Follow us

Penularan COVID-19, Malaysia Isytihar PKPD di Empat Daerah di Sabah

Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-09-28
E-mel
Komen
Share
Dua hari selepas orang ramai berbaris untuk mengundi semasa Pilihan Raya Negeri Sabah di Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran, Sabah pada 26 September 2020, Putrajaya mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar di empat daerah di negeri itu pada Isnin, selepas berlakunya peningkatan jangkitan COVID-19.
Dua hari selepas orang ramai berbaris untuk mengundi semasa Pilihan Raya Negeri Sabah di Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran, Sabah pada 26 September 2020, Putrajaya mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar di empat daerah di negeri itu pada Isnin, selepas berlakunya peningkatan jangkitan COVID-19.
[Ryu Syakur/BeritaBenar]

Malaysia pada Isnin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terhadap empat daerah di timur Sabah, yang merupakan kawasan pengeluar terbesar kelapa sawit selepas berlakunya peningkatan berterusan penularan jangkitan pandemik COVID-19 dengan jumlah kumulatif 1,195 kes positif, perintah yang dikeluarkan dua hari selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri itu.

Pengumuman mengenai perintah yang menyerupai larangan berkurung selama 14 hari dibuat oleh Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob pada Isnin yang memberitahu empat daerah tersebut adalah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dengan larangan berkuasa mulai pukul 12 malam Selasa sehingga 12 Oktober depan, membabitkan lebih 962,000 penduduk.

“Kementerian Kesihatan Malaysia [KKM] telah mengesahkan terdapat 1,195 kes positif jangkitan COVID-19 di daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dalam tempoh 1 hingga 27 September – dengan Lahad Datu merekodkan 241 kes, Tawau (634 kes), Kunak (65 kes) dan Semporna (255 kes).

“Sehubungan itu, Kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di kawasan-kawasan ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan Putrajaya pada Isnin.

Sejak awal September, Sabah telah merekodkan kenaikan kes positif baru setiap hari serta penemuan beberapa kluster jangkitan termasuk Kluster Benteng Lahad Datu yang sehingga kini telah mencatatkan sejumlah 873 kes.

Kluster-kluster di Sabah adalah Kluster Bangau yang sehingga kini telah menjangkiti 225 kes, Kluster Benteng Lahad Datu (873 kes), Kluster Pulau (49 kes), dan Kluster Buang Sayang (9 kes).

Negeri yang baru sahaja selesai dengan pilihan raya negeri yang membabitkan hampir 750,000 pengundi keluar memilih wakil rakyat bagi 73 kawasan Dewan Undangan Negeri juga adalah negeri terbanyak mempunyai zon merah di Malaysia dengan empat daripada lima zon merah adalah di Sabah.

KKM mengklasifikasikan zon merah adalah kawasan yang mempunyai 41 kes aktif atau lebih COVID-19.

Ismail Sabri menambah dengan berkata langkah mengenakan perintah itu dibuat bertujuan untuk membendung penularan koronavirus serta bagi membolehkan KKM menjalankan pengesanan kes secara bersasar di kesemua kawasan yang terlibat.

Tambah beliau, arahan PKPD itu bermakna semua penduduk di empat daerah tersebut tidak dibenarkan keluar sepanjang perintah berkuatkuasa, dengan mereka yang bukan penduduk serta pelawat juga dilarang daripada memasuki kawasan-kawasan berkenaan.

“Semua aktiviti perniagaan juga diarahkan supaya dihentikan, dengan pengecualian diberikan kepada premis yang menjual barangan keperluan dan penyedia perkhidmatan keperluan sahaja,

"Bagi memastikan pematuhan perintah ini, polis, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat," kata beliau lagi.

Pengesanan bersasar

Sementara itu, KKM dalam satu kenyataan media yang berasingan berkata pihak berkuasa kesihatan itu akan menggunakan tempoh perintah berkenaan bagi melaksanakan pengesanan aktif secara bersasar.

"Saringan bersasar akan dilakukan bagi komuniti setempat dan kumpulan berisiko tinggi meliputi lima peratus daripada jumlah penduduk," kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah pada Isnin.

Tambah beliau, KKM akan membuka pengkalan perubatan di kawasan yang dikenakan PKPD dan pihak berkuasa kesihatan itu juga meminta penduduk setempat bekerjasama bagi memastikan tindakan yang diambil kerajaan berjaya untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

KKM dalam maklumat harian kepada media mengenai COVID-19 berkata sebanyak 115 kes positif baru telah direkodkan dalam tempoh 24 jam dengan tiga kes import dilaporkan di mana  112 penularan adalah dalam negara.

“Daripada 112 kes jangkitan tempatan, 98 kes adalah di Sabah dan baki 14 kes dicatatkan di empat negeri iaitu Selangor, Kedah, Melaka, Terengganu, dan satu kes di Wilayah Persekutuan Labuan,” demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia itu.

Beliau berkata, kes baru yang direkodkan setakat Isnin menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 11,034 dengan kematian kekal 134 kes.

Peringkat global pula, Pusat Maklumat Koronavirus Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat mengeluarkan statistik yang menunjukkan sejumlah 33.1 juta kes jangkitan dengan 998,857 kematian akibat COVID-19 direkodkan bagi seluruh dunia.

Sabah adalah negeri pengeluar kelapa sawit terbesar di Malaysia dengan enam daerahnya iaitu  Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Kinabatangan dan Kalabakan adalah daerah yang menyumbang kepada 75 peratus pengeluaran kelapa sawit di Sabah.


Lihat Laman Penuh