Follow us

Filipina: Suspek Anggota Kumpulan Abu Sayyaf Bebaskan 10 Nelayan

Staf BeritaBenar
Zamboanga, Filipina
2019-06-23
E-mel
Komen
Share
Timbalan Pengarah Biro Penyiasatan Kebangsaan Filipina Ferdinand Lavin, kiri, berbual dengan suspek anggota Kumpulan Abu Sayyaf di Manila susulan penahanan mereka, 11 Jun 2019.
Timbalan Pengarah Biro Penyiasatan Kebangsaan Filipina Ferdinand Lavin, kiri, berbual dengan suspek anggota Kumpulan Abu Sayyaf di Manila susulan penahanan mereka, 11 Jun 2019.
[AP]

Sekumpulan lelaki bersenjata yang dikaitkan Kumpulan Abu Sayyaf  (ASG) telah membebaskan 10 tahanan rakyat Filipina dari puak “Badjao” atau gipsi laut tanpa sebarang kecederaan pada lewat Jumaat, selepas mereka dilaporkan tidak dapat memenuhi tuntutan bagi wang tebusan, kata polis Filipina.

Pasukan peronda polis menemui mangsa berhampiran Kampung Kahawa di pekan Talipao, Sulu. Pasukan tentera dan polis berada dalam keadaan berjaga-jaga di wilayah itu susulan insiden penculikan baru-baru ini di perairan Sabah, Malaysia.

Ketua polis pekan Talipao, Napoleon Lango berkata mangsa dibebaskan pada Jumaat malam kerana “mereka tidak mempunyai wang untuk membayar tebusan,” menurut Pejabat Polis Wilayah Sulu.

Mangsa memberitahu polis bahawa mereka sedang memancing pada awal pagi Selasa di perairan di timur negeri Sabah, Malaysia ketika mereka dipintas pada kira-kira pukul 2.45 pagi oleh sekumpulan lelaki yang menaiki dua buah bot laju yang menculik 10 orang daripada mereka dan meninggalkan enam yang lain.

Pihak berkuasa Malaysia melaporkan bahawa suspek bergerak ke arah Tawi-Tawi, sebuah pulau dalam wilayah Mindanao, Filipina bersama-sama tawanan mereka namun pasukan tentera tempatan tidak dapat mengesahkan laporan tersebut ketika itu.

Mangsa digambarkan berada dalam keadaan baik dan dibawa ke Pejabat Hospital Wilayah Bersepadu Sulu untuk pemeriksaan. Mereka kemudian dikembalikan ke Balai Polis Talipao untuk disoal siasat berkaitan penculik mereka.

Insiden penculikan itu berlaku seminggu selepas Ketua Polis Malaysia Abdul Hamid Bador memberi amaran bahawa ASG terus menjadi satu ancaman keselamatan. Amerika Syarikat telah menyenaraikan kumpulan itu sebagai sebuah organisasi pengganas asing.

ASG merupakan sebuah kumpulan terkecil namun dianggap paling kejam dalam kalangan beberapa kumpulan bersenjata yang beroperasi di kawasan bergolak di selatan Filipina. Ia terkenal kerana tindakannya menculik pelancong asing termasuk rakyat negara-negara jiran Asia Tenggara dan sering menahan mereka bagi mendapatkan wang tebusan.

Lihat Laman Penuh