Pharmaniaga pulang semula RM16 juta kepada Kementerian Kesihatan
2024.03.25
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 9 pagi waktu tempatan ETS - 2024-03-26
Sebuah syarikat tempatan yang beri kontrak perolehan 136 buah mesin bantuan pernafasan atau ventilator buatan China semasa perintah darurat ketika kemuncak pandemik COVID-19, empat tahun lalu bersetuju membayar balik lebih RM16 juta (AS$3.5 juta) kepada kerajaan Malaysia, menurut laporan akauntabiliti sebuah jawatankuasa Parlimen pada Isnin.
Jumlah tersebut merupakan bayaran balik oleh syarikat Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas kerugian ekoran 104 unit daripada mesin yang diterima gagal berfungsi.
Satu siasatan yang dijalankan Parlimen sebelum ini mendapati kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika itu tidak mengikut prosedur kewangan yang sepatutnya semasa membuat tempahan berkenaan hingga menyebabkan negara mengalami kerugian dianggarkan lebih RM15 juta.
"Secara dasarnya, PLSB bersetuju kos bagi 104 unit ventilator yang tidak dapat berfungsi akan ditanggung oleh syarikat itu. PLSB juga telah bersetuju untuk membayar balik sebanyak RM16,785,910.95 kepada KKM," kata laporan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Menurut laporan itu, perkara tersebut dipersetujui dalam satu mesyuarat rundingan yang diadakan pada 29 Feb lalu antara wakil kerajaan dan PLSB yang merupakan anak syarikat gergasi farmaseutikal tempatan, Pharmaniaga.
Laporan setebal 54 mukasurat yang dikeluarkan PAC pada Isnin itu turut memberikan ulasan berkenaan penilaiannya terhadap tindakan yang telah diambil KKM bagi melaksanakan lima syor utama yang dibuat PAC pada Okt lepas.
Dalam pada itu, Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan pada Isnin mengesyorkan supaya KKM menggunakan wang yang bakal diperoleh itu dengan menyediakan peralatan mesin bantuan pernafasan di hospital kerajaan di seluruh negara.
"PAC berpuas hati dengan tindakan KKM yang telah mendapatkan bayaran balik berjumlah RM16,785,910.95 bagi 104 unit ventilator yang tidak berfungsi.
“Tindakan itu selaras dengan syor PAC dalam laporan sebelum ini supaya KKM perlu segera menyemak status jaminan bagi kesemua 136 unit ventilator dan memastikan tindakan sewajarnya diambil kepada pihak yang bertanggungjawab.
"PAC mencadangkan supaya wang berkenaan diguna dan ditambah oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi memastikan ketersediaan ventilator di seluruh hospital kerajaan," kata beliau.
Jawatankuasa itu juga mengesyorkan agar walaupun berdepan dengan darurat, dokumentasi perolehan hendaklah dilaksanakan dengan usaha sewajarnya.
Darurat
Kes jangkitan COVID-19 pernah mencecah rekod tertinggi harian lebih 33,000 kes pada Mac 2022 dengan jumlah kumulatif 3.5 juta kes selain kematian ketika itu mencecah lebih 30,000 sejak pandemik tercetus di negara itu pada 2020.
Pentadbiran Muhyiddin memohon pengisytiharan Ordinan Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi bagi seluruh Persekutuan berkuat kuasa 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021 akibat lonjakan kes COVID-19 serta ketidakstabilan politik negara ketika itu, namun perintah tersebut dibatalkan secara tergesa-gesa pada Julai 2021.
Terdahulu, PAC dalam laporan dikeluarkan pada Oktober 2023 mendedahkan, kerajaan Malaysia mengalami kerugian lebih RM15 juta ekoran sebahagian mesin ventilator buatan China yang ditempah secara tergesa-gesa dalam tempoh perintah darurat ketika pandemik COVID-19 didapati tidak boleh digunakan.
Menurut PAC, daripada 136 unit ventilator yang diterima KKM antara 1 April 2020 dan 19 Mei 2020, sebanyak 104 daripada mesin bantuan pernafasan itu tidak boleh digunakan pihak berkuasa kesihatan untuk pesakitnya disebabkan pelbagai faktor termasuk peralatan tidak mengikut spesifikasi tempahan.
Bagaimanapun, menurut PAC, kerajaan berdepan masalah untuk menuntut ganti rugi daripada pembekal dan pengilang mesin berkenaan disebabkan ketiadaan dokumen kontrak antara KKM dengan PLSB untuk tempahan dan menguruskan penghantaran ventilator ke hospital-hospital.
"Ketiadaan perjanjian bertulis di antara KKM dan PLSB menyebabkan tiada mana-mana pihak yang boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.
“Sehingga kini, ketidaktentuan peranan PLSB dalam isu ini mengakibatkan proses mengambil tindakan undang-undang tidak dilaksanakan," kata laporan pada Oktober. 2023.
Selain itu, siasatan juga mendapati berlaku percanggahan antara KKM dan PLSB mengenai jaminan untuk ventilator yang diterima, di mana pegawai kementerian menyatakan mesin berkenaan tidak mempunyai waranti disebabkan kerajaan terpaksa "merayu" pembekal untuk menjual ventilator kepada mereka manakala seorang eksekutif kanan PLSB pula mendakwa terdapat jaminan dalam sebut harga antara KKM dengan pembekal.
Menurut laporan portal CodeBlue pada Okt lepas, Pegawai KKM turut mengatakan bahawa idea untuk mendapatkan ventilator dari China, semasa lebih separuh dunia terkurung pada ketika itu bukan datang daripada kementerian berkenaan tetapi daripada Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.
Menurut transkrip mesyuarat yang diterbitkan dalam laporan pengurusan COVID-19 oleh PAC pada Okt itu, apa yang memeranjatkan, Wee memainkan peranan aktif dalam setiap aspek melibatkan proses perolehan ventilator dari China pada 2020.
Ia termasuk mendapatkan kenalan, mengenal pasti pembekal, membentangkan sebut harga, menyelia urus niaga, dan mengatur pengangkutan ventilator ke Malaysia, di mana ia merupakan yang pertama bagi negara itu membelinya dari China, demikian menurut laporan CodeBlue, portal yang menulis mengenai kesihatan pada Okt lepas.
Orang ramai marah
Dalam pada itu, Pharmaniaga ketika dihubungi BenarNews untuk mendapatkan maklum balas laporan jawatankuasa tersebut menolak memberikan sebarang komen.
Usaha untuk mendapatkan ulasan daripada Ketua Pengarah Kesihatan ketika itu Nor Hisham Abdullah juga gagal.
Sementara itu, penerbitan laporan PAC itu membangkitkan rasa marah orang ramai apabila mendapat tahu alat pernafasan yang ditempah oleh Kementerian Kesihatan gagal berfungsi ketika negara berdepan jumlah kes COVID-19 yang tinggi.
"Bagaimana pula dengan nyawa yang hilang akibat ventilator rosak? Siapa nak ganti?" kata seorang pengguna X (dulu dikenali sebagai Twitter) yang menggunakan nama randy_khoo.
Seorang lagi netizen pula mencadangkan supaya kerajaan meminta PLSB membayar ganti rugi bagi nyawa yang hilang kerana kekurangan mesin ventilator semasa kemuncak pandemik.
"Suruh bayar sekali harga nyawa yang melayang sebab tak dapat guna ventilator," kata pengguna X @kosakosong.