Tentera Filipina Berusaha “sedaya upaya” Bebaskan Tawanan Abu Sayyaf
2019.02.21
Zamboanga, Filipina
Tentera Filipina berikrar pada Khamis untuk menyelamatkan semua tawanan yang kini dalam tahanan militan Abu Sayyaf manakala para pegawai Indonesia dan Malaysia berkata merekaa kini bekerjasama dengan rakan sejawatan di Filipina untuk membebaskan kelasi dari negara masing-masing yang telah diculik di laut berhampiran selatan Filipina pada Disember.
Kolonel Gerry Besana, jurucakap bagi Pusat Pemerintah Mindanao Barat di selatan bandar Zamboanga, menyifatkan dakwaan Kumpulan Abu Sayyaf bahawa tiga tawanan yang diculik dua bulan lepas telah dibawa ke Pulau Jolo sebagai satu propaganda, lokasi yang merupakan sebahagian daripada rangkaiannya di Filipina dan terletak di timur negeri Sabah, Malaysia.
“Di pihak kami, kami tidak akan berunding dengan pengganas terbabit. Kami dengan tegas mematuhi dasar tiada wang tebusan kerajaan,” kata Besana, sambil berikrar bahawa satu operasi “berterusan” akan dilakukan. “Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan tebusan.”
Sebuah video yang disiarkan di media sosial minggu lepas oleh Abu Sayyaf menunjukkan dua tebusan rakyat Indonesia melutut di depan penculik mereka. Penjahat dilihat mengugut untuk memenggal kepala tebusan terbabit.
Para pegawai risikan tentera Filipina memaklumkan BeritaBenar bahawa mereka percaya ketiga-tiga tebusan telah dibawa ke sebuah lokasi di selatan, namun enggan menyatakannya secara khusus.
Mangsa yang ditunjukkan dalam rakaman visual itu telah dikenal pasti sebagai rakyat Indonesia iaitu Heri Ardiansyah, 19, dan Hariadin, 45, manakala tebusan ketiga yang dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia iaitu Jari Abdulla, 24, tidak ditunjukkan dalam video itu, menurut sumber risikan tentera Filipina.
Fitri Amelia, saudara salah seorang tebusan Indonesia itu berkata dia telah melihat video tersebut di Facebook. Bahan visual itu menunjukkan bapa saudaranya, Hariadin, dan rakan beliau, Heri Ardiansyah, ditutup mata dengan tangan mereka terikat manakala seorang lelaki memegang sebilah parang seolah-oleh bersedia untuk mengelar leher Hariadin, katanya.
“Saya mengenali suara dan tatu di badannya,” kata Fitri kepada BeritaBenar pada Khamis, merujuk kepada bapa saudaranya.
Tidak jelas di mana atau bila rakaman visual itu diambil, hanya lelaki bersenjata terbabit telah mengaku diri mereka sebagai anggota Kumpulan Abu Sayyaf.
“Saya telah ditawan oleh Abu Sayyaf dari Filipina di Laut Sandakan. Saya merayu untuk perhatian kerajaan Indonesia terutama Presiden,” Hariadin, 46, didengar sebagai berkata dalam video itu.
Fitri berkata keluarga Hariadin telah dimaklumkan oleh seorang wakil Kementerian Luar yang menziarahi isterinya bahawa para penculik meminta wang tebusan sebanyak 10 bilion rupiah (AS$710,000).
“Kami tidak punya wang sebanyak itu. Kami adalah keluarga petani dan kami tiada apa-apa,” kata Fitri. Kedua-dua tebusan rakyat Indonesia itu berasal dari Pulau Sulawesi.
Ketiga-tiga mangsa pada mulanya dilaporkan hilang pada 6 Dis di kawasan Terumbu Pegasus di timur perairan Sabah, selepas bot mereka ditemui dengan enjinnya masih hidup. Siasatan kemudian menunjukkan bahawa ketiga-tiga mangsa telah diculik oleh sekumpulan tujuh lelaki yang didakwa memecut ke arah Sulu, kata sumber.
Kumpulan Abu Sayyaf dipercayai masih menawan lapan tebusan lain termasuk seorang rakyat Belanda, seorang rakyat Vietnam, seorang rakyat Malaysia, 2 rakyat Indonesia dan tiga rakyat Filipina di Jolo.
Dalam perkembangan berkaitan, satu serangan tentera berterusan yang menyasarkan kedudukan Abu Sayyaf di kawasan hutan Patikul di Pulau Jolo menyebabkan dua lelaki bersenjata maut manakala dua lagi cedera pada Khamis, kata para pegawai Filipina. Minggu lepas, seorang tentera dan empat anggota militan maut dalam satu pertempuran sengit berhampiran kawasan itu.
