Follow us

Rakyat Malaysia Cedera Semasa Operasi Menyelamat Daripada Militan Abu Sayyaf

Staf BeritaBenar
Zamboanga, Filipina & Sabah, Malaysia
2019-04-04
E-mel
Komen
Share
Mangsa culik rakyat Malaysia, Jari Abdullah menerima rawatan selepas beliau dipercayai cedera ditembak oleh penculiknya semasa operasi menyelamat yang dilancarkan oleh pihak berkuasa Filipina di wilayah selatan Kepulauan Sulu, 4 April 2019.
Mangsa culik rakyat Malaysia, Jari Abdullah menerima rawatan selepas beliau dipercayai cedera ditembak oleh penculiknya semasa operasi menyelamat yang dilancarkan oleh pihak berkuasa Filipina di wilayah selatan Kepulauan Sulu, 4 April 2019.
[Gambar Ihsan Tentera Filipina]

Anggota kumpulan militan yang dikaitkan dengan Negara Islam [IS] pada Khamis menembak dan mencederakan seorang rakyat Malaysia yang menjadi tebusan mereka ketika operasi menyelamat oleh tentera Filipina di selatan negara itu, selepas hampir empat bulan beliau dan dua rakyat Indonesia diculik di perairan timur Malaysia, kata pegawai tentera.

Selepas diselamatkan, Jari Abdullah yang juga seorang nelayan, dibawa ke sebuah hospital di bandar Zamboanga, kira-kira 1,334 km [833 batu] dari selatan Manila, untuk mendapatkan rawatan, namun  nasib dua rakyat Indonesia itu belum diketahui, kata pihak berkuasa Filipina.

"Mangsa cuba melarikan diri daripada para penculiknya semasa  pertempuran tetapi beliau ditembak oleh anggota Abu Sayyaf," kata jurucakap Pemerintah Selatan Tentera Filipina, Kolonel Gerry Besana, kepada BeritaBenar.

Ketiga-tiga mangsa pada mulanya dilaporkan hilang pada 6 Dis di kawasan Terumbu Pegasus di timur perairan Sabah selepas bot mereka ditemukan dengan enjin masih hidup. Siasatan kemudian menunjukkan bahawa kesemua mereka menjadi mangsa penculikan sekumpulan tujuh lelaki yang didakwa memecut ke arah Sulu, kata pihak berkuasa.

Besana berkata, anggota Marin Filipina telah menemui Jari kira-kira 4.30 pagi sebaik sahaja berakhirnya pertempuran singkat dengan kumpulan penculik di Pulau Simisa, sebahagian daripada gugusan kepulauan Sulu di wilayah selatan Filipina.

Besana berkata, pihak tentera menjumpai Jari terbaring berhampiran laluan keluar yang digunakan penculiknya.

Rakyat Malaysia itu kemudian dibawa dengan pesawat ke sebuah fasiliti tentera di Jolo, ibu kota wilayah Sulu, sebelum dipindahkan ke sebuah hospital di bandar Zamboanga, yang terletak kira-kira 215 km (134 batu) dari situ.

Pihak berkuasa tidak memberikan maklumat lanjut mengenai kecederaan Jari.

“Kami belum dapat berkomunikasi dengan mangsa yang sedang menjalani rawatan di hospital," kata Besana.

Komander Tentera Sulu, Brig. Jen Divino Rey Pabayo Jr, pula berkata  tiada anggotanya yang cedera semasa operasi menyelamat itu pada Khamis. Tidak dapat dipastikan sama ada anggota kumpulan militan mengalami kecederaan.

"Tindakan ASG menembak mangsa culik itu menandakan mereka dalam keadaan putus asa dan terdesak kerana dikepung oleh pihak tentera yang memburu mereka," kata Pabayo.

"AFP di Sulu kini lebih tekad untuk memburu para pengganas ini," katanya, menggunakan akronim bagi Angkatan Tentera Filipina.

Kumpulan militan Abu Sayyaf merupakan kumpulan kecil tetapi kejam berbanding beberapa kumpulan militan lain di selatan Filipina. Kumpulan itu juga dipercayai masih menahan sejumlah tebusan tempatan dan asing di wilayah selatan yang bergolak di negara itu.

Selain melakukan penculikan, kumpulan itu sering menjadi tajuk utama berita sepanjang dekad lalu kerana didakwa terlibat dalam pengeboman dan pemenggalan kepala di selatan Filipina. Sepanjang tiga tahun lalu, militan Abu Sayyaf memenggal kepala dua rakyat Kanada dan seorang warganegara Jerman yang diculik secara berasingan, kata pegawai tentera.

Seorang pemimpin Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, menjadi pemimpin IS di Asia Tenggara dan mengetuai kepungan di bandar Marawi yang terletak di selatan negara itu pada Mei 2017. Pengepungan itu membawa kepada pertempuran lima bulan dengan pasukan kerajaan yang menyebabkan 1,200 kehilangan nyawa, dengan kebanyakannya adalah anggota militan termasuk Hapilon.

Kumpulan Abu Sayyaf juga dipersalahkan terhadap insiden pengeboman kereta di Pulau Basilan, yang menyebabkan kira-kira 11 orang terbunuh tahun lepas. Pada Januari lalu, pegawai pertahanan juga mengaitkan pemimpin kumpulan itu di Jolo dengan insiden yang mengorbankan 23 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain  di sebuat gereja Katolik tempatan. Penyiasat percaya pasangan pengganas Indonesia terlibat dalam kejadian pengeboman tersebut.

Jeoffrey Maitem di Manila, Mark Navales di Cotabato City, Filipina, dan Zam Yusa di Sabah, Malaysia, turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh