Filipina, MILF Adakan Perbincangan di Ibu Negara Malaysia

Nani Yusof & Hata Wahari
2016.08.12
Washington & Kuala Lumpur
160812-ph-duterte-620 Presiden Filipina Rodrigo Duterte (tengah) memberi tabik hormat selepas menyampaikan Ucapan Negara sulungnya pada Dewan Kongres di Manila, 25 Julai, 2016.
AFP

Wakil-wakil kerajaan baru Filipina dan delegasi kumpulan pemberontak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bertemu di Kuala Lumpur pada hujung minggu ini untuk mengadakan perbincangan bagi melaksanakan perjanjian damai yang tertangguh, kata diplomat.

Mesyuarat dua hari itu adalah mesyuarat pertama secara bersemuka di antara kedua-dua pihak sejak Rodrigo Duterte, presiden baru Filipina mengambil alih jawatan itu pada Jun lalu, dan mereka akan mula merundingkan versi baru undang-undang yang berkaitan dengan perjanjian berkenaan, menurut laporan.

Perjanjian yang berusia dua tahun itu tertangguh kerana Senat Filipina tidak menerima Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL), yang diperlukan bagi melaksanakan perjanjian itu, sebelum bekas presiden Benigno Aquino III melepaskan jawatannya.

"Mesyuarat ini sebenarnya bertujuan untuk melancarkan peringkat pelaksanaan apa yang kita jangka dapat menjadi satu undang-undang Bangsamoro. Ia adalah untuk melaksanakan CAB [Perjanjian Komprehensif di Bangsamoro], " kata Duta Besar Filipina ke Malaysia J. Eduardo Malaya kepada BeritaBenar pada  Jumaat, yang merujuk kepada pemeterian perjanjian yang diusahakan Malaysia, yang  dicapai di antara kerajaan dan MILF di Manila pada Mac 2014.

Para pegawai Malaysia enggan mengulas mengenai mesyuarat itu, tetapi Duta Norway ke Manila mengesahkan bahawa mesyuarat di Kuala Lumpur telah ditetapkan pada 13 Ogos.

"Kedua-dua pihak datang bersama-sama untuk membincangkan fasa pelaksanaan. Ini menunjukkan komitmen mereka terhadap keamanan dan pembangunan di Mindanao. Mesyuarat itu membuka peluang untuk membina momentum bagi usaha damai, " kata Duta Norway Erik Forner dalam satu kenyataan.

Norway adalah sebahagian daripada Pasukan Pemantauan Antarabangsa bagi gencatan senjata itu.

'Ini adalah penyelesaian bagi Mindanao'

Di bawah perjanjian menyeluruh itu, yang bertujuan untuk menamatkan pertempuran empat dekad di antara kedua-dua pihak, MILF bersetuju  meletakkan senjata sebagai pertukaran bagi penubuhan sebuah wilayah autonomi selatan. Para pemberontak MILF berjuang sejak 1970-an bagi mendapatkan autonomi untuk rakyat Bangsamoro Islam di selatan Filipina.

BBL juga tidak bergerak kerana kemarahan di kalangan rakyat Filipina berhubung satu serbuan Komando Polis Filipina di pulau Mindanao pada Januari 2015 yang berakhir dengan kematian,  menurut laporan itu.

Empat puluh empat komando mati ketika mereka terperangkap dalam pertempuran dengan pemberontak MILF selepas pasukan keselamatan Filipina memburu dan membunuh militan Malaysia yang dikehendaki, Zulkifli bin Hir (lebih dikenali sebagai Marwan), dalam serbuan di Mamasapano. Sekurang-kurangnya 17 pemberontak MILF terbunuh.

Filipina kemudian menuduh MILF melanggar gencatan senjata yang dibuat pada majlis menandatangani perjanjian damai pada tahun sebelumnya.

Walaupun berlakunya ketegangan, kedua-dua gencatan senjata dan perjanjian dapat dilakukan.

Mesyuarat pada  Sabtu dan Ahad akan menumpukan perhatian kepada merangka undang-undang baru untuk perjanjian itu, Rappler memetik Jesus Dureza, ketua penasihat keamanan kerajaan Filipina sebagai berkata.

Dureza mengetuai delegasi enam anggota Filipina di Kuala Lumpur.

Dalam ucapan negara pertamanya pada 25 Julai, Duterte menyuarakan komitmen pentadbiran beliau untuk meneruskan usaha damai dengan MILF dan kumpulan bersenjata lain, termasuk Parti Komunis Filipina. Namun, sambil menyentuh mengenai perjanjian damai dengan MILF, beliau menggesa Dewan Kongres untuk meluluskan undang-undang baru "tanpa isu perlembagaan yang boleh menimbulkan bantahan."

"Itu adalah penyelesaian untuk Mindanao, itu sahaja," kata Duterte kepada para penggubal undang-undang Filipina.

"Percayalah, tiada apa yang lain lagi. Bawalah ia dalam tidur anda, fikirkan sedalam-dalamnya,  kerana itu adalah satu-satunya cara untuk ia diteruskan, "kata Duterte, menurut transkrip ucapan beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.