Pembangkang Hanya Namakan Calon Perdana Menteri, Ahad Ini

Hata Wahari
2018.01.04
Kuala Lumpur
180104-my-pakatanharapan620.jpg Barisan pemimpin gabungan pembangkang Pakatan Harapan ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden gabungan itu pada Khamis, di Petaling Jaya, Selangor, 4 Januari, 2017. (Ihsan Pakatan Harapan)
Photo: Benar

Gabungan parti pembangkang Malaysia, Pakatan Harapan (PH) hanya akan mengumumkan mengenai siapakah calon perdana menteri blok itu semasa atau selepas berlangsungnya konvensyen gabungan itu yang dijadualkan pada Ahad ini, kata Pengerusi PH Mahathir Mohamad yang juga bekas perdana menteri Malaysia.

Gabungan blok pembangkang yang merangkumi empat parti utama iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) pada Khamis menegaskan adalah tidak sesuai untuk gabungan berkenaan menamakan calon tersebut sebelum konvensyen berlangsung.

Konvensyen kedua PH bakal diadakan di Dewan Ideal Convention Centre (IDCC) Seksyen 15, Shah Alam, di Selangor pada 7 Januari ini, sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 [PRU14].

Pada malam Khamis, pakatan pembangkang itu telah mengadakan mesyuarat majlis presiden yang berlangsung lebih 3 jam yang dihadiri oleh pimpinan tertinggi gabungannya seperti Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Mahathir semasa bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan menegaskan yang bukan masanya lagi bagi blok pembangkang untuk mengumumkan keputusan siapakah calon PM Pakatan Harapan, walaupun semua parti dalam gabungan itu sudah bersedia.

“Pakatan Harapan akan membuat semua pengumuman penting termasuk perancangan masa depan ketika konvensyen, saya katakan berkali-kali, ia akan dibuat semasa konvensyen, jadi silalah datang,” kata Mahathir semasa cuba mengelak asakan soalan wartawan yang mahu nama calon perdana menteri gabungan itu didedahkan pada Khamis.

Ketika disoal mengenai Anwar, yang sedang berada dalam penjara kerana menjalani hukuman atas sabitan kes liwat, tidak menyokong beliau sebagai calon perdana menteri, Mahathir secara sinis berkata media boleh menggunakan desas-desus itu sebagai “khabar angin.”

Dalam mesyuarat yang diadakan PH akhir tahun lalu, Mahathir dan Wan Azizah telah dicadangkan sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya gabungan itu berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak dapat diumumkan pada malam ini, kerana PKR dikatakan masih mahu membincangkan perkara berkenaan di peringkat parti, walaupun PPBM, DAP dan Amanah telah menyokong tanpa bantahan.

Perdana Menteri, Najib Razak, yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) perlu mengadakan pilihan raya umum sebelum pertengahan 2018 berdasarkan kitaran pilihan raya lima tahun negara itu. Gabungan parti dalam BN telah menguasai pemerintahan negara sejak merdeka pada tahun 1957.

Mahathir yang menyertai gabungan pembangkang pada tahun lalu merupakan pengkritik utama Najib setelah Perdana Menteri itu didakwa terlibat dalam salah guna kuasa dan skandal rasuah berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB)

Kenyataan Anwar


Dalam pada itu, Ketua Pembangkang de factor Anwar pada Khamis mengeluarkan kenyataan media sebelum berlangsungnya mesyuarat Majlis Presiden PH dengan menegaskan serta  meminta parti-parti dalam blok pembangkang untuk berunding dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis masyarakat untuk mencari dan memilih halatujunya.

“PH bertunjangkan empat parti tetapi kekuatannya adalah suara rakyat. Maka sewajarnya dikekalkan tradisi berunding dengan NGO dan aktivis masyarakat,” kata kenyataan media Anwar itu yang dikeluarkan pada lewat petang Khamis.

Anwar, 70 tahun, yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh atas sabitan kes liwat yang kedua selepas beliau dibebaskan pada 2004 atas pertuduhan yang difailkan pada tahun 1998, dijadual dibebaskan pada Jun depan, demikian menurut peguamnya.

“Saya gesa semangat permuafakatan segera dipahat dalam wadah Pakatan Harapan dengan mengenepikan kenyataan melampau dan terlanjur. Prinsip luhur inilah perlu dahulukan, manakala permasalahan lain yang tidak asasi atau mendesak perlu dirungkai secara musyawarah,” tambah Anwar lagi.

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin minggu lalu berkata PH tidak ada pilihan kecuali menamakan bakal perdana menterinya sebelum pilihan raya kerana rakyat mahukan pilihan yang ditawarkan oleh gabungan pembangkang itu, dapat membawa perubahan kepada Malaysia.

Paling mengejutkan adalah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada Khamis telah menamakan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali sebagai calon perdana menteri yang paling layak untuk PH. Anwar dihukum penjara lima tahun kerana didakwa meliwat Mohd Saiful.

Saiful berkata Azmin adalah calon yang sesuai memikul tanggunjawab sebagai Perdana Menteri, walaupun Azmin tidak di kategori dalam golongan muda, namun beliau lebih muda berbanding 'calon lain'.

"Beliau muda jugalah jika dibandingkan calon PM pembangkang sekarang ini yang sudah 93 tahun. Beliau juga banyak Idea 'fresh', bertenaga dan kurang mengamalkan politik lama," kongsi Saiful di laman Facebooknya.

Sejak kebelakangan ini timbul gesaan baik terhadap parti pemerintah atau pembangkang untuk menampilkan pemimpin muda dan baru sebagai calon perdana menteri, dan beberapa badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil juga mengeluarkan kenyataan supaya tidak mencalonkan Najib atau Mahathir sebagai calon Perdana Menteri di dalam PRU14 yang mencabar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.