Empat Parti Pembangkang PH Setuju Guna Logo Parti Anwar

Hadi Azmi & Hata Wahari
2018.04.06
Kuala Lumpur, Malaysia
pkrlogo.jpeg Penyokong parti pembangkang mengibarkan bendera Parti Keadilan Rakyat [PKR] dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia [Bersatu] semasa kempen di Pasir Gudang, Johor, 6 April 2018.
BeritaBenar

Kesemua empat parti yang berada dalam gabungan pembangkang Pakatan Harapan [PH] telah bersetuju untuk bertanding di bawah satu logo, iaitu logo Parti Keadilan Rakyat [PKR] pada Pilihan Raya Uum ke-14 [PRU-14],  demikian diumumkan oleh Pengerusi PH Mahathir Mohamad pada satu majlis yang diadakan di kubu kuat Umno di Johor pada malam Jumaat.

Pengumuman itu dibuat oleh Mahathir semasa berucap di satu majlis, yang menurut pegawai parti, dihadiri kira-kira 20,000 orang di Pasir Gudang, sebuah bandar industri dan pelabuhan yang mengadap Selat Tebrau, yang bersempadan dengan Singapura.

“Saya dengan segala sukacitanya ingin maklumkan kepada Malaysia dan dunia, bahawa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini, empat buah parti, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia.., akan guna satu simbol, iaitu simbol Parti Keadilan [Rakyat],” kata pemimpin berusia 92 tahun itu yang diiringi dengan sorakan penyokong yang hadir pada majlis berkenaan.

Pada Khamis pihak berkuasa Malaysia membatalkan pendaftaran parti Bersatu dan turut menolak permohonan PH untuk didaftarkan sebagai gabungan politik pembangkang.

Mahathir berkata, walaupun gabungan pembangkang itu tidak boleh menggunakan logo Pakatan Harapan, tetapi keputusan telah dicapai oleh kesemua parti dalam gabungan itu untuk menggunakan satu logo semasa pilihan raya umum yang akan diumumkan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.

“Bukan mudah, hendak memujuk setiap ahli parti dalam pakatan harapan menggugurkan logo mereka… DAP [Parti Tindakan Demokratik] telah menggunakan simbol roketnya selama hampir 60 tahun, dan parti yang lain pun sayang juga kepada simbol masing-masing.

“Tetapi kerana kita ingin bersatu padu, maka kita bersetuju bahawa keempat-empat parti ini akan guna hanya satu simbol.. Kalau Bersatu diharamkan, ia boleh diharamkan oleh RoS [Pendaftaran Pertubuhan], tetapi sebagai warganegara, kami berhak untuk bertanding, walaupun tidak menjadi anggota mana-mana parti. Saya amat gembira, sesuatu yang tidak mungkin dilakukan dahulu, sudah dilakukan oleh kita semua sekarang ini, ” tambah Mahathir lagi.

Simbolik

Pemimpin kesemua empat parti dalam perikatan pembangkang berkongsi pentas pada acara Jumaat di Johor itu, termasuk Wan Azizah Wan Ismail, isteri Ketua Pembangkang de fakto Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR pada masa ini.

Wan Azizah semasa dihubungi BeritaBenar melahirkan kegembiraan dengan keputusan yang dipersetujui secara bersama antara semua gabungan parti dalam PH untuk menggunakan logo PKR semasa pilihan raya umum nanti.

“Apa yang paling penting semua parti di bawah PH bersatu diatas satu logo demi memenuhi harapan untuk menyelamatkan negara dari keadaan yang kritikal pada masa ini. Ini juga merupakan malam bersejarah, dengan semua memperlihatkan komitmen perpaduan dan tsunami kebangkitan rakyat menyokong PH,” katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Selain itu, Wan Azizah berkata, ia juga merupakan satu yang simbolik seolah-olah Anwar Ibrahim berada di setiap hati dan sanubari pemimpin dan rakyat dengan penggunaan logo PKR.

Anwar yang juga pengasas kepada PKR dituduh meliwat bekas pembantunya pada tahun 2008.

Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar pada tahun 2012 tetapi Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan menjatuhkan hukuman hingga lima tahun penjara pada 2014.

Mahkamah baru-baru ini telah menolak percubaan terakhir peguam Anwar untuk membatalkan keputusan itu setelah terdapatnya laporan yang menyatakan bahawa pendakwaraya utama kes bekas ketua pembangkang itu yang dilantik adalah seorang peguam amalan swasta yang telah menerima berjuta-juta ringgit dari perdana menteri untuk mengendalikan kes tersebut.

Anwar, 70, telah menjalani pembedahan di bahu kanannya di Hospital Kuala Lumpur pada 12 November lalu, selepas mengalami kesakitan yang berterusan, sehingga menjadi lebih teruk selepas kemalangan jalan raya pada 22 Sept lepas, sebelum ini mengetuai pakatan pembangkang dalam memperolehi kemenangan baru semasa pilihan raya umum 2013, lima tahun selepas gabungan Barisan Nasional yang berkuasa kehilangan majoriti dua pertiga dalam parlimen buat  pertama kalinya sejak 1957.

PKR mempunyai 28 kerusi di Parlimen yang akan dibubarkan pada Sabtu. Parti pembangkang yang memegang paling banyak kerusi iaitu 36, adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP).

"Keputusan DAP untuk tidak menggunakan logo Roket, yang sudah berada dalam kertas undi sejak sebelas pilihan raya bermula tahun 1969 hingga 2013, bukanlah satu perkara yang mudah,  merupakan satu keputusan yang paling menyakitkan dan menyayat hati," kata pengasas DAP, Lim Kit Siang dalam catatan blognya.

"Pilihan raya ke-14 mungkin satu-satunya peluang dalam beberapa dekad untuk menukar kerajaan Persekutuan dan untuk Malaysia mengambil langkah pertama dalam menjadikannya sebagai demokrasi yang normal, di mana pengundi dapat mengubah kerajaan secara aman dan demokratik," katanya.

Matlamat calon-calon blok pembangkang adalah untuk memenangi majoriti mudah dalam parlimen "dalam usaha untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara yang gagal, penyangak dan kleptokrasi," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.