Follow us

Filipina, Malaysia Ikrar Kerjasama Perangi Keganasan

Luis Liwanag & Dennis Jay Santos
Manila & Davao, Filipina
2019-03-07
E-mel
Komen
Share
Presiden Filipina Rodrigo Duterte, kiri, dan Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, menyaksikan persembahan kebudayaan semasa upacara sambutan rasmi di Istana Presiden Malacanang di Manila, 7 Mac, 2019.
Presiden Filipina Rodrigo Duterte, kiri, dan Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, menyaksikan persembahan kebudayaan semasa upacara sambutan rasmi di Istana Presiden Malacanang di Manila, 7 Mac, 2019.
[AP]

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, dan Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, bersetuju pada Khamis untuk meningkatkan lagi usaha memerangi keganasan dan menangani secara aman pertikaian tuntutan wilayah di Laut China Selatan di tengah-tengah kebimbangan mengenai tindakan agresif China.

Mahathir, 93, berada di Manila buat pertama kalinya sejak kemenangan besar gabungan parti yang diterajuinya pada pilihan raya umum Malaysia tahun lalu.

"Kami memutuskan untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani isu-isu keselamatan, terutamanya mengenai keganasan, lanun dan jenayah merentas sempadan termasuk memerangi perdagangan dadah secara haram," kata Duterte pada sidang berita bersama. "Kami memutuskan untuk menangani isu-isu keselamatan."

Lawatan Mahathir diadakan tidak lama selepas para pengundi di selatan Filipina bersetuju untuk menubuhkan Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM). Wilayah itu diwujudkan lima tahun selepas satu perjanjian damai - sebahagiannya diusahakan oleh Malaysia – bagi menamatkan pemberontakan puak pemisah Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Mahathir, yang pernah mengadakan lawatan rasmi ke Filipina semasa menjadi perdana menteri pada 1987 dan 1994, berkata beliau telah membincangkan ‘perkara-perkara berkaitan keselamatan’ dengan Duterte.

"Kami membincangkan pelbagai isu mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dan Filipina, serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama," katanya.

Mahathir berkata, beliau memberi jaminan kepada pemimpin Filipina itu tentang komitmen Malaysia untuk "menangani isu serius berhubung keganasan dan ekstremisme ganas."

Bersama-sama dengan Indonesia, katanya, Malaysia dan Filipina telah sepakat untuk "melaksanakan rondaan maritim dan udara tiga negara bagi menangani cabaran keselamatan yang semakin meningkat."

Ketiga-tiga negara itu memulakan rondaan tiga pihak pada Jun 2017 selepas militan pro-IS melancarkan pengepungan ke atas bandar Marawi di selatan Filipina. Jet-jet pejuang menumpaskan militan dengan serangan bom sepanjang lima bulan pertempuran itu yang berakhir pada Oktober 2017 dan mengorbankan sekurang-kurangnya 1,200 orang termasuk pemimpin IS Filipina, Isnilon Hapilon.

Mahathir berkata, Manila dan Kuala Lumpur mesti "meningkatkan hubungan ekonomi" sambil beliau memberi jaminan kepada Duterte tentang "hasrat untuk terus membantu dalam pembangunan Mindanao."

Namun, beliau memberi amaran bahawa ekstremisme akan terus menimbulkan masalah.

"Saya melihat keadaan semakin buruk pada masa depan," kata Mahathir. "Sebabnya adalah sangat mudah: Kita enggan mengakui punca-puncanya. Keganasan disebabkan oleh sesuatu. Kenal pasti punca itu. Cuba tangani punca itu, dan singkirkan punca tersebut, dengan itu, ekstremisme pasti berkurangan. "

"Tetapi, mengabaikan punca itu dan cuba memerangi ekstremisme seolah-olah ia adalah perang konvensional, anda tidak akan berjaya melakukannya," kata beliau.

Mahathir minta Beijing perjelaskan tentang 'pemilikan'


Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan tentang tindakan penenteraan berterusan China di Laut China Selatan, wilayah pertikaian yang dituntut oleh Malaysia, Filipina, Brunei, Vietnam, serta musuh Beijing iaitu Taiwan.

