Follow us

Filipina: Pemimpin MILF Gesa Militan Berkaitan IS Hentikan Perjuangan

Jason Gutierrez, Jeoffrey Maitem, Jojo Rinoza & Mark Navales
Kem Darapanan, Filipina
2019-06-24
E-mel
Komen
Share
Beberapa pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro sedang menunaikan solat di sebuah masjid di Kem Darapanan, Filipina, 22 Jun, 2019. [Jason Gutierrez/BeritaBenar]
Beberapa pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro sedang menunaikan solat di sebuah masjid di Kem Darapanan, Filipina, 22 Jun, 2019. [Jason Gutierrez/BeritaBenar]
[Jason Gutierrez/BeritaBenar]

Pemimpin kumpulan yang pernah menjadi pemberontak Islam terbesar di Filipina mahu mengendurkan ancaman yang ditimbulkan oleh militan yang dikaitkan dengan Negara Islam (IS) dengan menggesa mereka supaya melakukan gencatan senjata dan membantu membangunkan tanah air Islam yang kini dipimpinnya.

Murad Ebrahim, yang mengetuai Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang mempunyai 12,000 anggota sejak beberapa dekad pemberontakan pemisah, memberitahu BeritaBenar dalam satu wawancara baru-baru ini bahawa hanya "sekelompok kecil" pejuang jihad asing yang masih berada di sekitar pulau utama selatan Mindanao.

Mereka berumur antara 20 dan 30 tahun dan menyertai kumpulan serpihan militan, kata Murad, ketua menteri sementara Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM).

"Para pejuang ISIS yang dilaporkan berada di sini tidaklah ramai. Mereka terikat dengan kumpulan-kumpulan tempatan yang bukannya berideologi," katanya, yang menggunakan akronim lain untuk merujuk kepada Negara Islam (IS).

Kumpulan-kumpulan itu kini melarikan diri selepas tindakan meluas dilancarkan untuk menghapuskan mereka, dua tahun selepas mereka menyerbu bandar selatan Marawi dan melancarkan pertempuran yang berlarutan selama lima bulan hingga menyebabkan lebih daripada 1,000 orang terbunuh, yang kebanyakannya militan.

Murad mengetuai pasukan 80 anggota yang mengetuai BARMM, iaitu zon yang merangkumi sekurang-kurangnya lima wilayah selatan di mana MILF akan mengawasi pemerintahan sendiri sehingga para pengundi tempatan memilih wakil Parlimennya menjelang 2022. Marawi, yang kebanyakannya kini runtuhan, adalah satu daripada bandar utamanya.

Tanah air baru Islam itu telah disahkan oleh para pengundi dalam plebisit awal tahun ini, sebagai langkah terakhir dalam perjanjian damai yang ditandatangani dengan Manila pada 2014, dan diusahakan oleh Malaysia.

Bagaimanapun, kumpulan-kumpulan kecil seperti Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro dan Abu Sayyaf telah berpecah daripada MILF, dan bersekutu dengan apa yang dikenali sebagai Negara Islam dalam usahanya menubuhkan pangkalan baru di Asia Tenggara setelah kehilangan kubu kuatnya di Timur Tengah.

Dua tahun lalu, militan dari Asia Tenggara dan Timur Tengah turut menyertai serangan di Marawi, dan segelintir daripada mereka diketahui telah melarikan diri dan mencari perlindungan di kem-kem yang terdapat dalam hutan.

"Mereka menyertai banyak kumpulan yang berbeza. BIFF dan ASG juga berpecah kepada banyak kumpulan. ASG tidak dipimpin oleh hanya seorang pemimpin - ia berpecah kepada beberapa kumpulan. Begitu juga dengan BIFF, yang berpecah kepada tiga kumpulan," kata Murad kepada BeritaBenar.

Walaupun perjanjian damai itu memerlukan pasukannya untuk meletakkan senjata, mereka yang ditugaskan menyertai tentera dalam usaha memerangi kumpulan serpihan itu akan menjadi pihak terakhir untuk melakukannya, kata Murad.

"Apabila struktur keselamatan sudah elok disediakan, kami dapat menghentikan perbuatan mereka," katanya.

'Mahu berdialog'

Murad mengakui terdapat beberapa sisa-sisa keganasan di kawasan selatan sejak beliau mengambil alih kepimpinan BARMM awal tahun ini namun, beliau yakin bahawa penyertaan MILF dalam perjuangan tentera akan dapat menghapuskan ancaman itu.

Malah, para militan yang masih berjuang itu “nanpaknya mahu berdialog”, kata pejuang veteran berusia 70 tahun itu.

"Kami sedia untuk berdialog dengan mereka kerana kami rasa dan percaya bahawa sebahagian besar kumpulan serpihan itu kecewa dengan kerajaan," kata Murad kepada BeritaBenar di pejabatnya di Bandar Cotabato, di mana beliau kini berubah wajah daripada pejuang di medan kepada pemimpin di pejabat.

