Malaysia Lanjut Perintah Kawalan Pergerakan, Beberapa Sektor Ekonomi Dibuka Berperingkat

Noah Lee & Hadi Azmi
2020.04.10
Putrajaya, Malaysia
200410-MY-PKPExtended900.jpg Pegawai perubatan dan kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memakai pakaian dan topeng khas sebelum memulakan proses saringan COVID-19 di Flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Kuala Lumpur, 9 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pada Jumaat mengumumkan perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 15 April bagi membendung penularan virus COVID-19, dengan kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi akan dibuka secara berperingkat sebagai langkah mengurangkan keterjejasan ekonomi negara.

Muhyiddin dalam pengumuman khas yang disiarkan di semua plakform media negara berkata pelaksanaan PKP yang kini hampir memasuki tempoh satu bulan telah mengurangkan kadar jangkitan COVID-19 di Malaysia, tetapi menegaskan bahawa tindakan pencegahan berterusan diperlukan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

"Usaha mencegah wabak ini mesti diperhebatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan. Ini termasuk memberi tumpuan khusus kepada kumpulan sasar yang dikenal pasti menjadi punca penularan wabak ini.

"Sehubungan itu, berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan pakar-pakar perubatan, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan PKP untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu dari 15 April hingga 28 April 2020.

“Pelanjutan tempoh ini dibuat untuk memberi ruang kepada petugas-petugas kesihatan memerangi penularan COVID-19, selain mengelakkan penularan semula wabak ini dalam masyarakat," kata Muhyiddin.

Keputusan tersebut adalah selaras dengan pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyarankan negara-negara supaya tidak menamatkan perintah kawalan pergerakan terlalu awal.

Sehingga kini sebanyak 4,346 kes positif pandemic COVID-19 dengan 70 kes kematian direkodkan di Malaysia sehingga Jumaat, menurut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia.

Malaysia turut merekodkan peratusan yang tinggi dalam jumlah kes pesakit yang sembuh iaitu lebih 42 peratus dari jumlah keseluruhan kes positif.

Selain itu, Muhyiddin turut mengingatkan penduduk Malaysia bahawa mereka perlu bersedia untuk berhadapan situasi COVID-19 untuk tempoh yang lama dan membiasakan diri dengan amalan kehidupan yang berbeza berbanding dahulu.

Ini termasuk perubahan cara umat Islam menyambut bulan Ramadan yang akan tiba pada 24 April ini, dengan ketiadaan bazar-bazar serta larangan solat Terawih serta sebarang majlis berbuka puasa beramai-ramai.

"Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi. Kita tidak boleh ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih. Jadi berterawihlah di rumah bersama keluarga," kata beliau.

Muhyiddin turut memberikan bayangan bahawa terdapat kemungkinan mereka tidak dapat pulang ke kampung untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hujung Mei akan datang.

"Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi, " tambah Perdana Menteri itu lagi.

Sektor ekonomi terpilih

Muhyiddin semasa perutusan khas itu turut menyentuh mengenai ekonomi negara yang terjejas akibat penguatkuasaan PKP sejak 18 Mac lalu yang menyaksikan banyak aktiviti perusahaan, perkilangan dan perniagaan tersekat.

Atas sebab itu, beliau berkata kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi yang terpilih untuk dibuka semula secara berperingkat, dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

Namun, Muhyiddin menegaskan bahawa langkah itu bukanlah satu bentuk kelonggaran PKP kerana ia masih berkuatkuasa dan semua arahan pihak berkuasa mesti dipatuhi.

Antara sektor terpilih itu ialah industri automotif yang terlibat aktiviti eksport unit pasang siap sepenuhnya, industri mesin dan peralatan, projek-projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan, perkhidmatan kesihatan sosial, perkhidmatan kedai hardware, barangan elektrik dan elektronik dan kedai cermin mata, kedai gunting rambut dan juga perkhidmatan dobi penuh (bukan dobi layan diri).

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Mohamed Azmin Ali berkata syarikat-syarikat yang termasuk di dalam sektor yang dibenarkan itu perlu membuat permohonan kepada kementerian untuk beroperasi bermula Isnin depan (13 April).

"Pihak syarikat di dalam sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi wajib mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard yang ditetapkan. Selain kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan oleh KKM dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan dari semasa ke semasa.

"Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut akta semasa," kata Azmin.

Kawalan sempadan

Muhyddin dalam ucapannya juga berkata kerajaan telah mengeluarkan arahan kepada semua agensi keselamatan negara untuk memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan sebagai langkah mengelak berlakunya penularan COVID-19 melalui warga asing tanpa izin yang masuk melalui lorong tikus dengan membawa virus bersama mereka.

"Jika kita tidak tingkatkan kawalan, mereka mungkin bolos dan membawa virus masuk ke negara kita….Saya telah arahkan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Imigresen, RELA dan lain-lain agensi yang berkaitan supaya perketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara," tambah beliau.

Susulan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata yang pasukan itu sentiasa mengambil pelbagai perkiraan dalam merangka pelan strategik pertahanan negara merangkumi sebarang situasi terutama semasa Malaysia berdepan dengan pandemik tersebut.

Panglima ATM, Jeneral Affendi Buang berkata pelbagai kemungkinan diperhalusi terutama jangkaan tindakan warga asing yang akan memasuki Malaysia secara tidak sah dengan menggunakan laluan tikus.

“Perkara ini seterusnya boleh memberi impak kepada peningkatan COVID-19 manakala semasa penguatkuasaan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), operasi dalam negara tetap diteruskan seperti biasa dan berada pada tahap tinggi.” katanya.

Beliau berkata pengukuhan kawalan operasi di persempadanan negara tidak menjejaskan penugasan anggota sedia ada dalam operasi untuk menguatkuasa PKP dan PKPD.

Pakar perubatan China akan ke Malaysia

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah berkata sekumpulan pakar perubatan dari China akan tiba di Malaysia dalam tempoh dua minggu lagi bagi berkongsi pengalaman dalam menangani wabak Covid-19, selain melihat kepada potensi kerjasama antara dua negara bagi mengkaji virus tersebut.

“Kementerian Kesihatan Malaysia mahu melihat bagaimana kita boleh bekerjasama dengan China dalam bidang kajian, dan ingin mengetahui sama ada COVID-19 boleh diasingkan dan melakukan turutan genom (genomic sequence) bagi mengenalpasti identiti sebenar virus tersebut.

"Bagi mereka yang pernah terlibat mengurus wabak COVID-19 di negara mereka, ada sesetengah daripada inisiatif yang telah mereka buat tidak pernah dilakukan sebelum ini," kata Noor Hisham semasa sidang media harian di Putrajaya pada Jumaat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.