Pakatan Harapan Hilang Majoriti Kuasa Keatas Kedah

Noah Lee & Nisha David
2020.05.12
Kuala Lumpur, Malaysia
200512-MY-Mukhriz620.jpg Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mukhriz Mahathir semasa ditemui media pada perhimpunan ke-2 parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Malaysia, 30 Disember 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 10.40 petang waktu tempatan ETS - 2020-05-13

Dua Anggota Dewan Undangan Negeri [Adun] Kedah dari parti pimpinan Anwar Ibrahim bertindak keluar daripada Parti Keadilan Rakyat [PKR] dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, sekaligus menggugat kedudukan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar, dan penguasaan politik Pakatan Harapan [PH].

Pengumuman keluar parti itu dibuat oleh ADUN Kawasan Lunas, Azman Nasrudin dan Sidam, Robert Ling Kui Ee pada satu sidang media bersama yang diadakan di Sungai Petani pada tengah hari Selasa.

“Saya Azman, bersama Yang Berhormat Robert mengumumkan keluar daripada PKR dan memberikan sokongan padu kepada perdana menteri. Kami akan berkhidmat sebagai Adun bebas," kata Azman.

“Saya telah hilang keyakinan kepada PKR yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim…Jadi hari ini, saya mengumumkan perletakan jawatan saya sebagai Ketua Cabang PKR Sungai Petani serta merta,” kata Robert pada sidang media yang sama.

Kedah dipimpin oleh Mukhriz, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dilantik sebagai Menteri Besar sejak PH memenangi Pilihan Raya Umum pada 8 Mei dua tahun lepas, mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri [DUN] dengan Pakatan Harapan menguasai majoriti 19 kerusi melalui BERSATU (6), PKR (6), Parti Amanah Negara-Amanah (5) dan Parti Tindakan Demokratik-DAP (2).

Dengan pengumuman sokongan terhadap Muhyiddin yang memimpin Perikatan Nasional [PN] oleh Azman dan Ling sekaligus menyaksikan PH kini mempunyai 17 kerusi sahaja di negeri itu berbanding 19 sebelum ini.

Pada petang Selasa, satu lagi sidang media telah diadakan di Alor Star, di mana Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membuat pengesahan sokongan oleh Azman dan Robert terhadap PN, yang katanya telah membawa kepada majoriti yang memihak kepada mereka dan sekaligus boleh membentuk kerajaan negeri yang baharu.

"Sukacita ingin saya maklumkan hari ini Selasa 12 Mei 2020, bersamaan 19 Ramadan, seramai 23 orang Adun Kedah telah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz selaku Menteri Besar Kedah," kata Sanusi, yang juga Adun mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi kawasan Jeneri.

"Kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan… maka kerajaan Pakatan Harapan Kedah telah jatuh dan hilang keabsahan kuasa selaku kerajaan negeri berkuatkuasa serta merta dan atas kesepakatan bersama,… seramai 19 daripada 23 Adun yang hadir, telah bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Kedah yang baharu atas nama PN," tambah beliau

Beliau turut menyatakan bahawa satu nama telah dicalonkan dengan pucuk pimpinan PN pusat akan mengemukakan nama calon Menteri Besar baharu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dalam masa terdekat.

"Sudah tentu ada nama, satu nama….tapi saya tak boleh maklumkan sekarang ini," kata Muhammad Sanusi.

Sehingga tengah malam Selasa, hanya gabungan parti pembangkang negeri itu yang telah mengeluarkan kenyataan mendakwa kejatuhan kerajaan PH di Kedah, manakala Mukhriz dan barisan kepimpinannya masih belum membuat sebarang komen mengenai pertukaran tampuk pemerintahan.

Mukhriz sebelum ini pernah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah di bawah pimpinan UMNO selama tiga tahun selepas Pilihan raya Umum ke -13 pada 2013 sebelum didesak meletakkan jawatan, ekoran tidak mendapat keyakinan majoriti pucuk pimpinan negeri kerana beliau dan bapanya Mahathir Mohamad lantang mengkritik Presiden UMNO Najib Razak berhubung skandal rasuah melibatkan dana negara 1Malaysia Development Berhad.

Tiada tanggungjawab moral

Sementara itu, Oh Ei Sun, seorang pegawai kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, kejadian terbaru di Kedah menunjukkan wajah sebenar sesetengah ahli politik, sama ada mempunyai rasa tanggungjawab moral sebagai pemimpin atau hanya mahu membuat keuntungan politik.

Katanya arus lompat-melompat dijangka boleh berlaku lagi seperti dua tahun lepas sekiranya PH kembali memegang tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan pada masa hadapan.

“Tindakan keluar parti dua Adun PKR itu pada Selasa menunjukkan kerajaan PH yang memerintah Kedah sudah kecundang… Pakatan Harapan tidak lagi memiliki majoriti di Kedah,” katanya kepada BeritaBenar sambil membayangkan penyandang baru jawatan Menteri Besar akan diisi pemimpin PAS negeri kerana parti itu kini memegang bilangan kerusi terbanyak.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul memberitahu satu sidang media virtual bahawa Azman dan Robert bakal berhadapan tindakan undang-undang susulan tindakan keluar parti dengan tindakan saman sebanyak RM10 juta (AS$2.3 juta) setiap seorang.

"Robert dan Azman menjadi calon PKR dalam pilihan raya ke-14, mereka telah berikrar janji dan menandatangani dokumen di mana sekiranya mereka keluar parti dan lompat parti, maka mereka berhadapan dengan tindakan oleh PKR yang akan mengemukakan tuntutan saman sebanyak RM10 juta setiap orang atas pengkhianatan mereka itu," tambah Johari.

Lex Radz di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.