NATO versi ASEAN tidak sesuai di Asia Tenggara

Wujudkan perjanjian 'minilateral' mungkin lebih masuk akal bagi pertubuhan serantau itu, kata penganalisis.
Jason Gutierrez
2024.11.08
Manila
NATO versi ASEAN tidak sesuai di Asia Tenggara Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin, Setiausaha Negara AS Antony Blinken, Setiausaha Luar Filipina Enrique Manalo dan Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro bergambar selepas mengadakan mesyuarat di Manila, 30 Julai 2024.
[Jason Gutierrez/BenarNews]

Perikatan pertahanan Asia Tenggara yang bercorak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk menentang China mungkin kekal sekadar idea dengan negara serantau dilihat mempunyai kepentingan tersendiri dalam mengekalkan hubungan baik dengan Beijing, kata penganalisis.

Sambil mengakui keperluan untuk meningkatkan pakatan keselamatan pelbagai hala, Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro Jr mengambil sikap berhati-hati apabila ditanya tentang kemungkinan perkara itu semasa persidangan di Manila pada awal minggu ini untuk membincangkan mengenai hala tuju pertahanan negara.

Beliau berkata demikian ketika memberikan reaksi terhadap kemungkinan menubuhkan perikatan serupa NATO yang mempunyai 32 negara melibatkan anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

ASEAN merupakan kumpulan 10 negara, termasuk beberapa anggotanya mempunyai tuntutan bertindih dengan China ke atas perairan Laut China Selatan seperti Filipina.

“Saya tidak fikir ia mungkin (mampu diwujud) pada masa ini kerana pemisahan dan perbezaan antara kepentingan negara,” kata Teodoro pada Selasa.

“Dengan mengadakan penguatkuasaan, mekanisme penguatkuasaan bersenjata untuk ASEAN mungkin masih lagi jauh (untuk dilaksanakan)."

PH-ASEAN-NATO 2.jpg

Pemimpin NATO bergambar bersama dalam acara memperingati Ulang Tahun ke-75 NATO di Auditorium Andrew W. Mellon, Washington D.C., Amerika Syarikat, 9 Julai 2024. [Susan Walsh/AP]

Ditubuhkan pada 1949, NATO meletakkan komitmennya untuk mempertahankan 32 negara anggota sekiranya ada yang diserang. Selain Amerika Syarikat, ahli NATO yang lain termasuk United Kingdom, Itali, Jerman, Perancis dan Kanada.

Gesaan untuk mewujudkan "NATO Asia" telah menjengkelkan Beijing, yang melihat dirinya sebagai tumpuan utama mana-mana blok sedemikian dengan cara yang sama seperti Moscow telah menuduh NATO menumpukan pertahanannya melawan Rusia.

Idea perikatan seperti NATO telah meresap dalam kalangan kelompok pertahanan di rantau ini, di mana beberapa negara anggota ASEAN telah menghadapi beberapa insiden dengan China di Laut China Selatan, di mana mereka mempunyai tuntutan bertindih.

Pada September lalu, Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba mengemukakan idea bagi mewujudkan "NATO Asia," tetapi ia ditolak oleh negara lain seperti Amerika Syarikat dan India.

Teodoro menyatakan Manila mempunyai perikatan pertahanan dua hala dengan Washington sejak 1951, malah sebelum ia menjadi salah satu negara Asia Tenggara yang menubuhkan ASEAN pada 1967.

Beberapa pengkritik mendakwa kumpulan itu bersikap lunak terhadap China kerana beberapa anggotanya mahukan kerjasama ekonomi utama dengan Beijing.

'Minilateral'

Sherwin Ona, pensyarah sains politik di Universiti De La Salle Manila berkata beliau bersetuju dengan Teodoro kerana percaya negara-negara ASEAN akan berpegang kepada "dasar tidak campur tangan" dan lebih memberikan tumpuan kepada memupuk pertumbuhan ekonomi.

“Saya rasa bahawa (mewujudkan) 'minilateral' adalah lebih munasabah," katanya kepada BenarNews, sambil menegaskan bahawa "perjanjian dengan Jepun dan Vietnam atau AUKUS (perkongsian keselamatan tiga hala antara Australia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat) adalah lebih berkesan.”

"Minilateralisme" merujuk kepada pendekatan kumpulan kecil negara yang bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama atau membincangkan isu bersama, menurut penganalisis hubungan antarabangsa.

“Saya juga berpendapat bahawa penguatkuasaan bersenjata ada hadnya dan mempunyai kecenderungan untuk meluas,” kata Ona. “Saya bersetuju mengenai hubungan yang menguntungkan antara negara-negara pro-Beijing.”