"Kami juga menawarkan kepada mereka, jika mahu menyertai (kerajaan), kami sedia menerima mereka. Kami bersedia berbuat demikian kerana perjanjian kami dengan kerajaan adalah mendapatkan pengisytiharan pengampunan umum. Ini akan merangkumi semua jenayah politik. Oleh itu, kami akan memasukkan mereka juga - semua yang layak. "

Murad berkata namun, mereka yang menyertai tindakan menawan Marawi dan mereka yang dikehendaki oleh kerajaan tidak akan dilindungi oleh pengampunan umum itu.

'Sedia untuk berubah'

Beberapa tahun selepas perjanjian damai itu dimeterai, banyak yang telah berubah di Kem Darapanan MILF yang terletak di luar Bandar Cotabato. Jalan simen membawa pengunjung menuju ke pusat kawasan itu, yang sebelum ini merupakan jalan tanah yang pernah menghubungkan para pejuang bersenjata itu dengan dunia luar.

Sebuah pintu gerbang menyambut kunjungan basikal, trak dan trafik awam lain di laluan menuju ke kem pentadbiran MILF itu selain terdapat gerai-gerai air buah skuash yang baru dipetik serta hasil kebun lain sepanjang laluan itu di kala mentari terik bersinar.

Namun, laluan itu masih mengingatkan tentang pemberontakan berpanjangan MILF bagi menubuhkan sebuah negeri Islam yang bebas di wilayah selatan ketiga Filipina, negara Katolik terbesar di Asia Tenggara.

Rondaan keselamatan dilihat sentiasa memantau setiap sudut kawasan kem itu dan kelihatan beberapa pejuang veteran bercerita tentang kisah pertempuran mereka sambil menikmati kopi panas kepada sesiapa sahaja yang bersedia mendengarnya. Sebuah pondok sentri yang bersenjatakan  mesingan 50 kaliber tidak ketinggalan mengawasi bagi mengesan musuh-musuh.

"Sebelum kami menerima tempoh pentadbiran sementara ini, kami   sudah menjangka adanya cabaran besar yang akan dihadapi kerana pertama sekali, kami adalah sebuah organisasi revolusi dan kami tidak mempunyai pengalaman dalam tadbir urus. Kami terpaksa berubah daripada revolusi kepada tadbir urus," jelas Murad.

Murad dan MILF cuba menubuhkan sebuah wilayah autonomi Islam kira-kira dua dekad lalu selepas Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF) gagal melakukannya. MILF berpecah daripada MNLF pada 1970-an.

Selepas MNLF menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada 1996, pemimpinnya Nur Misuari menjadi gabenor wilayah Islam yang dikenali sebagai Wilayah Autonomi di Mindanao Muslim (ARMM).

Tetapi, menurut penganalisis, Misuari gagal meningkatkan taraf hidup penduduk miskin selain pentadbirannya pula dituduh melakukan rasuah. Pada 2013, para pengikut Misuari menawan dan bertempur selama dua bulan di selatan bandar Zamboanga yang menyebabkan lebih 200 orang terbunuh dengan kebanyakannya adalah pejuang MNLF.

Murad berkata pentadbirannya mahu mengelak daripada kegagalan seperti itu dengan memberi tumpuan kepada "tadbir urus bermoral."

Beliau menyatakan militan, khususnya Abu Sayyaf yang terkenal dengan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan, didorong terutamanya oleh keinginan untuk mengatasi kemiskinan yang teruk di kawasan masing-masing.

Tetapi, apabila perdamaian berlaku dan pembangunan ekonomi mula dilaksanakan, Murad berkata beliau menjangka ramai daripada mereka akan keluar daripada perjuangan bersenjata.

"Kini, kami lihat ramai pejuang kami yang bersedia untuk berubah daripada perjuangan revolusi. Kami rasa semua orang sudah menerima bahawa keadaan sekarang adalah berbeza daripada apa yang kami hadapi semasa memulakan perjuangan kami dahulu, "kata Murad.

Beliau berterima kasih kepada Presiden Rodrigo Duterte di atas perubahan umum dalam persepsi terhadap perjuangan Islam.

"Beliau sendiri mengakui berlakunya ketidakadilan terhadap Bangsamoro. Jadi, pengakuan tentang ketidakadilan ini menjadikan orang seperti kami merasakan bahawa masa sekarang adalah berbeza daripada masa lalu, ketika kami dilihat sebagai musuh mereka, "kata Murad.

Kira-kira 120,000 orang terbunuh dalam pertempuran di Filipina sejak 1970-an, menurut Mohagher Iqbal, bekas ketua perunding MILF yang kini menjadi menteri pendidikan BARMM.

Beberapa pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro berjalan melepasi satu tanda yang mengisytiharkan wilayah Bangsamoro, 22 Jun 2019. (Jason Gutierrez/BeritaBenar)

Lihat Laman Penuh