Malaysia Umum Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar Ditengah Lonjakan COVID-19

Ray Sherman & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-10-06
Share
201006-MY-Muhyiddin880.jpg Pihak berkuasa Malaysia memeriksa dokumen perjalanan seorang pemandu kereta di sebuah sekatan jalan raya di Penampang, Sabah, 4 Oktober, 2020.
(Ryu Syakur/BeritaBenar)

Malaysia pada Selasa mengumumkan yang negara itu hanya akan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar [PKPDSB] dalam usaha untuk memutuskan peningkatan ketara jumlah jangkitan koronavirus yang mempunyai kaitan dengan kluster penjara dan pilihan raya negeri Sabah bulan lalu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan perintah berkurung bagi seluruh negara seperti yang pernah dibuat pada Mac lalu, melalui Perintah Kawalan Pergerakan [PKP}, walaupun jangkitan harian COVID-19 mencanak sehingga 691 kes pada Selasa, jumlah tertinggi pernah direkodkan negara.

“Setakat hari ini, kita tidak memikirkan soal melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan [PKP] di seluruh negara atau total lockdown. Langkah ini jika dilaksanakan sekali lagi boleh membawa kesan besar yang dikhuatiri akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara.

“Apa yang akan dilakukan oleh kerajaan ialah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar [PKPDSB] di kawasan yang dikenalpasti mempunyai kes COVID-19 yang tinggi,” kata Muhyiddin yang sedang menjalani kuarantin kendiri dari rumahnya dalam siaran yang disiarkan di semua platform media di negara itu.

Beliau berkata melalui perlaksanaan PKPDSB, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan-kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan SOP yang diperketatkan dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas.

Pada 18 Mac lepas, Putrajaya telah melaksanakan PKP yang seakan perintah berkurung di seluruh negara sehingga Mei, dan mula melonggarkan sekatan tersebut apabila angka jangkitan COVID-19 mulai menurun dari masa ke semasa sehingga ke satu angka.

Kes COVID-19 yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia [KKM] pada Selasa adalah sebanyak 13,504 sejak pandemik itu mula dikesan dengan kematian terbaru melibatkan 4 kes menjadikannya 141 kematian dicatatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kematian dicatatkan di Sabah termasuk seorang bayi berumur setahun manakala satu lagi kes di Pulau Pinang.

Pusat Maklumat Koronavirus Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat pula mengeluarkan statistik yang menunjukkan sejumlah 35.5 juta kes jangkitan dengan lebih 1 juta kematian akibat COVID-19 direkodkan di seluruh dunia.

Muhyiddin menjalani kuarantin kendiri di rumah sejak Isnin, atas nasihat KKM selepas mempengerusikan satu mesyuarat pada Sabtu lalu di mana ianya telah dihadiri seorang menteri yang disahkan positif COVID-19, dua hari selepas itu. Beberapa menteri dan timbalan menteri juga sedang menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Beliau semasa siaran langsung itu turut memberi jaminan yang kerajaan tidak akan mengamalkan sikap pilih kasih dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan perintah kuarantin, sebagai respon terhadap ketidakpuasan hati rakyat yang diluahkan di laman sosial media mengenai kegagalan pemimpin yang pulang daripada Sabah tidak mengkuarantinkan diri mereka.

"Saya sendiri pada masa ini sedang menjalani kuarantin di rumah setelah mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri oleh Menteri yang disahkan positif COVID-19,” kata Muhyiddin. “Sebagai Perdana Menteri, saya tidak terkecuali daripada tertakluk kepada SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.”

‘Lonjakan baharu’

Sementara itu Setiausaha Agung Malaysian Relief Agency Sharizal Azwan Samsudin berkata langkah kerajaan yang mahu mengenakan PKPDSB adalah lebih efektif, dan ianya dilihat tidak menjejaskan ekonomi negara dengan teruk.

"Langkah PKPD di kawasan yang dikawal adalah lebih bersasar dan berkesan, tetapi kita tidak boleh berkompromi terhadap langkah berjaga-jaga,” katanya kepada BeritaBenar.

Mengenai peningkatan kes sejak beberapa hari kebelakangan ini, beliau yang juga seorang doktor berkata PKP yang dilaksanakan kerajaan pada 18 Mac lepas tidak gagal, sebaliknya peningkatan kes itu berlaku adalah disebabkan lonjakan jangkitan baharu.

“Kita tidak memanggil peningkatan jumlah jangkitan yang mendadak sebagai tanda bahawa langkah-langkah yang telah diambil sebelum ini telah gagal. Ini adalah gelombang ketiga yang bermaksud ianya bukan kesinambungan dari kes dahulu tetapi adalah jangkitan baharu,” tambahnya.

Beliau turut memberikan amaran bahawa jumlah sebenar jangkitan dari Pilihanraya Negeri Sabah mungkin belum dilihat sepenuhnya lagi.

"Kebiasaannya, jumlah puncak akan dapat dilihat dalam dua ke tiga minggu selepas itu. Jadi kita tunggu dan lihat, serta jangan sekali memandang rendah terhadap langkah berjaga-jaga.” kata beliau.

Muhyiddin semasa siaran langsung pada Selasa itu turut mengakui bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah yang berakhir pada 26 September lepas telah menyumbang kepada kenaikan kes positif dalam negara.

“Saya akui kempen pilihanraya di negeri Sabah juga menjadi antara punca peningkatan kes-kes COVID-19. Saya sedar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah menetapkan SOP tertentu supaya jangkitan itu tidak merebak semasa kempen pilihan raya, tetapi malangnya ada yang tidak mematuhi sop,” tambah beliau.

Langkah oleh Jabatan Penjara


Jabatan Penjara Malaysia buat pertama kali sejak berlakunya peningkatan jangkitan COVID-19 mengeluarkan satu kenyataan media lewat Selasa mengesahkan selain penjara di Sabah dan Kedah, kes positif jangkitan turut dikesan di Pulau Pinang, Selangor serta sebuah pusat pemulihan di Perak.

"Pada ketika ini, jumlah aktif COVID-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara seluruh negara telah bertambah daripada 453 kes kepada 1,126 kes berbanding 673 kes semalam," kata Ketua Pengarah Penjara Zulkifli Omar dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, jabatan berkenaan mengambil beberapa langkah drastik lain bagi mengatasi masalah kesesakan penjara untuk mengekang penularan koronavirus termasuk mengeluarkan pesalah dadah dan meletakkan mereka di kem-kem Latihan Khidmat Negara yang telah digazetkan sebagai penjara sementara.

"Jumlah keseluruhan yang dapat ditampung kem-kem PLKN adalah disasarkan seramai 2,300 hingga 2,800 orang banduan.

"Sementara itu, banduan yang dihukum penjara kurang dari tempoh satu tahun dan hanya tinggal baki hukuman kurang dari tiga bulan, juga akan dipertimbangkan untuk melalui Pelaksanaan Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL).

"Semua banduan yang dibebaskan melalui PBSL wajib melepasi kriteria pemilihan ketat yang ditetapkan dan disahkan lulus saringan COVID-19 oleh KKM terlebih dahulu," kata Zulkifli, dan menambah bahawa terdapat 11,018 banduan yang layak dipertimbangkan untuk program berkenaan.


Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh