Polis: Rakyat Indonesia Menetap di Sabah Bantu Perjalanan Pengebom Bunuh Diri di Filipina
2019.08.26
Kuala Lumpur, Malaysia
Pengebom bunuh diri pasangan warga Indonesia, yang menyebabkan kematian 23 orang di sebuah gereja di selatan Filipina pada Januari lalu, melakukan perjalanan ke negara itu dengan bantuan dua rakyat Indonesia yang menetap di negeri Sabah, Malaysia, kata polis Malaysia pada Isnin.
Kejadian dua letupan bom pada 27 Jan di Gereja ‘Our Lady of Mount Carmel’ di Jolo, ibu kota wilayah Sulu, adalah antara tindakan keganasan paling buruk di Filipina sejak beberapa tahun lalu. Serangan itu, yang turut mencederakan lebih 100 orang, dirancang dalam masa hampir setahun, kata pihak berkuasa Filipina.
Mereka mendakwa bahawa pengeboman itu dirancang oleh Hatib Hajan Sawadjaan, yang mengambil alih jawatan sebagai pemimpin Negara Islam [IS] di Filipina selepas Isnilon Hapilon terbunuh dalam pertempuran Marawi hampir dua tahun lalu.
Pada Julai, jurucakap Polis Kebangsaan Indonesia, Dedi Prasetyo mengenal pasti pengebom bunuh diri itu sebagai Rullie Rian Zeke dan Ulfah Handayani Saleh, pasangan suami isteri yang dihantar pulang dari Turki pada 2017 selepas mereka cuba menyeberangi masuk sempadan negara itu untuk memasuki wilayah yang dikawal IS di Syria.
Pihak berkuasa Malaysia enggan menyatakan bila Rullie dan Ulfah memasuki Malaysia sebaliknya berkata pasangan itu membuat perancangan mereka selepas sebulan mengenali dua suspek ekstremis Mohd Ali Suhari, 21, dan Marwan Harun, 25, kedua-duanya rakyat Indonesia yang menetap di Sabah, negeri timur Malaysia di Kepulauan Borneo.
"Dengan bantuan Ali dan Marwan, Rullie dan Ulfah menaiki bot ke Sabah dan dari bandar pantai timur Semporna, mereka menaiki pula bot laju ke selatan Filipina sebelum ke Jolo," kata Ketua Unit Anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay, kepada BeritaBenar.
Pasangan Indonesia itu mengenali Ali dan Marwan melalui menantu lelaki mereka, Andi Baso (alias Zikri atau Radit), yang turut mengikuti mereka ke Filipina dan dipercayai masih berada di negara itu, kata Ayob Khan.
Dua lelaki lain, yang tinggal di Malaysia tanpa sebarang dokumen imigresen yang sah, juga ditahan dengan Ali ditangkap pada 26 Mei dan Marwan pada 10 Julai, kata Ayob.
Mereka berdepan dengan pertuduhan memberi bantuan kepada suspek militan yang cuba memasuki selatan Filipina melalui Sabah serta dipercayai bertanggungjawab terhadap pergerakan dana bagi kumpulan berkaitan IS di Indonesia, Malaysia dan Filipina, katanya.
Ayob berkata, pihak berkuasa Malaysia sebelum ini telah melumpuhkan sel militan yang menggunakan Sabah sebagai pusat transit untuk menembusi selatan Filipina.
Unit Anti-keganasan Malaysia sedang bekerjasama dengan rakan di Indonesia dan Filipina untuk menangani kegiatan keganasan yang mempengaruhi rantau itu, kata Ayob.
"Ia tidak mudah kerana kita mempunyai sempadan yang poros untuk diuruskan," katanya.
Zachary Abuza, seorang profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan pakar isu-isu keselamatan Asia Tenggara berkata, Sabah menjadi hab transit penting bagi militan asing yang cuba masuk ke selatan Filipina selepas kekalahan tentera IS di Syria dan Iraq.
“Selain itu, beberapa sel pengganas paling penting yang ditangkap di Malaysia juga pernah berada di Sabah," kata Abuza dalam satu analisisa yang diterbitkan dalam ‘The Executive Maritime’ baru-baru ini.
"Semua ini menunjukkan bahawa Sabah bukan sahaja menjadi teras keselamatan Malaysia malah keselamatan serantau juga," katanya.