Pelbagai Reaksi Selepas Pembangkang Pilih Bekas Perdana Menteri Sebagai Calon PM

Ray Sherman
2018.01.08
Shah Alam, Selangor
180108-MY-mathathir-620.jpg Gambar bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dipaparkan semasa pembangkang menamakan beliau sebagai calon harapan perdana menteri pada pilihan raya umum akan datang, pada konvensyen di Shah Alam, Selangor, 7 Jan 2018.
[Hareez Lee/BeritaBenar]

Negarawan berusia Mahathir Mohamad secara rasminya menjadi ketua bagi pakatan pembangkang Malaysia menghadapi pilihan raya umum, dengan pemimpin berusia 92 tahun itu berkata, beliau bersedia untuk menerajui kemudi bagi menewaskan Perdana Menteri Najib Razak yang dibelenggui skandal dalam pertempuran itu.

Tetapi, pelbagai reaksi diterima daripada pemerhati dan pegawai kerajaan berhubung langkah pembangkang memilih bekas perdana menteri itu, yang memerintah negara selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 dan membentuk reputasi sebagai pemimpin otokratik, sebagai harapan utama mereka untuk menumpaskan kerajaan semasa.

Pada hujung minggu lalu, pakatan pembangkang Malaysia, Pakatan Harapan (PH), telah menamakan Mahathir sebagai calon harapan perdana menteri pada pilihan raya umum ke-14 negara itu, yang dijadualkan pada Ogos, walaupun Najib dijangka mengadakannya pada awal 2018.

"Saya berterima kasih kerana menamakan saya sebagai perdana menteri. Saya sudah 92 tahun, saya tidak akan menyandang jawatan ini buat masa yang lama," kata Mahathir, yang akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-93 tahun pada  Julai, sambil disambut dengan sorakan pada konvensyen pakatan pembangkang yang diadakan pada Ahad.

Sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya itu, Mahathir akan berperanan sebagai perdana menteri bagi membentang laluan kepada musuh lamanya yang juga pemimpin pembangkang de facto yang sedang dipenjarakan, Anwar Ibrahim, untuk mengambil alih jawatan itu sekiranya bekas timbalan perdana menteri itu diberikan pengampunan diraja untuk sabitan kes liwat, kata beberapa pegawai. Tanpa pengampunan itu, Anwar akan dihalang daripada berpolitik selama lima tahun.

Keputusan konvensyen Ahad itu menunjukkan bahawa Mahathir boleh kembali sebagai perdana menteri selepas 15 tahun beliau meletakkan jawatan itu.

Empat parti pembangkang PH sebulat suara melantik Mahathir untuk mencabar Najib, ketua gabungan Barisan Nasional dan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

"Perkara yang baiknya adalah PH boleh menyatakan bahawa mereka mempunyai calon yang berpengalaman dan ia boleh membuat pilihan yang penting menjelang pilihan raya umum ke-14, dalam semangat kesepakatan," kata Azmi Hassan, seorang penganalisis geopolitik Malaysia, kepada BeritaBenar.

"Perkara yang buruk pula langkah memilih Mahathir boleh menjauhkan pengundi kerana beliau mempunyai banyak sejarah buruk. Faktor ini penting bagi pengundi atas pagar, "katanya.

Seorang lagi penganalisis, Hisomuddin Bakar, dari firma penyelidikan bebas, Ilham Centre, pula menggambarkan langkah pembangkang itu  sebagai "berani".

"Ia akan memberi kesan besar kepada pengundi Melayu di kawasan bandar dan separuh bandar," katanya kepada BeritaBenar, merujuk kepada pengundi daripada majoriti etnik Malaysia yang membentuk UMNO, bekas parti Mahathir.

Tetapi Khairy Jamaluddin, menteri belia dan sukan, berkata, pencalonan Mahathir akan mencetuskan ketidakstabilan politik.

"Ini akan menimbulkan pergolakan dalam PKR dan mewujudkan ketidakpastian dalam kalangan pelabur, tanpa mengetahui berapa lama Mahathir akan menjadi perdana menteri sebelum Anwar mengambil alih," kata Khairy kepada pemberita pada Ahad, merujuk kepada parti diterajui Anwar, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam siri catatan tweet beliau, Abdul Rahman Dahlan, menteri di Jabatan Perdana Menteri, pula lantang mengkritik langkah memilih Mahathir, tetapi menyambutnya sebagai "berita baik" untuk BN.

"PH menunjukkan bagaimana semua cakap-cakap tentang pembaharuan dan memberi peluang kepada anak-anak muda, adalah retorik semata-mata," menutut satu daripada catatan tweet beliau.

Biarkan perkara lepas berlalu pergi

Mahathir bangkit daripada persaraannya di tengah-tengah dakwaan bahawa berbilion-bilion dolar dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah disalahgunakan oleh Najib dan yang lain. Sejak itu, Mahathir melabelkan Najib, yang suatu masa dahulu merupakan anak didiknya, sebagai korup dan menggesa beliau meletakkan jawatannya. Najib menafikan dakwaan salah laku dalam urusan 1MDB.

"Matlamat utamanya sekarang adalah menjatuhkan UMNO dan Najib," kata Mahathir kepada wartawan pada Ahad.

Sebagai pemimpin autokratik beberapa dekad yang lalu, Mahathir telah memenjarakan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Anwar pada akhir 1990-an.

"Tidak mudah bagi pihak yang dahulunya musuh-musuh saya untuk menerima saya, tetapi mereka tahu betapa pentingnya untuk menjatuhkan kerajaan sekarang," kata Mahathir.

"Mereka yang tidak selesa dengan saya, dasar saya ... tindakan saya, dan walaupun sukar bagi mereka, mereka sedar bahawa apa yang penting bukanlah masa yang lalu, tetapi apa yang ada pada masa depan."

Anwar sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun untuk kes liwat - pertuduhan yang beliau dan penyokongnya dakwa bermotifkan politik. Beliau akan dibebaskan pada 8 Jun depan, menurut Jabatan Penjara.

Pengumuman pada Ahad juga menyaksikan isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail, presiden Parti Keadilan Rakyat, dinamakan sebagai calon harapan jawatan timbalan perdana menteri, sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya.

Walaupun tarikh pilihan raya umum belum diumumkan, PH belum diiktiraf secara rasmi sebagai satu pakatan politik. Pendaftar Pertubuhan (ROS) menuntut dokumen tambahan, yang telah pun diserahkan oleh pembangkang.

Pengarah ROS tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara itu pada Isnin.

Hareez Lee di Shah Alam, Malaysia, dan Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.