliau dilantik sebagai perdana menteri. 

Namun, pertaruhan kini tinggi bagi syarikat minyak nasional Malaysia, Petronas yang merupakan penyumbang utama kepada hasil Persekutuan dan bagi sektor tenaga Sarawak, ia memegang lebih 60 peratus daripada rizab gas negara.

Berikut adalah butiran apa yang diketahui tentang langkah Sarawak mengambil alih kawalan sumber minyak dan gasnya:

Apakah perinciannya?

Perbincangan mengenai pengagihan gas di Sarawak antara Petronas dan Petros telah selesai, kata pegawai.

Bagaimanapun, kerajaan mengatakan ia masih sedang memuktamadkan “butiran utama, parameter dan implikasi undang-undang” perjanjian tersebut.

Pada masa ini, pengaturan itu membolehkan Petros mengawal pengagregatan dan pengedaran gas domestik di Sabah.

Walaupun dipersetujui secara prinsip, Anwar pada bulan lalu berkata, butiran tersebut masih belum didedahkan secara terbuka.

Adakah peranan nasional Petronas akan berkurangan?

Tidak menurut Anwar, yang menyatakan bahawa “Petronas akan mengekalkan kuasa nasionalnya ke atas minyak dan gas walaupun Petros mengambil alih kawalan pengedaran bahan api itu di Sarawak.”

Kerajaan Sarawak juga bersetuju untuk tidak campur tangan terhadap peranan Petronas di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, kata Anwar kepada wartawan pada Selasa.

Beliau berkata sebarang projek berkaitan gas di Sarawak, terutamanya yang memerlukan pembiayaan besar perlu melibatkan Petronas.

MY-petronas2.jpg

Seorang pemandu mengepam minyak di sebuah stesen minyak di Kuala Lumpur, 10 Jun 2024. [Vincent Thian/AP]

Kemerosotan hasil Petronas

Kawalan Sarawak terhadap hak pengedaran gas kemungkinan akan menjejaskan pertumbuhan Petronas, kata Ahmad Mohsein Azman, penganalisis di BowerGroupAsia.

“Perjanjian ini akan mengganggu pendapatan hasil tahunan yang diperoleh Petronas setiap tahun,” katanya sambil menambah bahawa Petronas “mungkin akan memperluaskan operasi luar negaranya” untuk mengatasi kerugian.

Tekanan fiskal

Ekonomis Doris Liew pula memberi amaran bahawa penyusunan semula sumber minyak itu akan memberi tekanan terhadap aliran hasil pendapatan kerajaan.

“Strategi penyatuan fiskal kerajaan Malaysia mungkin terancam ekoran hasil petroleum yang semakin berkurangan apabila berdepan dengan perbelanjaan operasi yang meningkat,” kata Liew dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi.

Pada 2024, Petronas dijangka menyumbang dividen tahunan sebanyak RM32 bilion (AS$7.11 bilion), menurut penganalisis tanpa mengulas lanjut tentang jangkaan bagi tahun ini.

Keuntungan ekonomi Sarawak

Berbeza pula dengan James Chin, profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania yang menganggarkan Sarawak mampu mendapat tambahan RM10 bilion hingga RM20 bilion (AS$2.22 hingga AS$4.44 bilion) setiap tahun daripada langkah itu.

Dana ini berkemungkinan besar akan digunakan untuk “projek infrastruktur, dana kekayaan negara, dan perniagaan yang diuruskan oleh kerajaan negeri,” katanya.

“Sarawak bergerak ke arah yang betul, tetapi perkembangan ini akan mengambil masa untuk terwujud.

‘Pengagihan semula’

Pertumbuhan Sarawak boleh memberi manfaat kepada Malaysia melalui limpahan infrastruktur dan pengurangan perbelanjaan Persekutuan di negeri itu, kata Geoffrey Williams, perunding ekonomi dan perniagaan Williams Business Consultancy.

“Ini adalah pengagihan semula, bukan kerugian,” kata beliau kepada BenarNews.

“Dengan memanfaatkan hasil minyak untuk pembangunan, terdapat lebih banyak ruang bagi mengurangkan pinjaman pembangunan".

Campur tangan kerajaan

Hasil petroleum telah menurun 40 peratus daripada pendapatan Persekutuan pada 2009 dan ia dijangka berkurang lagi kepada 20 peratus pada 2024, kata pakar ekonomi Calvin Cheng.

MY-petronas3.jpg

Pekerja membersihkan logo Petronas di sebuah stesen minyak di Pahang, 29 Mac 2024. [Mohd Rasfan/AFP]

Walaupun bahagian pendapatan yang terjejas mungkin minimum, rasionalisasi subsidi bahan api yang sebelum ini diberikan secara pukul bagi memastikan harga bahan bakar yang rendah boleh membantu mengimbangi kekurangan tersebut.

Penyasaran subsidi itu yang berpotensi meningkatkan sekurang-kurangnya RM20 bilion (AS$4.44 bilion) pendapatan kerajaan pada tahun ini, hujah Cheng, seorang felo dalam program ekonomi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

Potensi berlaku kesan rantaian

Kelantan dan Terengganu, dua negeri di pantai timur di Semenanjung Malaysia sedang memantau dengan rapat langkah Sarawak, kata Tricia Yeoh, seorang profesor madya pengajian politik dan hubungan antarabangsa Universiti Nottingham Malaysia.

Yeoh menyatakan bahawa kedua-dua negeri itu bagaimanapun kekurangan pengaruh.

“Mereka tidak mempunyai MA63 untuk menyokong mereka,” katanya merujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963 yang memberikan hak perlembagaan unik kepada Sarawak dan Sabah.

Perhitungan politik

Ramai pemerhati melihat konsesi Anwar kepada Sarawak sebagai didorong oleh kepentingan politik.

“Sabah dan Sarawak menyumbang peruntukan kerusi Parlimen yang sangat besar,” kata Yeoh, namun hakikatnya rundingan ini bertujuan untuk “mengekalkan perpaduan dalam kerajaan Persekutuan”.

MY-petronas4.jpg

Peserta perarakan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia mengibarkan bendera Jalur Gemilang pada sesi raptai di Putrajaya, 29 Ogos 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Selepas Pilihan Raya Umum 2022, Anwar membentuk gabungan dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan parti-parti negeri Borneo.

Beliau melantik Ahmad Zahid Hamidi dari UMNO dan Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai timbalannya, dengan memberikan tanggungjawab kepada Fadillah untuk menguruskan hal-hal berkaitan MA63.

Perpaduan nasional dalam risiko?

Yeoh memberi amaran bahawa tuntutan-tuntutan kecil secara berasingan daripada negeri-negeri tertentu boleh menjejaskan pembangunan jangka panjang Malaysia.

“Perbincangan yang strategik dan kolektif amat penting,” katanya.

“Pendekatan semasa kelihatan reaktif dan kurang perancangan teliti yang diperlukan untuk strategi nasional yang padu”.

Bagi negeri jiran Sarawak iaitu Sabah, penganalisis Ahmad Mohsein berkata negeri itu mungkin mengambil pendekatan “tunggu dan lihat,” terutamanya dengan tempoh kerajaan negeri yang akan berakhir pada September.

“Dengan hanya beberapa bulan lagi sebelum pilihan raya negeri, perkara ini mungkin ditangguhkan ke penggal seterusnya menjadi sebahagian daripada manifesto pilihan raya,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.