Besana berkata operasi berterusan itu adalah bertujuan menyelamatkan semua tebusan beberapa minggu selepas militan asing yang bekerjasama dengan Abu Sayyaf didakwa telah melancarkan serangan bom yang meragut 23 nyawa di sebuah gereja di pekan Jolo.
‘Kami tidak akan membiarkan mereka’
Di Jakarta, kerajaan Indonesia mengesahkan bahawa kedua-dua kelasi Indonesia dan pelaut Malaysia itu telah diculik dari bot nelayan mereka yang bergerak di perairan Sabah pada awal Disember.
“Kami terus berkomunikasi dengan keluarga mangsa dan menyelaras dengan pihak di Malaysia serta Filipina dalam usaha kami untuk membebaskan warganegara Indonesia itu,” kata jurucakap Kementerian Luar Indonesia Arrmanatha Nasir kepada pemberita.
Para pegawai Indonesia mengesahkan insiden penculikan maritim pada bulan Disember itu selepas laporan berita tersebar mengenai video baharu yang disiarkan di media sosial oleh Abu Sayyaf.
“Video itu bukan yang pertama. Penculik sering menyiarkan video seperti itu untuk memberi tekanan kepada keluarga tebusan,” kata Arrmanatha.
Penculikan ketiga-tiga lelaki berlaku meskipun Filipina, Malaysia dan Indonesia telah melancarkan rondaan laut dan udara tiga pihak mulai 2016, untuk memerangi kegiatan pelanunan dan penculikan maritim di kawasan perairan bersama mereka.
Di Sabah, Konsul Jeneral Indonesia Krishna Djaelani mengesahkan bahawa para penculik telah menuntut sekurang-kurangnya 10 bilion rupiah sebagai wang tebusan, tetapi beliau berkata masih tidak jelas sama ada jumlah itu adalah bagi kedua-dua rakyat Indonesia atau setiap seorang.
“Kami sering berhubung dengan keluarga mangsa untuk menjaga kebajikan mereka. Kami tidak akan membiarkan mereka,” kata Krishna kepada BeritaBenar.
“Kerajaan Indonesia telah bekerjasama dengan rakan sejawatnya dari Filipina untuk menyelamatkan rakyatnya,” katanya.
Omar Mammah, pesuruhjaya polis Sabah berkata dasar Malaysia ialah “tidak akan berkomunikasi atau membuat perjanjian dengan penculik.”
“Namun kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina untuk menyelamatkan tebusan,”kata Omar kepada BeritaBenar sambil menambah beliau tidak boleh mendedahkan sebarang butiran.
Pertempuran sengit
Sementara itu pada Khamis di selatan Filipina, anggota unit Tugas Khas telah diserang sekumpulan militan Abu Sayyaf sebelum tengah hari, yang mencetuskan pertempuran sengit dan menyebabkan kematian serta kecederaan di pihak pemberontak, kata Panglima Tentera Darat tempatan Brigidier Jeneral Divino Rey Pabayo.
“Tentera kini membersihkan kawasan pertempuran dan akan memburu musuh yang melarikan diri,” kata Pabayo sambil menambah bahawa mereka telah melepaskan tembakan meriam ke atas kedudukan Abu Sayyaf di perkampungan Tanun.
Kira-kira 10,000 anggota tentera terlibat dalam usaha memburu Abu Sayyaf, yang dipercayai berjumlah kurang 500 orang. Usaha memburu kumpulan bersenjata itu bagaimanapun bukanlah sesuatu yang mudah, kerana Abu Sayyaf mendapat sokongan penduduk kampung dan mahir dengan kawasan hutan. Pertempuran pada awal bulan ini telah mengorbankan lima anggota tentera manakala 18 lagi cedera.
Diasaskan pada awal 1990-an, Abu Sayyaf terkenal dengan aktiviti penculikan, pengeboman dan pemenggalan kepala yang dijalankan di selataan Filipina sejak dua dekad lepas. Kumpulan itu telah disenarai hitam oleh Amerika Syarikat sebagai pertubuhan pengganas asing.
Rina Chadijah di Jakarta dan Zam Yusa di Kota Kinabalu, Malaysia turut menyumbang kepada laporan ini bersama-sama Jeoffrey Maitem serta Ben Hajan di Cotabato dan Zamboanga, Filipina.