Bagaimanapun, beliau amat menyedari tentang "keburukan" daripada apa yang dipanggil hubungan "membebankan" antara China dan beberapa negara Afrika dan Asia.

Beliau merujuk kepada beberapa perjanjian pinjaman dilanjutkan oleh China yang didakwa memerangkap negara kecil yang pada mulanya percaya mereka menerima durian runtuh ekonomi daripada Beijing.

Dalam hal ini, pakar kajian antarabangsa Don McLain Gill bersetuju bahawa contoh kerjasama "minilateral" yang baik seperti perjanjian antara Filipina, Malaysia dan Indonesia ke atas perairan selatan rantau itu, manakala Manila dan Hanoi sedang bereksperimen dengan "kerjasama keselamatan maritim bukan tradisional," katanya.

“NATO versi ASEAN tidak mungkin berlaku memandangkan sifat pertubuhan itu sendiri dan kerjasama antara kerajaan dan perwatakan berasaskan kepentingan Asia Tenggara,” kata Gill kepada BenarNews.

“Perkara yang paling kita boleh jangkakan buat masa ini adalah kerjasama keselamatan yang spesifik untuk kawasan tertentu dan bergantung pada masa antara negara-negara tertentu di rantau ini dengan cara yang juga mencerminkan sensitiviti individu berbeza,” katanya.

PH-ASEAN-NATO 3.jpg

Tentera Amerika Syarikat (AS) meninggalkan sebuah bukit di pantai di bandar Laoag, utara Filipina, semasa latihan ketenteraan bersama AS-Filipina, Balikatan, 6 Mei 2024.
[Jason Gutierrez/BenarNews]

Gill berkata bahawa "minilateral" hanya akan bertahan selagi ia masih relevan kerana jika satu negara merasakan bahawa kepentingannya tidak lagi seiring dengan negara-negara lain, "negara itu boleh keluar pada bila-bila masa" daripada perjanjian tersebut.

“Ini bukan struktur keselamatan kolektif yang ditetapkan oleh NATO. "Minilateral adalah lebih longgar dan fleksibel," katanya.

Penganalisis geopolitik Julio Amador III berkongsi pandangan yang sama.

Apa yang lebih berkesan, katanya, adalah untuk membina rangkaian "hubungan minilateral" sambil mengukuhkan hubungan dua hala Filipina dengan Amerika Syarikat, yang merupakan penyokong pertahanan dan penyumbang ekonomi terbesar mereka.

Perbezaan pandangan

Amador berkata ASEAN sebagai sebuah blok boleh membentuk "pengimbang diplomatik yang kukuh" jika anggotanya, terutamanya negara yang semakin mendekati China, bersetuju bahawa terdapat beberapa isu "yang melangkaui kepentingan nasional serta mustahak demi kepentingan kolektif kumpulan."

Seorang pembantu penyelidik di pusat pemikir Observer Research Foundation yang berpangkalan di New Delhi, India juga percaya bahawa negara-negara Asia Tenggara masih tidak berminat dengan idea "NATO Asia."

“Permintaan untuk NATO Asia masih rendah di Asia Tenggara, yang menunjukkan kepentingan berbeza dari segi keselamatan,” demikian tulis Abhishek Sharma dalam sebuah komentar pada minggu ini.

“Ini kerana kebanyakan negara yakin bahawa seni bina keselamatan multilateral hanya akan meningkatkan ketidakamanan serantau dan menjadikan mereka tunduk kepada perebutan kuasa besar," tulisnya.

“Pandangan berbeza” negara-negara ASEAN tentang bagaimana menangani China tidak akan berhasil dalam usaha untuk mendapatkan sokongan setiap negara anggota untuk menyertai perjanjian seperti NATO, kata jurucakap Tentera Laut Filipina, Laksamana Muda Roy Vincent Trinidad.

“Ia akan menjadi sukar untuk diterima kerana kepentingan nasional yang berbeza antara setiap negara ASEAN,” kata Trinidad.

Selain itu, Amerika Syarikat baru sahaja melalui tempoh pilihan raya yang sengit menyaksikan bekas Presiden Donald Trump kembali untuk penggal baharu sekali gus menjadikan keadaan agak sedikit terganggu.

Pada masa ini, perubahan kecil dalam butiran taktikal bakal berlaku dalam dasar luar Washington berhubung isu Laut China Selatan, katanya.

Buat masa sekarang, Filipina perlu fokus kepada perikatannya dengan AS, Jepun dan negara-negara lain. “Ia bukan hanya berkaitan dengan penyatuan ketenteraan negara-negara yang sehaluan (kerana) terdapat juga peluang ekonomi lain di sini,” kata Trinidad.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.