Duterte, yang sangat menyokong China, memilih untuk berbincang secara mesra dengan Beijing, yang antara lainnya dengan menggalakkan pelaburan di Filipina. Beliau telah melakukan beberapa lawatan ke China dan secara peribadinya menggalakkan pelabur di sana untuk melabur di negara ini.

Duterte juga mengetepikan keputusan sebuah tribunal timbang tara antarabangsa pada 2016 yang menolak tuntutan besar China terhadap wilayah laut itu, selepas pemimpin sebelumnya, Benigno Aquino, membawa Beijing ke mahkamah kerana menduduki wilayah barat Filipina secara haram, yang menurut penganalisis, adalah jelas berada di dalam zon ekonomi eksklusif Manila.

Minggu lepas, Washington memberi jaminan berhubung sokongan ketenteraan kepada Manila sekiranya ia diserang di Laut China Selatan. Tetapi, Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana, sebaliknya menggesa supaya dikaji semula perjanjian pertahanan bersama negara itu dengan Amerika Syarikat, berikutan kebimbangan bahawa Filipina akan diseret masuk dalam perang serantau.

"Kami menegaskan tentang pentingnya untuk mengekalkan dan menggalakkan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kebebasan navigasi di lautan dan udara di Laut China Selatan, serta menyelesaikan pertikaian itu secara secara aman,” kata Duterte kepada pemberita pada Khamis.

"Ini dilakukan tanpa ancaman atau penggunaan kekerasan, yang selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf di seluruh dunia," katanya.

Sebelum sidang berita itu, Mahathir memberitahu satu temu bual televisyen bahawa Beijing perlu memperjelaskan apa yang dimaksudkan dengan "pemilikan" di Laut China Selatan, sambil beliau menekankan bahawa wilayah itu, di mana lebih daripada AS $5 trilion nilai perdagangan global melaluinya setiap tahun, mesti kekal terbuka untuk navigasi.

"Kami perlu berbincang dengan China mengenai definisi tuntutan mereka dan apa yang dimaksudkan dengan pemilikan mereka atau apa yang dianggap sebagai pemilikan seperti yang dituntut mereka supaya kami dapat mencari jalan untuk mendapatkan beberapa manfaat daripada mereka," kata Mahathir kepada televisyen ANC di Manila.

Mahathir juga memberitahu bahawa walaupun beliau menghormati strategi ekonomi Manila, namun sebarang pelaburan dalam Filipina perlulah ditakrifkan dengan jelas.

Pelaburan langsung asing "tidak boleh melibatkan ramai orang asing  tinggal di negara ini," katanya, yang jelas merujuk kepada satu siasatan Senat Filipina pada tahun lepas mengenai sekurang-kurangnya 200,000 orang China membanjiri negara ini sejak Duterte mengambil alih kuasa kepimpinan pada 2016.

"Selagi mereka tidak menjadi penduduk tetap, ia bukanlah suatu ancaman buat Filipina," katanya.

"Tetapi, jika bilangan rakyat asing dalam jumlah besar ... hidup dan tinggal di negara ini atau malah mempengaruhi ekonomi, oleh itu anda perlu memikirkan semula sama ada ia baik atau buruk atau fikirkan tentang had yang perlu dikenakan terhadap mereka," kata beliau.

Mahathir menarik perhatian bahawa Beijing telah dituduh menggunakan diplomasi perangkap hutang, di mana Beijing dengan sengaja menawarkan pinjaman dalam jumlah besar dengan didakwa mempunyai hasrat untuk mengeluarkan konsesi ekonomi atau politik dari negara yang meminjam dengannya.

"Jika anda meminjam sejumlah besar wang dari China dan anda tidak boleh melunasnya, anda tahu, apabila orang itu menjadi peminjam dia akan berada di bawah kawalan pemberi pinjaman itu," katanya.

"Oleh itu, kita perlu berhati-hati tentangnya."

Jeoffrey Maitem dan Mark Navales di Cotabato menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh