PH, BN, parti sekutu jalin kerjasama hadapi Pilihan Raya Negeri

Perdana Menteri berkata kekuatan dimiliki setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah kelebihan bagi mereka berdepan PRN.
Noah Lee & Haizal Yatiran
2023.02.08
Kuala Lumpur
PH, BN, parti sekutu jalin kerjasama hadapi Pilihan Raya Negeri Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, 7 Februari, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Buat pertama kali dalam sejarah, Pakatan Harapan dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju untuk bekerjasama dengan bekas musuh tradisi mereka Barisan Nasional menghadapi enam pilihan raya negeri yang akan diadakan tahun ini.

Kedua-dua gabungan yang kini rakan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar bagi peringkat pusat telah memutuskan untuk turut menjalinkan kerjasama di peringkat negeri.

Selaku Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar pada Selasa berkata keputusan kerjasama dengan gabungan Barisan Nasional yang terdiri daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), MCA dan MIC, serta parti-parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan adalah bertepatan kerana kelebihan yang dimiliki oleh parti-parti itu.

"Kalau lihat dari segi dokongan, kita merupakan satu-satunya gabungan yang mewakili semua kaum, semua daerah di negara kita. Semua suku kaum di negara kita dan ini yang memberikan kelebihan kepada kita tetapi kita akan lakukan untuk memperkuat tekad kita untuk bekerja sebagai satu pasukan yang padu dan mantap dan ini telah kita sepakati malam ini," kata Anwar kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur pada Selasa malam.

Ia adalah mesyuarat pertama dihadiri Anwar di ibu pejabat UMNO itu sejak beliau dipecat dari parti berkenaan pada 3 September 1998. Pada waktu itu, beliau merupakan timbalan presiden UMNO dan juga timbalan perdana menteri Malaysia. Susulan daripada pemecatan tersebut, Anwar telah menubuhkan parti baru yang kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi melawan UMNO.

Menurut perdana menteri itu, mesyuarat yang dihadiri wakil-wakil parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan telah diberikan pembentangan oleh dua orang pakar data sains mengenai analisis pilihan raya secara menyeluruh, termasuk kekuatan dimiliki kesemua parti terlibat apabila mereka bergabung kekuatan.

"Memang bila digabungkan kekuatan Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan lain-lain parti yang menyokong, bilangan sokongan sudah mencecah lebih dua pertiga jumlah pengundi yang menyokong dalam pilihan raya yang lalu.

"Kerusi parlimen (yang dimenangi semua parti gabungan kerajaan) memang setakat ini mencatat 148, yang juga adalah dua pertiga," tambah Anwar.

Pertembungan dua penjuru

Dengan keputusan yang dibuat pada Selasa itu, pilihan raya yang akan diadakan di negeri Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang tidak lama lagi dijangka akan menyaksikan PH dan BN serta parti-parti sekutu mereka, bertembung dengan musuh utama dari pembangkang iaitu gabungan Perikatan Nasional, terdiri daripada Bersatu, Parti Islam Se-Malaysia, atau PAS dan Gerakan.

Tiga daripada negeri berkenaan iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kini berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan, manakala tiga lagi adalah di bawah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional.

Menurut Lau Zhe Wei, penganalisa politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, sokongan parti-parti gabungan dalam kerajaan itu untuk sama-sama menghadapi pilihan raya di enam negeri pada kali ini adalah satu keputusan yang tepat.

"Keputusan untuk bersama semasa pilihan raya negeri kali ini bukan hanya kerana keyakinan mereka terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim tetapi merupakan langkah yang terbaik bagi semua dalam mengukuhkan Kerajaan Perpaduan," kata beliau kepada BenarNews.

Tambah Lau, kesediaan Pakatan untuk bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional yang merupakan musuh tradisi mereka selama ini dipercayai adalah kerana penyokong Pakatan terutama dari kaum Cina tidak mahu melihat PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan. Oleh itu, mereka lebih sanggup mengundi UMNO daripada melihat Perikatan Nasional menang.

"Secara ringkasnya, kenapa PH sanggup berkerjasama dengan UMNO? Kerana penyokong PH dari komuniti Cina yang dulunya menolak UMNO, akan menerima UMNO kerana mereka lebih selesa memberi undi kepada UMNO selagi kedua pakatan itu boleh bekerjasama daripada memberikan undi kepada Perikatan Nasional. Ini kerana PAS merupakan sebahagian daripada PN dan penyokong PH kerana tidak mahu PAS menjadi kerajaan," kata penganalisis itu.

Sivamurugan Pandian, pensyarah sosiologi politik di Universiti Sains Malaysia, berkata parti-parti dalam kerajaan perpaduan dijangka tidak akan menghadapi masalah untuk menghadapi pilihan raya negeri sekiranya mereka mampu berkompromi dalam pembahagian kerusi.

"Bagaimanapun, saya melihat untuk kerajaan gabungan ini memenangi tiga negeri di Kedah, Terengganu dan Kelantan adalah agak mustahil, berbanding Selangor dan Negeri Sembilan," kata beliau.

Menyentuh mengenai kesediaan PH dan BN untuk bekerjasama, Sivamurugan berkata ia adalah perkara biasa di dalam politik, di mana tidak ada musuh atau kawan selain kepentingan.

"Bila masing-masing menunjukkan sokongan, saya percaya mereka bersedia untuk berada di bawah satu pasukan yang diketuai oleh Anwar Ibrahim."

Seorang lagi penganalisis Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia memberitahu BenarNews bahawa langkah membentuk kerjasama tersebut menggambarkan kemampuan Anwar untuk memimpin kerjasama politik dan pakatan pilihan raya.

"Saya melihat ini suatu keterbukaan dalam berpolitik. Ia juga menggambarkan kerjasama yang semakin erat antara parti yang membentuk kerajaan perpaduan.

"Kehadiran Anwar dan pemimpin dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) ke bangunan UMNO juga menggambarkan amalan konsep politik sederhana yang sangat dituntut kepada semua parti politik," kata Izani.

Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar terbentuk setelah Pilihan Raya Umum ke-15 yang berlangsung pada November tahun lalu gagal menghasilkan pemenang yang jelas berikutan jumlah kerusi yang dimenangi oleh sesuatu parti dan gabungan tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Oleh itu diatas titah saranan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, PH berjaya mengumpulkan sokongan melebihi dua pertiga setelah menyakinkan UMNO, rakan sekutu di Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Anwar Ibrahim seterusnya diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 dalam satu adat istiadat di Istana Negara pada 24 November, 2022.

Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.